Persiap diri sambut bulan penuh barakah

PERSIAPKAN diri di rumah anda bagi menyambut kedatangan bulan yang penuh barakah ini.

Puasa merupakan ibadah wajib pada Ramadan, ujar Ustazah Hamidunnisah Mohamed Hussein sambil menukil ayat Al-Quran:

"Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang sebelum kalian agar kalian bertakwa." (Surah Al-Baqarah: 183).

Beliau menambah:

"Bulan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi, iaitu bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia pada setiap tahun.

"Bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini ialah bulan pengampunan dan dikabulkan juga doa-doa serta amal kebaikan yang diberi ganjaran berlipat ganda.

"Pada setiap tahun umat Islam digalakkan agar meningkatkan azam dengan memperbaiki ibadah wajib ini serta ibadah lain bagi meraih ganjaran pahala berganda yang hanya datang setahun sekali.

"Setiap kemunculan Ramadan akan memberi kita peluang memperbaiki amalan dan ibadah kita agar lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu.''

Beliau menasihati umat Islam agar mengetahui cara bagi meningkatkan azam demi meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda ini.

PENGERTIAN PUASA

Rasulullah saw pernah menjawab pertanyaan seorang Arab Badwi:

"Beritahukanlah kepadaku puasa apakah yang Allah wajibkan bagiku?"

Nabi menjawab:

"Puasa bulan Ramadan, kecuali jika kamu ingin melaksanakan yang sunah."

Erti puasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu, sama ada percakapan ataupun makanan.

Ia suatu bentuk ibadah kepada Allah swt dengan cara menahan diri daripada makan, minum, hawa nafsu dan hal-hal lain yang dapat membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar hingga tenggelam matahari.

HIKMAH PUASA

Pertama, puasa mendidik jiwa setiap Muslim supaya dapat mengawal hawa nafsu, sekali gus mendisiplin diri agar bersifat sabar.

Kedua, puasa dapat menumbuhkan rasa persaudaraan serta menimbulkan perasaan agar saling menolong antara satu sama lain.

Ketiga, puasa mengajar kita memahami keadaan dan kehidupan yang dihadapi golongan fakir dan miskin.

Keempat, puasa dapat mengajar setiap Muslim agar selalu bersyukur kepada Allah swt.

Yang terakhir, puasa membuat tubuh menjadi lebih sihat. Rasulullah saw bersabda:

"Berpuasalah kamu supaya sehat."

KEISTIMEWAAN RAMADAN

Malam Lailatul Qadar: Malam ini disebut dalam Al-Quran, Surah Al-Qadar, ayat 3:

"Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan."

Maka hiasilah malam-malam Ramadan kita (khususnya pada 10 malam hari terakhir) dengan lebih banyak beribadah agar memperoleh malam seribu bulan ini.

Turunnya Al-Quran: Pada bulan ini, Al-Quran diturunkan seperti yang disebut dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185:

"Bulan Ramadan ialah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, penjelasan bagi petunjuk, dan furqan (pembeda)."

Dikabulkan doa: Antara tiga waktu yang dikabulkan doa ialah waktu sahur, saat berpuasa dan waktu berbuka.

Sebagaimana sabda Rasulullah :

"Tiga orang yang doanya tidak tertolak: orang yang berpuasa sampai ia berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi."

Solat Tarawih: Solat tarawih hanya boleh dilaksanakan pada Ramadan sahaja.

Hukumnya sunat muakad iaitu sunat yang dituntut kepada setiap Muslim baik lelaki mahupun perempuan, ujar Ustazah Hamidunnisah.


BIODATA

HAMIDUNNISAH MOHAMED HUSSEIN

Ustazah merupakan bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah. Beliau kemudian meraih Sijil Pendidikan Islam anjuran Perdaus dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pada 1997 - 1998, beliau memiliki Diploma Al-Quran & As-Sunnah daripada Perdaus.

Setelah itu, beliau mengikuti pengajian Bahasa Inggeris di Regional English Language & Oxford College of English.

Pada 2007, beliau meraih Diploma Pendidikan daripada Universiti Edith Cowan, Australia.

Setelah itu beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi program sarjana di bawah Kuliah Ilmu Wahyu dan Warisan.

Beliau kini merupakan pengajar bebas.


Panduan Ramadan

DIMULAKAN DENGAN NIAT YANG IKHLAS

UMAT Islam digalakkan supaya berniat terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu ibadah. Maka itu, seseorang itu harus berazam mempertingkatkan ibadah puasanya.

Niat yang ikhlas kerana Allah swt merupakan sangat penting bagi umat Islam demi mengamalkan ibadah puasa menahan lapar dan dahaga pada siang hari serta qiamullail pada waktu malam.

Sebagaimana sabda Rasulullah saw: 

"Sesungguhnya amalan umatku bergantung pada niatnya." (Hadis riwayat Muslim).

BERAZAM MENAIKKAN TINGKATAN PUASA

Dalam kitabnya Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali menerangkan tiga tingkatan dalam berpuasa.

Tingkatan pertama: Puasa orang awam iaitu puasa orang kebanyakan.

Tingkatan puasa ini adalah tingkatan paling rendah mengikut Imam Ghazali. Ia puasa yang sekadar menahan makan dan minum dan menjaga daripada godaan syahwat.

Tingkatan kedua: Puasa orang khusus.

Tingkatan puasa ini sering disebutnya dengan puasa golongan Solehin (orang-orang soleh).

Ia puasa yang dapat menahan pendengaran, pandangan, ucapan, gerakan tangan dan kaki daripada segala macam bentuk dosa, selain menahan makan dan minum serta syahwat.

Mengikut Imam Ghazali, bagi mencapai tingkatan kedua ini seseorang harus:

  • Menahan pandangan daripada segala hal yang dicela dan dimakruhkan.
  • Menjaga lidah daripada perkataan yang sesia, berdusta, mengumpat, berkata keji dan mengharuskan berdiam diri.
  • Menggunakan waktu dengan berzikir kepada Allah serta membaca Al-Quran.
  • Menjaga pendengaran daripada mendengar kata-kata yang tidak baik.
  • Mencegah anggota tubuh yang lain daripada perbuatan dosa.
  • Tidak berlebih-lebihan dalam berbuka, sampai perutnya penuh makanan.
  • Hatinya senantiasa diliputi rasa cemas (khauf) dan harap (raja) kerana tidak diketahui apakah puasanya diterima atau tidak oleh Allah.

Tingkatan ketiga: Puasa khususnya orang yang khusus.

Ia puasa zahir dan batin dengan seseorang yang berpuasa dapat memelihara anggota zahirnya seperti menjauhi maksiat mata, telinga, mulut dan lain-lain termasuk anggota batin seperti hati, akal dan perasaan.

Tingkatan ini hanya boleh dicapai oleh sedikit orang sahaja. Ini disebabkan, selain menahan lapar dan dahaga, juga menahan diri daripada melakukan maksiat, fikiran mereka juga hanyalah ditujukan kepada Allah swt semata-mata. Bahkan, mengingati selain daripada Allah swt dan memikirkan hal-hal dunia dianggap boleh merosakkan dan membatalkan puasa.

  • Berazam bertadarus Al-Quran.

Antara amalan yang sangat dianjurkan pada Ramadan adalah bertadarus. Tadarus Al-Quran adalah kegiatan interaksi terhadap Al-Quran, baik dengan membacanya, memahaminya, mengkhatamkannya, mendengarnya, mentadabburinya, menghafalnya mahupun mempelajarinya.

Membaca Al-Quran banyak kebaikannya, apatah lagi ia dilakukan pada bulan suci Ramadan. Sebaik-baiknya cuba berazam mengkhatam Al-Quran.