Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Ramadan tiba… Ramadan tiba… Ramadan tiba…! Marhaban Ya Ramadan…

Bulan bonus ibadat

Ustazah Suhanah ingatkan jangan sampai terlepas kesempatan emas raih sebanyak amalan, kemenangan
Apr 01, 2022 | 05:30 AM



AMALAN dalam Ramadan Al-Mubarak, yang bakal disambut umat Islam di Singapura dan rantau ini dua hari lagi, secara mudahnya boleh diibaratkan sebagai permainan 'Snake and Ladder'.



Apabila anda menggunakan semua 'tangga kesempatan' yang tersedia, maka anda akan beroleh nikmat yakni kemenangan dalam permainan itu.



Tetapi jika anda leka, maka anda akan terjerumus jatuh 'ditelan ular' dan tidak akan memperoleh kemenangan daripadanya.



Begitulah metafora atau persamaan yang digunakan Ustazah Suhanah Ahmad, Penolong Ketua Jabatan Pembangunan Sosial Masjid Darul Makmur, ketika menerangkan nikmat dan kelebihan yang ditawarkan Allah swt dalam bulan penuh barakah ini.



"Bulan Ramadan ini ibarat bonus dalam permainan 'Snake and Ladder'. Jangan sampai kita melewati kesempatan emas ini untuk meraih sebanyak mana amalan dan kemenangan!.



"Puasa Ramadan adalah salah satu rukun Islam. Setiap detik sepanjang Ramadan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini," jelas Ustazah Suhanah, graduan Sarjana Muda Syariah Institut Agama Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta, Indonesia.



Menjelaskan, beliau berkata Allah swt memberikan kelebihan yang banyak pada Ramadan berbanding bulan-bulan lain.



Ini bersandarkan sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Apabila datang awal malam daripada Ramadan, dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang ganas, ditutup pintu-pintu neraka sehingga tidak dibuka satu pintu pun daripadanya, dan dibuka pintu-pintu syurga sehingga tidak ditutup satu pintu pun daripadanya.



"Lalu penyeru menyeru: "Wahai orang yang inginkan kebaikan, lakukanlah. Wahai orang yang inginkan kejahatan, kurangkanlah." Di sisi Allah, ramai orang yang dibebaskan daripada neraka dan begitulah terjadi pada setiap malam (Ramadan)"." (HR Tirmizi dan Ibnu Majah).



"Antara ganjaran yang Allah swt janjikan dalam Ramadan adalah keampunan, rahmat, dibuka pintu-pintu syurga, dimakbulkan doa dan terdapat satu malam iaitu lailatulqadar yang mana amalan pada malam itu dilipatgandakan seperti ibadat 1,000 bulan.



"Amat rugilah mereka yang berpeluang bertemu Ramadan, tetapi tidak memperolehi keampunan Allah swt," terang beliau.



Menurut Ustazah Suhanah, "kerugian" yang bakal ditanggung golongan serupa itu dijelaskan dalam satu hadis riwayat Abu Hurairah ra iaitu ketika Nabi saw menaiki mimbar, Baginda bersabda: "Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali)".



"Baginda saw ditanya: "Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin".



"Maka Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Jibrail as telah datang kepadaku, lalu dia (Jibrail) berkata: "Barangsiapa yang bertemu dengan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah swt. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin"."



Oleh itu, tambah Ustazah Suhanah, kita harus bersyukur ke hadrat Ilahi yang mempertemukan kita dengan Ramadan yang mulia, "tetamu Allah yang cuma datang setahun sekali", ujarnya.



"Kedatangan Ramadan yang mulia ini sememangnya amat dinanti-nantikan kerana ia bulan yang dijanjikan Allah swt sebagai sebaik-baik bulan.



"Ramadan amat istimewa kerana banyak kebaikan dan keutamaan ditawarkan di dalamnya. Bahkan, pahala setiap amal kebaikan di dalamnya akan dilipatgandakan.



"Perasaan gembira menerima pahala berlipat ganda ini tentu sahaja tidak terlepas daripada kerinduan momen yang hanya ada dalam Ramadan, seperti iftar bersama keluarga, iftar dengan kawan-kawan, membuat beraneka jenis kuih-muih Hari Raya, membeli baju baru dan lain sebagainya," kata Ustazah Suhanah.



WAHYU PERTAMA



Ramadan, terang beliau lagi, dinantikan umat Muslim di seluruh dunia dengan berpuasa untuk memperingati wahyu pertama yang turun kepada Nabi Muhammad saw.



"Kewajiban berpuasa dalam Ramadan turun pada Syaában tahun kedua setelah hijrah umat Islam dari Makkah ke Madinah.



"Ramadan diawali dengan penentuan bulan sabit sebagai petanda bulan baru. Allah swt berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 183, yang menjelaskan perintah menjalankan ibadat puasa Ramadan.



"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."



"Bulan ini memang penuh keistimewaan. Keistimewaan Ramadan dijelaskan dalam pelbagai bentuk seperti amalan yang dilakukan, pahala yang dilipatganda, hingga dibuka pintu syurga serta ditutup pintu neraka.



"Keistimewaan Ramadan juga dijelaskan dalam beberapa ayat Al-Quran dan hadis lain," kata Ustazah Suhanah.



BULAN DITURUNKAN AL-QURAN



Hal ini dijelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 185, yang bermaksud: "Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dengan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah."



BULAN PENGAMPUNAN DOSA



Rasulullah saw juga bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah berlalu." (HR Bukhari dan Muslim).



PAHALA BERLIPAT GANDA



Rasulullah saw bersabda lagi: "Jika Ramadan tiba, berumrahlah saat itu kerana umrah Ramadan senilai dengan haji." (HR Bukhari).



Dalam lafaz Bukhari lain, disebutkan bahawa Nabi saw bersabda: "Sesungguhnya umrah dalam Ramadan seperti menunaikan haji bersamaku." (HR Bukhari).



LAILATULQADAR



Ia satu malam yang penuh keberkatan. Allah swt berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam lailatulqadar (kemuliaan)." (Surah Al-Qadr: 1).



Ibnu Abbas berkata bahawa Allah swt menurunkan Al-Quran sekali gus dari lohmahfuz ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia. Kemudian Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah saw selama 23 tahun.



Lailatulqadar disifatkan lebih baik daripada 1,000 bulan, seperti firman Allah swt: "Malam lailatulqadar (kemuliaan) itu lebih baik daripada 1,000 bulan." (Surah Al-Qadar: 3).



Malam itu juga disifatkan sebagai malam berkat, seperti firman Allah swt: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam yang diberkati (lailatulqadar)." (Surah Ad-Dukhan: 3).



Malam itu juga turunnya para malaikat, dan malaikat turun bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah swt yang dikhaskan untuk malam itu.



Ditetapkan umur, rezeki dan ajal manusia. Firman Alah swt:"Kami menurunkan Al-Quran pada malam tersebut kerana pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar)." (Surah Ad-Dukhan: 4).



KESIMPULAN



Akhir kata, Ramadan adalah bulan agung dan mulia, tambah Ustazah Suhanah.



"Puasa Ramadan juga boleh diibaratkan seperti maraton. Kalau kita pernah mengikuti maraton, kita tahu bahawa tanpa latihan, kita akan sulit mencapai garis penamat atau garis akhir. Jangankan mencapai garis akhir, mungkin sahaja dipertengahan jalan kita sudah menyerah.



"Ia memerlukan disiplin dan usaha untuk mempersiapkan diri mengikuti perlumbaan itu.



"Begitu juga dengan puasa Ramadan. Tanpa persiapan, kita bakal menjalani ibadat puasa wajib itu dengan berat hati dan susah payah. Tanpa mempersiapkan diri sebaik-baiknya, ibadat puasa Ramadan kita hanya akan bermuara tanpa makna.



"Cara terbaik adalah dengan membuat penilaian secara fizikal, mental dan spiritual terhadap kita sebelum memasuki Ramadan Al-Mubarak," ujar Ustazah Suhanah.




"Puasa Ramadan juga boleh diibaratkan seperti maraton. Kalu kita pernah mengikuti maraton, kita tahu bahawa tanpa latihan, kita akan sulit mencapai garis penamat atau garis akhir. Jangankan mencapai garis akhir, mungkin sahaja dipertengahan jalan kita sudah menyerah.



Ia memerlukan disiplin dan usaha untuk mempersiapkan diri mengikuti perlumbaan itu.



Begitu juga dengan puasa Ramadan. Tanpa persiapan, kita bakal menjalani ibadat puasa wajib itu dengan berat hati dan susah payah. Tanpa mempersiapkan diri sebaik-baiknya, ibadat puasa Ramadan kita hanya akan bermuara tanpa makna."
– Ustazah Suhanah Ahmad, Penolong Ketua Jabatan Pembangunan Sosial Masjid Darul Makmur.




Nasihat Nabi dalam Ramadan



SEKILAS BIODATA



Ustazah Suhanah Ahmad ialah Penolong Ketua Jabatan Pembangunan Sosial Masjid Darul Makmur. Beliau graduan Sarjana Muda Syariah Institut Agama Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta, Indonesia.



DALAM khutbah terakhir Syaaban sebagai persediaan menyambut kedatangan Ramadan, Rasulullah saw telah memberi nasihat kepada umat Islam supaya menyempurnakan amal ibadat sepanjang bulan Ramadan, antaranya ialah:



  • Solat sunat tarawih.

  • Solat sunat lain.

  • Bantu-membantu sesama umat Islam seperti bersedekah dan seumpamanya.

  • Memberikan hidangan berbuka puasa.

  • Banyakkan membaca tahlil.

  • Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan Allah swt.

  • Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan daripada azab neraka.

  • Banyakkan bersabar kerana Ramadan bulan kesabaran.

  • Tinggalkan dan jauhi segala perbuatan maksiat dan kemungkaran kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadat kita.

Dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah ra, mafhumnya:



"Daripada Abi Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda: "Allah swt berfirman: Setiap amalan anak Adam itu adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Aku (Allah) dan Akulah yang memberi ganjarannya."



Antara ganjaran yang Allah janjikan dalam Ramadan adalah keampunan, rahmat, dibuka pintu-pintu syurga, dimakbulkan doa dan terdapat satu malam yang mana amalan pada malam itu akan dilipatgandakan seperti ibadat 1,000 bulan.



Bagi meraih sepenuhnya semua ganjaran ini, Ustazah Suhanah Ahmad, Penolong Ketua Jabatan Pembangunan Sosial Masjid Darul Makmur, berkata:



"Untuk memastikan tarbiah Ramadan kali ini benar-benar dihayati, terdapat beberapa langkah penting sebagai persiapan kita melalui detik-detik Ramadan. Antaranya adalah:



"Memasang tekad dan azam memenuhi Ramadan dengan ibadah lantaran terbukanya pintu-pintu syurga.



"Bersungguh-sungguh bertaubat dan menyucikan hati serta jiwa nurani dengan mengharapkan maghfirah dan rahmat daripada Allah swt.



"Mengambil peluang mempertingkatkan ilmu serta kefahaman yang jelas tentang Ramadan itu sendiri bagi menghadapi didikan selama sebulan sebagai bekalan dan benteng untuk menempuh ujian-ujian dalam sebelas bulan yang bakal mendatang.



"Mengurangkan aktiviti yang tidak perlu dan membebankan pelaksanaan puasa di samping berdoa agar dipertemukan dengan Ramadan yang akan datang."



Tarbiah Ramadan, tambah Ustazah Suhanah, akan memandu kita meningkatkan takwa melalui amalan fardu atau sunat, membudayakan diri ke masjid, membaca dan memahami ayat-ayat Al-Quran, bertaubat, berdoa dan berzikir.



"Mudah-mudahan kehidupan kita akan dinaungi takwa, sekali gus cemerlang di dunia dan di akhirat," katanya.




KELEBIHAN LAIN DALAM RAMADAN



  • Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga.

  • Pintu langit dibuka.

  • Pintu-pintu syurga dibuka.

  • Menjadi penebus dosa atau kafarah terhadap dosa-dosa hingga Ramadan berikutnya, sepanjang solat fardu dari satu Jumaat ke Jumaat berikutnya.

  • Orang yang berpuasa akan dimakbulkan permintaannya oleh Allah swt.

  • Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah di akhirat kelak.

  • Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah swt.

  • Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di syurga.

  • Setiap kali sujud orang yang berpuasa, dikurniakan 1,700 kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan 70,000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga ptang.

Keberkatan bulan Ramadan secara kasar dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu:



  • 10 malam pertama yang dipenuhi rahmat Allah swt.

  • 10 malam pertengahan di isi dengan pengampunan (maghfirah)

  • 10 malam terakhir merupakan pembebasan manusia daripada api neraka.

Keberkatan yang Allah swt berikan akan dicapai sekiranya kita menggunakan waktu yang terhad untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >