Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Puasa Asyura hapus dosa setahun lalu

Aug 23, 2020 | 05:30 AM



KEHADIRAN bulan Muharam menandakan permulaan bagi tahun baru masyarakat Islam.



Kebiasaannya, bulan Muharam menjadi bulan yang terkenal dengan puasa sunat (muakkad), khususnya pada hari Asyura (10 Muharam).



Puasa Hari Asyura termasuk dalam kategori puasa yang sangat dianjurkan dalam Islam kerana ia mengandungi banyak fadilat dan kelebihan tertentu, ujar Ustaz Pasuni Maulan dalam sesi Zoom bersama Berita Minggu.



PUASA ASYURA LAMBANG KEPATUHAN



Tanggal 10 Muharam menjadi kebiasaan bagi orang Quraisy berpuasa.



Ustaz Pasuni menukil Ibnu Abbas yang telah meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:



"Apabila Nabi Muhammad saw pergi ke Madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharam, lalu baginda bertanya: "Apakah ini? Mengapa mereka berpuasa pada hari tersebut?



"Maka, mereka menjawab bahawa mereka berpuasa kerana Nabi Musa as dan Bani Israel terselamat daripada buruan atau ancaman Firaun. Oleh itu, puasa mereka itu menjadi satu tanda kesyukuran.



"Setelah mendengar penjelasan itu, baginda saw terus bersabda: "Aku lebih berhak untuk menghidupkan ibadah Nabi Musa ini, berbanding dengan kamu.



"Lantas, baginda memerintahkan para sahabat untuk berpuasa pada hari Asyura." (HR Imam Bukhari & Muslim)



Peristiwa ini menjelaskan bahawa umat Nabi Muhammad saw perlu menghidupkan Hari Asyura dengan berpuasa kerana ia adalah lambang kepatuhan kepada Nabi.



Selain melahirkan rasa syukur terhadap penyelamatan Nabi Musa as daripada musuh, kita hendaklah bersyukur kerana obor dakwah di bawah pimpinan Rasullah saw terus berjalan sehingga menerangi kehidupan umat Islam hari ini.



ELAKKAN MENYAMAI ORANG YAHUDI



Daripada Ibn Abbas r.a, beliau mendengar Rasullah saw bersabda, maksudnya: "Sekiranya aku masuk hidup pada tahun hadapan, nescaya aku pasti berpuasa pada hari ke-9 (9 Muharram)." (HR Muslim)



"Rasulullah saw bukan sahaja berazam untuk berpuasa pada hari ke-10, malahan baginda bertekad untuk berpuasa pada hari ke-9 kerana baginda hendak membezakan puasa yang diamalkan oleh orang Yahudi dengan orang Islam."



"Kemudian, ada pandangan yang menyatakan, jika tidak boleh berpuasa pada hari yang ke-9, maka berpuasalah pada 10 dan 11 Muharram. Jika ingin berpuasa secara berturutan dari 9 hingga 11 Muharam juga dibolehkan."



"Pilihlah untuk berpuasa mengikut ajaran Islam, asalkan kita tidak menyerupai golongan Yahudi yang berpuasa untuk sehari sahaja," pesan Ustaz Pasuni.



KEISTIMEWAAN PUASA ASYURA



Seperti yang termaktub dalam satu hadis daripada Abu Hurairah, beliau berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: "Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadan adalah puasa dalam bulan Allah iaitu bulan Muharam. Sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat sunat pada waktu malam." (HR Muslim)



Menurut Ustaz Pasuni, bulan Muharam disebut sebagai 'bulan Allah' kerana keistimewaan yang tersendiri.



Ketika Nabi saw ditanya tentang keutamaan puasa Arafah, baginda menjawab:



"Puasa Arafah akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.



"Baginda juga ditanya mengenai keistimewaan puasa Asyura. Lalu, baginda menjawab: "Puasa Asyura akan menghapus dosa setahun yang lalu." (HR Muslim)



Ustaz Pasuni menjelaskan:



"Tidak mahukah kita mendapatkan keampunan besar dari Allah swt untuk sepanjang tahun yang lalu? Sebagai manusia, kita tentu melakukan kesalahan kerana setiap anak Adam (manusia) pasti terdedah dengan kesilapan.



"Namun begitu, sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah orang yang bertaubat kepada Allah swt. Maka, Allah swt telah menjanjikan untuk menghapuskan dosa kita selama setahun lalu.



"Bagaimanapun, kita harus ingat, jika dosa setahun lalu telah diampunkan, tetapi kesalahan tersebut tidak akan terampun dengan begitu sahaja, sekiranya ia melibatkan hubungan kita dengan manusia."



MANFAATKAN BULAN MUHARAM



Ustaz Pasuni meminta umat Islam untuk memanfaatkan bulan mulia ini sebaik-baiknya dengan berkata:



"Ambil peluang dalam bulan mulia ini untuk memperbaiki diri dan berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah swt.



"Apabila tibanya tahun baru Islam, kita cuba bermuhasabah untuk melihat keadaan diri kita kerana taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa, bukan tertakluk kepada awal tahun baru atau hujung tahun baru sahaja."



"Sesungguhnya, Allah swt mencintai hamba-hamba-Nya yang bertaubat dan mensucikan dirinya. Suci bererti suci dari segi luaran (perbuatan) dan dalaman (hati). Tunjukkan usaha yang terbaik dan perbaikilah segala 'penyakit' yang ada dalam diri.



"Allah swt bersedia untuk mengampunkan kita, walau sebanyak mana pun dosa kita kepada-Nya. Justeru itu, berazamlah untuk mengekalkan kesucian diri kerana kita lebih mengenali diri, hati, perbuatan dan fikiran masing-masing.



"Di saat kita merasakan kita ada melakukan kesalahan, maka cepat-cepatlah pohon keampunan dari Allah swt. Tidak terhad kepada bulan Asyura sahaja, tetapi kita minta agar Allah swt terus mengampuni dosa-dosa kita pada hari-hari seterusnya.



"Selepas bulan Asyura juga, cuba kekalkan kesucian diri kita agar kita terus mendapat rahmat dari Allah swt," jelas Ustaz Pasuni.



  • Ustaz Pasuni Maulan kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM). Beliau juga pengerusi Masjid Tentera Di-Raja; naib pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan mantan Pendaftar di ROMM.


"Ambil peluang dalam bulan mulia ini untuk memperbaiki diri dan berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah swt. Apabila tibanya tahun baru Islam, kita cuba bermuhasabah untuk melihat keadaan diri kita kerana taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa, bukan tertakluk kepada awal tahun baru atau hujung tahun baru sahaja. Sesungguhnya, Allah swt mencintai hamba-hamba-Nya yang bertaubat dan mensucikan dirinya. Suci bererti suci dari segi luaran (perbuatan) dan dalaman (hati). Tunjukkan usaha yang terbaik dan perbaikilah segala 'penyakit' yang ada dalam diri.''
- Ustaz Pasuni Maulan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >