Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Ramadan masa terbaik pupuk ikatan persaudaraan sesama manusia

May 10, 2019 | 05:30 AM



IBADAH puasa di bulan Ramadan mempunyai peranan yang sangat penting untuk memupuk persaudaraan di antara manusia.



Menerusi ibadah ini, umat Islam diajar sifat kasih sayang dan prihatin terhadadp golongan yang kurang berkemampuan.



Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat menekankan bahawa umat Islam juga sangat digalakkan membantu antara satu sama lain lebih-lebih lagi semasa Ramadan ini.



"Maka itu, umat Islam perlu mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini untuk memupuk dan mengukuhkan lagi persaudaraan kita,'' tegas Ustaz Muhammad Ishlaahuddin lagi.



IKATAN PERSAUDARAAN



Persaudaraan adalah sesuatu yang universal yang melibatkan orang Islam dan juga bukan Islam. Persaudaraan di kalangan umat Islam pula digalakkan kerana Allah swt telah menegaskan di dalam al-Quran bahawa sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara.



Allah berfirman: "Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara." - (Al-Hujurat: 10).



Sesungguhnya, penegasan Allah swt tentang bersaudaranya orang-orang yang beriman mempunyai maksud yang mendalam, kata Ustaz Muhammad Ishlaahuddin lagi.



Dalam ayat yang disebutkan tadi, Allah swt menggunakan kalimah Ihwatun dalam menegaskan tentang persaudaran orang-orang yang beriman.



Isu persaudaraan ini adalah isu yang sangat penting di dalam Islam kerana kalau tidak, mengapa Allah menegaskannya di dalam al-Quran.



Oleh kerana Allah menekankan tentang pentingnya persaudaraan, Allah telah memberikan panduan dan peringatan tentang perkara ini melalui al-Quran dan Hadis Nabi saw, jelas Ustaz Muhammad Ishlaahuddin lagi.



PANDUAN ILAHI



Banyak sekali panduan yang ditunjukkan Allah dan Rasul-Nya di dalam al-Quran dan hadis untuk saling mengukuhkan persaudaraan baik di dalam mahupun di luar Ramadan.



Antara panduannya ialah seperti berikut:



Pertama, orang-orang yang beriman perlu mengelakkan diri daripada pertengkaran dan permusuhan.



Allah swt berfirman: "Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara." - (Al-Imran: 103).



Ayat tadi menyentuh tentang Aus dan Khazraj, maka kita boleh mengambil pengajaran daripada mereka yang mana semasa jahiliah, mereka saling bertengkaran dan bermusuhan, namun apabila datangnya Islam, agama yang mulia ini telah menyatukan mereka dan menjadikan mereka bersaudara, jelas Ustaz.



Kemudian, Nabi bersabda:



"Lelaki-lelaki yang sangat dibenci oleh Allah adalah yang sangat kuat dalam bertengkar." - (HR Bukhari)



Kedua, orang yang beriman perlu saling mengasihi dan menyayangi antara satu dengan yang lain.



Rasulullah bersabda: "Engkau (Nukman bin Basyir) melihat orang-orang beriman saling menyayangi mereka, saling menyenangi mereka, dan saling mengasihi mereka sebagaimana satu tubuh, ketika satu anggota badannya sakit, maka seluruh tubuh ikut merasakan sakit dengan tidak bisa tidur dan demam." - (HR Bukhari).



Ketiga, orang Mukmin perlu saling mencintai dan tidak saling membenci.



Di antara cara untuk menimbulkan rasa cinta adalah dengan memberi hadiah.



Nabi saw bersabda: "Salinglah memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai." - (HR Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrod. Hadis ini diriwayatkan oleh Syaikh Al-Albani).



Keempat, orang-orang Mukmin perlu saling tolong-menolong dan bantu-membantu dan tidak membiarkan ego menguasai dirinya.



Allah swt berfirman: "Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.



"Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya.



"Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.'' - (At-Taubah: 71).



PERBAIKI HUBUNGAN



Ustaz Muhd Ishalaahuddin juga berkata, Ramadan adalah waktu terbaik untuk membantu insan yang lain dengan memberikan makanan kepada mereka walaupun hakikatnya mereka berkemampuan.



Nabi saw bersabda: "Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga." - (HR Tirmizi).



Ramadan juga merupakan sebaik-baik waktu untuk umat Islam mengambil kesempatan memupuk dan mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama kita.



Allah swt dan Nabi saw pula telah menegas dan menekankan akan pentingnya persaudaraan dan kesatuan.



Maka ia secara langsung menjadi perintah Allah dan rasul-Nya kepada orang yang beriman untuk sentiasa menjaga dan memelihara persaudaraan dan ukhuwah.



Oleh itu, Ustaz Muhammad Ishlaahuddin mengajak umat Islam berusaha mengukuhkan persaudaraan dan memperbaiki hubungan di bulan yang mulia ini sebagaimana yang dituntut oleh Allah dan rasul-Nya.



"Ketahuilah, tiada lagi hubungan yang lebih indah daripada persaudaraan yang didasari kasih sayang kerana Allah dan rasul-Nya,'' ujarnya.




BIODATA



- Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat, 34 tahun, merupakan Naib Presiden 1, Persatuan Muhammadiyah.



- Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.



- Di peringkat prauniversiti, beliau belajar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.



- Beliau memiliki ijazah sarjana muda dari Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin (Hadis).



- Kini, Ustaz Muhammad Ishlaahuddin melanjutkan pelajaran dalam peringkat Sarjana Falfsafah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >