Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Sambung silaturahim demi pahala berpanjangan

Ustaz Husin Adam terangkan kebaikan jaga hubungan dengan saudara-mara, sahabat ibu bapa yang telah meninggal
Jan 13, 2023 | 05:30 AM



MENYAMBUNG silaturahim antara sesama manusia adalah perbuatan yang mulia di sisi agama, bahkan ia boleh menjadi saham untuk memperpanjangkan amal jariah dan pahala bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia.



Justeru penting untuk anak-anak sentiasa menjaga hubungan baik dengan saudara-mara, kaum kerabat, sahabat handai kepada ibu bapa atau suami isteri yang telah meninggal dunia kerana kebaikannya akan sampai tidak sahaja kepada mereka yang mengusahakan jalinan ukhuwah itu, bahkan memberi pahala berterusan kepada mereka yang telah tiada.



Itulah antara perkongsian yang disampaikan oleh Ustaz Husin Adam, Imam Eksekutif Masjid Mujahidin dalam kuliah zuhur, Tingkatkan Ilmu Tebarkan Ihsan, di bawah tajuk, Keutamaan berbuat baik kepada ibu bapa, yang disampaikan baru-baru ini.



Ustaz Husin, yang mempunyai pengalaman berdakwah di masjid selama 18 tahun, berkata mendoakan atau menjalankan amal jariah atas nama ibu bapa yang telah meninggal dunia adalah antara amalan yang sering dilakukan oleh anak-anak soleh yang berharap orang tua mereka berada dalam keadaan tenang di alam barzakh. Namun ramai yang terlepas pandang akan kepentingan meneruskan silaturahim dengan saudara-mara dan sahabat handai yang pernah rapat dengan ibu bapa atau isteri dan suami ketika hayatnya.



Beliau, lulusan Sarjana Muda Syariah Fiqh wa Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, telah mengupas beberapa hadis yang menguatkan kepentingan menjaga ukhuwah ini. Antara hadis itu:



"Dari Ibnu Umar, beliau berkata: Nabi saw bersabda: "Sebaik-baik kebajikan adalah seseorang yang menyambung tali persaudaraan kenalan bapanya."



Dari Abdullah bin Dinar, dari Abdullah bin Umar ra, beliau berkata: Kami bertemu seorang lelaki Badwi di tengah perjalanan menuju ke Makkah, kemudian Abdullah bin Umar memberi salam dan mengajaknya naik ke atas keldai serta memberikan serban yang dipakai di kepalanya. Ibnu Dinar berkata kepada Ibnu Umar: "Semoga Allah selalu memberikan kebaikan kepadamu, sesungguhnya orang itu adalah orang Badwi dan mereka senang sekali diberi, walaupun hanya sedikit." Abdullah bin Umar berkata: "Sesungguhnya orang itu adalah kenalan baik (ayahku) Umar Ibnul Khattab ra, sesungguhnya sebaik-baik kebajikan adalah seseorang yang menyambung tali persaudaraan dengan kenalan ayahnya."



Hadis itu, kata Ustaz Husin, boleh dikaitkan dengan konteks hari ini tentang bagaimana seorang anak boleh berbuat baik dengan mereka yang pernah bersahabat dengan ibu bapa mereka.



"Hadis itu menunjukkan Ibnu Omar bukan setakat memberi salam kepada sahabat ayahnya, bahkan mengajaknya menaiki unta dan memberikan serban.



"Kita kalau jumpa sahabat Allahyarham ayah atau ibu kita, menegur dan mengucapkan salam kepada mereka sahaja, sudah mendapat pahala. Apatah lagi kalau kita berbuat baik dan memberikan hadiah untuk menggembirakan mereka kerana mengenangkan persahabatan yang pernah terjalin dengan ibu bapa dahulu," kata Ustaz Husin, yang juga merupakan Naib Kadi di Singapura sejak 12 tahun lalu.



Beliau juga menegur anak-anak yang hubungan mereka dengan ibu bapa saudara menjadi renggang dan jarang berhubungan selepas kematian orang tua.



"Kadangkala, nak telefon pak cik mak cik kita pun susah. Nasib baik ada Hari Raya... ada juga peluang berjumpa mereka. Kalau tidak, memang susahlah nak jumpa. Padahal banyak contoh-contoh hadis menunjukkan banyak pahala yang boleh kita dapatkan hanya dengan menyambung silaturahim dan perbuatan ini boleh membawa kita ke syurga selain meneruskan amal jariah seperti bersedekah, berdoa, membaca Al-Quran, untuk menyelamatkan ibu bapa daripada azab kubur," tambah beliau. Satu lagi hadis yang dipetik:



Dari Abu Usaid Malik bin Rabi'ah as-Sa'idiy ra, beliau berkata:



"Tatkala kami duduk di hadapan Rasulullah saw, tiba-tiba datanglah seorang lelaki daripada Bani Salimah dan bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah ada kebaikan yang dapat saya lakukan untuk berbakti kepada kedua orang tua saya setelah mereka meninggal dunia?" Baginda menjawab: "Doakan ibu bapa, memohon ampun untuk mereka, melaksanakan janji (wasiat) mereka, menghubungi keluarga yang tidak dapat dihubungi, kecuali dengan keduanya dan memuliakan kenalan baik mereka." (HR Abu Daud).



Kata Ustaz Husin, mengikat kembali ukhuwah sesama manusia tidak memerlukan usaha yang terlalu besar atau perbelanjaan yang banyak.



"Banyak cara untuk kita memuliakan kawan-kawan dan saudara ibu bapa kita.



"Telefon bertanya khabar. Atau ajak mereka jumpa minum kopi bersama. Lebih banyak kebaikan yang kita amalkan, tentu lebih baik kesan dan ganjarannya," ujar beliau.



Beliau juga mengungkap hadis yang menggambarkan kebaikan yang diteruskan Rasulullah saw dalam memuliakan Khadijah ra, setelah isteri pertama kesayangan Nabi itu meninggal dunia.



Dari Aisyah ra : "Saya tidak pernah merasa cemburu terhadap isteri-isteri Nabi saw yang lain kecuali terhadap Khadijah ra padahal saya tidak pernah berjumpa dengannya, tetapi kerana Nabi sering menyebut-nyebutnya, dan beliau sering menyembelih kambing kemudian memotong beberapa bahagian dan dikirimkan kepada kenalan-kenalan baik Khadijah. Saya sering berkata kepadanya: "Seolah-olah dunia ini tidak ada wanita selain Khadijah." Maka Baginda menjawab: "Sesungguhnya Khadijah itu begini dan begitu." (HR Bukhari dan Muslim).



Terdapat beberapa riwayat lain yang juga mengatakan:



u "Apabila beliau menyembelih kambing, beliau memberi kenalan-kenalan baik Khadijah apa yang mereka inginkan."



u "Apabila beliau menyembelih kambing, Baginda bersabda: "Kirimlah daging ini kepada kenalan-kenalan Khadijah."



u "Haulah binte Khuwailid, adik Khadijah, pernah meminta izin untuk masuk ke rumah Rasulullah saw, kemudian beliau teringat cara Khadijah meminta izin, maka terharulah beliau seraya bersabda: "Ya Allah, inilah Haulah binti Khuwailid."



Hadis ini, kata Ustaz Husin, menjelaskan amalan-amalan mulia yang pernah dilakukan oleh ibu bapa juga boleh diteruskan, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan hubungannya dengan orangorang lain seperti yang dilakukan Sayidatina Khadijah terhadap kawan-kawannya seperti membahagi-bahagikan daging.



"Mulai sekarang, cubalah cari kawan-kawan ibu bapa. Kalau boleh, bukan setakat tegur mereka bila jumpa di luar, bahkan sanjung mereka dan hormati mereka... insya-Allah akan ada pahala untuk kita dan ibu bapa.



"Janganlah ambil remeh dengan pak cik mak cik kita selepas ibu bapa kita meninggal dunia... banyak kebaikan dunia dan akhirat jika kita menjaga silaturahim demi mendapatkan keredaan Allah swt," tambah Ustaz Husin.




"Mulai sekarang, cubalah cari kawan-kawan ibu bapa. Kalau boleh, bukan setakat tegur mereka bila jumpa di luar, bahkan sanjung mereka dan hormati mereka... insya-Allah akan ada pahala untuk kita dan ibu bapa.



Janganlah ambil remeh dengan pak cik mak cik kita selepas ibu bapa kita meninggal dunia... banyak kebaikan dunia dan akhirat jika kita menjaga silaturahim demi mendapatkan keredaan Allah swt."



- Ustaz Husin Adam, Imam Eksekutif Masjid Mujahidin.




KEBAIKAN YANG BOLEH DILAKUKAN UNTUK BERBAKTI KEPADA KEDUA ORANG TUA YANG SUDAH TIADA



"Doakan ibu bapa, memohon ampun untuk mereka, melaksanakan janji (wasiat) mereka, menghubungi keluarga yang tidak dapat dihubungi, kecuali dengan keduanya dan memuliakan kenalan baik mereka."



- Hadis Riwayat Abu Daud.




SEKILAS BIODATA



Ustaz Husin Adam bertugas sebagai Imam Eksekutif di Masjid Mujahidin. Mempunyai kelulusan Sarjana Muda Syariah Fiqh wa Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, beliau mempunyai pengalaman berdakwah di sektor masjid selama 18 tahun termasuk di Masjid An-Nur (2004-2007) dan Masjid Mujahidin (2008 sehingga kini). Beliau juga merupakan Naib Kadi sejak 12 tahun lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >