Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Tak kenal maka tak cinta...

Rasulullah pamer sifat mulia walau hadapi cabaran

Oct 07, 2021 | 05:30 AM



Sempena bulan Maulidur Rasul saw - Rabiulawal - yang bermula esok, BERITA HARIAN membuka tirai perbincangan untuk menampilkan ciri-ciri yang ada pada Rasulullah saw. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Antara ciri itu, yang amat berkait dengan keadaan kehidupan sekarang di tengah-tengah cabaran pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi, ialah bagaimana Nabi saw menghadapi segala dugaan dalam kehidupan baginda. Ruangan HIDAYAH mendapatkan pandangan Ustaz Muhammad Fizar Zainal, untuk mengupas topik ini.



ANDA rasa anda orang paling susah dan paling malang di dunia?



Fikirkanlah bahawasanya ada orang yang pernah lebih menghadapi kegetiran hidup daripada anda - Rasulullah saw.



Nabi saw hilang orang-orang tersayang sejak kecil, malah ayahnya meninggal dunia ketika baginda masih dalam kandungan ibunya. Baginda juga menghadapi banyak cubaan ketika menyebarkan agama sehingga dipulau dan diancam bunuh oleh kaumnya sendiri.



Namun, di sebalik segala cabaran dan dugaan yang dihadapi Nabi saw, baginda menunjukkan sifat-sifat mulia dan terpuji, seperti sabar, suka memaafkan orang, tidak sombong dan bongkak dan selalu merendah hati, jelas Ustaz Muhammad Fizar Zainal, pensyarah bebas dan pengurus eksekutif syarikat agensi wisata dan pelancongan KembaraUstaz.Sg.



"Tatkala membicarakan sikap positif kehidupan baginda Rasul saw, kita perlu merenung satu sabda Nabi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang membawa erti:



"Sesungguhnya Aku (Nabi saw) diutus hanya untuk menyempurnakan keadaan akhlak".



"Antara sifat baginda yang boleh kita teladani dan telusuri dalam menghadapi dugaan adalah sifat sabar baginda," kata Ustaz Muhammad Fizar ketika membicarakan mengenai keperibadian mulia Rasulullah saw sempena kedatangan Rabiulawal, bulan Maulidur Rasul.



Menyambung penerangannya, beliau menambah bahawa meskipun Rasulullah saw menghadapi banyak kebencian daripada masyarakat sekelilingnya, baginda tidak pernah membalas orang-orang yang membencinya dengan kebencian atau kejahatan yang sama.



Sebaliknya, baginda selalu mendoakan yang terbaik bagi orang-orang tersebut.



Sikap sabar Rasulullah saw membuat baginda termasuk dalam golongan Ulul 'Azmi, gelaran serta martabat khusus bagi rasul yang memiliki sifat ketabahan dan kesabaran yang luar biasa tingginya.



"Baginda Nabi Muhammad saw juga dikenali sebagai seorang manusia yang tidak bongkak dan sombong.



"Meskipun baginda mempunyai banyak kelebihan kurniaan Ilahi, baginda selalu rendah hati dan tidak sombong, dan tidak juga merendahkan keadaan orang lain," ujar Ustaz Muhammad Fizar.



Sifat sombong, kata beliau, hanya akan membawa padah serta kesukaran hidup bagi sesiapa sahaja yang melakukannya.



Di akhirat kelak, tambahnya, setiap manusia akan dipertanggujawabkan atas semua kelakuan serta segala perkara yang pernah dimilikinya semasa hidup di dunia.



Bercakap mengenai kesulitan yang dihadapi manusia dalam hidup, Ustaz Muhammad Fizar berkata, di sebalik setiap kesusahan dan kesulitan hidup yang kita lalui, sudah pasti akan ada kesenangannya.



"Di sebalik setiap kelamnya hujan yang membasahi, sudah pastinya ada sinaran mentari yang menunggu ketetapan Ilahi untuk menyinarkan kembali keadaan bumi.



"Ini sesuai dengan janji Allah dalam Surah Al-Insyirah yang bermaksud: "...dengan setiap kesulitan itu sudah pasti ada kesenangannya."



Dalam dunia yang kini digoncangkan dengan adanya pandemik Covid-19 ini, Ustaz Muhammad Fizar menarik perhatian, manusia di serata dunia terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga dan harus menerapkan norma-norma baru kehidupan hidup.



Ia bukan hanya mengancam kesihatan manusia serta kehidupan, namun ia juga meragut keamanan dan ketenteraman ekonomi serta pentadbiran negara.



Dalam soal ini juga, Rasulullah saw ada meninggalkan contoh yang perlu diteladani.



"Saya terbawa untuk mengongsikan pengalaman Rasul saw sewaktu melaksanakan penghijrahan ke Madinah.



"Nabi saw serta para sahabat yang lain terpaksa mengambil langkah-langkah yang agak drastik dan mendadak pada saat keberadaan mereka di Makkah mengancam keamanan kehidupan mereka.



"Keputusan Rasulullah saw meninggalkan kampung halaman bukanlah satu keputusan yang mudah. Ia satu pertimbangan yang amat mendalam dan satu risiko yang benar-benar diambil kira oleh Rasul.



"Ini membuktikan pada saat seorang hamba Allah itu terduga dan tersepit, maka Allah swt akan memberikan kemudahan dalam pemikirannya untuk mendapatkan huraian yang terbaik," terang Ustaz Muhammad Fizar lagi.



Menurut beliau, agama mengajar kita supaya sedar bahawa tidak ada masalah hidup yang lebih besar daripada rahmat Allah swt.



Tidak ada masalah dalam kehidupan yang akan terus menyusahkan, tanpa adanya kesenangan dan kemudahan yang bakal menggembirakan, kerana ini janji Allah swt yang diterangkan dalam ayat Al- Quran yang dinyatakan tadi.



Nasihat Ustaz Muhammad Fizar dalam masyarakat Islam setempat menghadapi dugaan pandemik Covid-19 sekarang ialah:



"Belajarlah daripada sifat baginda Nabi saw yang begitu mulia.



"Mengeluh kesah hanya akan membuat kehidupan kita semakin resah dan susah.



"Sedangkan rasa syukur itu hanya akan membawa kita terus ke jalan kemudahan, kebaikan serta kebahagiaan yang tidak akan pernah dapat diukur.



"Pandemik Covid ini sebenarnya mengajar kita supaya mensyukuri segala apa yang ada, bukan tercari-cari apa yang tiada," ujar beliau.




Nabi diutus untuk sempurnakan akhlak



"Sesungguhnya Aku (Nabi saw) diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."



(HR Imam Bukhari)




Mutiara kata Sayidina Umar Al-Khattab dan ulama mengenai kesabaran



"Aku telah membuktikan bahwa kenikmatan hidup itu ada pada kesabaran kita dalam berkorban."
– Sayidina Umar Al-Khatthab ra.



"Sabar memiliki dua sisi. Sisi yang satu adalah sabar, sisi yang lain adalah bersyukur kepada Allah."
– Ibnu Mas'ud.




SEKILAS BIODATA



  • Ustaz Muhammad Fizar Zainal ialah pensyarah bebas dan pengurus eksekutif KembaraUstaz.Sg




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >