Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Sabar ketika lemah, rahmat ketika kuat

Siri Keperibadian dan Perwatakan Rasulullah
Mar 14, 2021 | 05:30 AM



KETIKA umat Islam lemah ditindas dan dipersendakan, Rasulullah saw mendidik umatnya bersabar dan terus menjadi sumber kebaikan kepada semua.



Ketabahan dalam kelemahan.



Dan ketika umat Islam kuat dan berkuasa, Baginda mendidik umatnya untuk memaafkan dan bersikap lembut.



Kerahmatan dalam kekuasaan.



Ini semua sebenarnya adalah tanda kekuatan dan bukan kelemahan. Ini semua dicontohkan oleh baginda Rasulullah saw sendiri dalam kehidupannya.



Begitu banyak sekali kisah keperibadian dan akhlak mulia Rasulullah saw ini yang menyebabkan orang menerima Islam.



Mereka pertama menerima Islam bukan kerana hujah-hujah akidah atau kepercayaan, tetapi kerana akhlak dan keperibadian yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw.



Mereka menerima Islam bukan setelah berdebat ilmiah mengenai kepercayaan masing-masing, tetapi setelah melihat perwatakan dan tingkah laku Rasulullah saw.



RASULULLAH DAN PENDETA YAHUDI



Zayd ibn Sa'nah adalah seorang pendeta Yahudi. Beliau telah memerhatikan Rasulullah saw untuk beberapa waktu, melihat tanda-tanda kenabian pada diri Rasulullah seperti yang dirakamkan dalam buku suci mereka.



Zayd telah melihat tanda-tanda ini pada Rasulullah, melainkan dua tanda, yang dia tidak pernah nyatakannya, yakni, kesabaran dan kemaafan (hilm) yang sentiasa mendahului kejahilan, kesabaran mengatasi perbuatan bodoh.



Apabila bertambah kejahilan dan perbuatan bodoh yang menimpa beliau, semakin bertambah pula kesabarannya dan kemaafannya. Zayd menunggu peluang untuk melihat sifat ini pada Rasulullah.



Cerita ini dirakamkan dengan panjang dalam Sahih Ibn Hibban dan beberapa lagi perawi lain. Saya hanya ringkaskan di sini.



Suatu hari, Zayd mengekori Rasulullah saw. Beliau memerhatikan bagaimana Rasulullah sabar melayani kerenah dan kekasaran orang Badwi ke atas Baginda.



Orang Badwi ini mengadu kepada Rasulullah akan keadaan susah orang-orangnya di waktu kemarau.



Zayd mengambil peluang ini untuk menguji Rasulullah. Beliau membuat tawaran memberi sejumlah emas kepada Rasulullah, dengan jaminan sejumlah kurma.



Perjanjiannya ialah untuk dikembalikan nilai emas ini pada waktu yang ditentukan. Rasulullah setuju.



Rasulullah kemudian berikan kepada orang Badwi tadi dan menyuruhnya segera kembali ke kaumnya dan membantu mereka daripada kesulitan.



Namun, Zayd datang bertemu Rasulullah saw dua atau tiga hari lebih awal menuntut dikembalikan haknya. Beliau memilih waktu yang menambahkan cabaran kepada Rasulullah.



Baginda sedang menguruskan jenazah bersama sahabat Baginda, antaranya Abu Bakar, Umar, dan Uthman. Baru sahaja selesai solat jenazah, dengan muka berang, dan dengan kasar Zayd mendekati Rasulullah, menarik baju Rasulullah dengan kasar.



Dengan suara lantang Zayd menuntut dikembalikan haknya, dan mengucapkan kata-kata yang tidak sopan.



Sahabat Rasulullah Umar ibn al-Khattab yang terkenal dengan sifat garang dan perkasa melihat kejadian ini. Dengan marah Umar menyentak Zayd dan berkata:



"Kamu berani mengatakan kepada Rasulullah apa yang baru sahaja aku dengar? Kamu berani lakukan kepada Rasulullah apa yang aku baru lihat kamu lakukan? Demi Dia yang Mengutus Rasulullah, jika tidak kerana sesuatu hal yang aku khuatir hilang, aku akan pasti memenggal lehermu!"



RASULULLAH SABAR



Menyaksikan kejadian ini, Rasulullah saw memandang dengan tenang dan sabar ke Zayd, menoleh ke Umar dan berkata:



"Wahai Umar! Kita lebih memerlukan darimu selain daripada kemarahanmu. Sebaiknya kau cadangkan kepadaku menunaikan haknya dengan baik, dan kamu memintanya untuk menuntut dengan baik.



Rasulullah kemudian memerintahkan Umar menunaikan hak Zayd. Bahkan, Rasulullah saw meminta Umar menambah haknya sebagai ganti tindakan Umar yang menyebabkan Zayd rasa takut.



Umar pun berangkat diikuti Zayd. Umar membayar wangnya dan tambahan yang diperintahkan Rasulullah. Zayd bertanya untuk apa bayaran tambahan ini.



Umar berkata, "sebagai ganti rasa takut yang aku lakukan kepadamu".



Zayd kemudian bertanya kepada Umar, "apakah engkau tidak kenal aku wahai Umar"?



Umar menjawab: "Tidak. Siapa kamu?"



Zayd jawab, "aku adalah Zayd ibn Sa'nah".



Umar bertanya, "Zayd si pendeta?" Dia menjawab, "ya, si pendeta".



Umar bertanya, "kenapa engkau melakukan demikian kepada Rasulullah?"



Zayd menjelaskan sebabnya. Beliau ingin melihat tanda-tanda kenabian pada Rasulullah saw.



Setelah menyaksikan sendiri akhlak Rasulullah, Zayd berkata kepada Umar:



"Kini aku telah lihat dua perkara tadi yang belum aku lihat sebelum ini. Maka, aku persaksikan kepada mu Umar, pada waktu ini aku reda Allah sebagai Tuhanku, dan Islam agamaku, dan Muhammad adalah Nabi dan Rasul-Nya.



"Dan aku juga persaksikan padamu Umar bahawa separuh hartaku, dan aku orang Madinah yang paling berharta, aku serahkan kepada umat Nabi Muhammad sebagai sedekah. Mereka berdua kemudian pergi berjumpa Rasulullah untuk menyatakan syahadahnya."



Demikianlah masuknya orang ke Islam, dengan sifat hilm Rasulullah saw, yakni sifat sabar dan pemaaf Baginda.



Baginda tidak mengizinkan kemarahan mengatasinya. Kesabaran dan kemaafanlah yang mendahului kejahilan, keangkuhan, kebodohan dan kemarahan.



Ini bukan kerana Rasulullah lemah. Ini berlaku setelah perjanjian Madinah yang Rasulullah tandatangani bersama kaum Yahudi dan lain-lain di Madinah.



Ini berlaku di saat Rasulullah saw dan umat Islam kuat dan berkuasa.



RASULULLAH BERKUASA



Peristiwa pembukaan kota Makkah melambangkan sifat pemaaf dan rahmat Rasulullah saw.



Pada tahun kelapan Hijrah, bersama rombongan seramai 10,000 orang, Rasulullah dan orang-orang Islam menuju ke Makkah dari Madinah. Ini kerana Quraysh telah melanggar syarat-syarat Perjanjian Hudaibiah yang telah ditandatangani beberapa tahun.



Rasulullah bertanggungjawab mempertahankan kabilah-kabilah yang telah diserang oleh puak Quraysh sesuai dengan perjanjiannya.



Baginda menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin kepada umatnya, setia dengan janjinya dan komitmennya kepada umat dan mereka yang bersama Rasulullah.



Ia bukan tindakan membalas dendam peribadi.



Orang-orang dan tentera Islam masuk ke Makkah dari empat penjuru Makkah.



Melihat kekuatan tentera dan orang-orang Islam, puak Quraysh tidak melawan, melainkan pertembungan di salah satu empat penjuru tadi.



Ketika memasuki Makkah, setelah sekian lama meninggalkan Makkah, Rasulullah saw menuju ke Kaabah, melakukan tawafnya, mencium Hajar Aswad, dan membersihkan Kaabah dan sekelilingnya dari berhala.



Setelah itu, Baginda mengumpulkan penduduk Makkah.



Mereka resah dan tentunya ketakutan apa yang akan dilakukan oleh Rasulullah setelah segala penghinaan dan kezaliman yang mereka telah lakukan kepada Rasulullah.



Semua mereka ingat akan provokasi, tuduhan, caci maki, dan penghinaan yang mereka lakukan kepada Rasulullah, pada keluarganya, dan sahabat-sahabatnya.



Di tempat itu suatu masa dahulu mereka mencampakkan najis, sampah sarap, ke atas pundak mulia Rasulullah sedang Baginda sujud. Mereka mentertawakan Rasulullah dan berbagai lagi penghinaan.



Kini, Rasulullah kembali ke Makkah, bersama keluarga dan sahabatnya; dengan kemenangan dan kekuasaan. Rasulullah mampu melakukan apa sahaja.



Mereka takut dan resah akan akibat pada mereka.



RASULLULLAH MEMAAFKAN



Pada saat itu, Rasulullah melihat mereka dan bertanya, "apa yang kamu sangka akan aku lakukan?" Mereka menjawab, "engkaulah saudara kami yang mulia, dan anak kepada saudara kami yang mulia."



Rasulullah saw merenung wajah-wajah mereka. Dengan segala rasa rahmat, kasih dan sayang Baginda kepada manusia seluruhnya, dengan tenang Rasulullah saw bersabda, "bersurai lah kamu, bebas lah kamu! Kamu semua bebas hari ini".



Rasulullah saw memaafkan bukan hanya seorang individu, bahkan seluruh masyarakat dan bangsa.



Maka, adalah tidak adil kita menyalahkan seluruh bangsa hanya perbuatan segelintir masyarakatnya.



Adalah tidak adil kita menghukum seluruh bangsa Yahudi sepanjang zaman dan tempat hanya kerana segelintir masyarakatnya.



Allah berfirman, "setiap perbuatan dosa seseorang, dirinya sendiri yang bertanggungjawab. Dan seseorang tidak akan memikul beban dosa orang lain…" (Surah al-An'am:164).



  • Penulis ialah Timbalan Mufti


"Demikianlah masuknya orang ke Islam, dengan sifat hilm Rasulullah saw, yakni sifat sabar dan pemaaf Baginda.

Baginda tidak mengizinkan kemarahan mengatasinya. Kesabaran dan kemaafanlah yang mendahului kejahilan, keangkuhan, kebodohan dan kemarahan...

Rasulullah saw memaafkan bukan hanya seorang individu, bahkan seluruh masyarakat dan bangsa. Maka, adalah tidak adil kita menyalahkan seluruh bangsa hanya perbuatan segelintir masyarakatnya. Adalah tidak adil kita menghukum seluruh bangsa Yahudi sepanjang zaman dan tempat hanya kerana segelintir masyarakatnya."

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >