Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Jaga aib diri, orang lain... Tiada insan yang tak berdosa

USTAZ AKHMUDI SARKIMAN

Sep 09, 2022 | 05:30 AM



SETIAP manusia mempunyai kekurangan dan tidak luput daripada kesalahan.



Sebaik mana pun kita, tetap akan kelihatan aib dan cacat di sisi Allah swt. Kerana kesempurnaan hanya milik Allah swt.



Kesalahan mahupun dosa adalah aib yang wajib disembunyikan. Tetapi kadangkala kita malah menceritakan permasalahan yang boleh dikatakan sebagai aib kepada orang lain. Dalam Islam, kita wajib menutup aib sendiri dan tidak mendedahkannya kepada orang lain.



Rasulullah saw melarang umatnya membuka atau menceritakan aib sendiri kepada orang lain. Beliau mengajarkan kepada kita agar menyembunyikan dosa-dosa mahupun aib kita.



Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw telah bersabda yang bererti:



"Setiap umatku dimaafkan, kecuali mujahirin (orang yang suka menampakkan aibnya sendiri). Sesungguhnya termasuk mujaharah (terang-terangan berbuat dosa) adalah ketika seseorang berbuat dosa di malam hari kemudian ia masuk waktu pagi dalam keadaan Allah swt menutupi dosa-dosanya lalu ia berkata: 'Hai Fulan, tadi malam aku telah berbuat begini dan begitu'. Padahal ia tidur di malam hari dalam keadaan Allah swt menutup aibnya, dan di pagi hari ia menyingkap tutupan Allah swt dari dosa-dosanya." (HR Bukhari).



CELAAN YANG MENJATUHKAN



Secara istilah, aib bermaksud sesuatu kelemahan yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.



Ia merupakan suatu celaan yang ada pada diri seseorang yang sifatnya buruk dan tidak menyenangkan jika diketahui oleh orang lain. Ia akan menimbulkan rasa malu, yang akan membawa kepada kesan psikologi yang negatif jika disebarkan. Kerana itu, aib adalah suatu hal yang harus ditutup rapat-rapat dan tidak boleh disebarkan.



Namun, apabila menceritakan dosa atau kesalahan dengan maksud untuk meminta nasihat kepada ahli agama, guru, atau orang yang ahli dengan masalah yang dihadapi, tidak mengapa, sebagaimana para sahabat datang kepada Rasulullah saw memohon pendapat mengenai kesalahan yang telah dilakukan.



Hakikatnya, perkara aib diri adalah rahsia yang perlu disimpan. Walaupun ada segelintir masyarakat yang berbangga dengan maksiat dan kemungkaran yang dilakukan sehingga mendedahkan perbuatan tersebut di media sosial, ia bukanlah sesuatu yang wajar dan dibenarkan dalam agama.



Allah swt berfirman dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:



"Aku (Allah) telah menyembunyikan dan menutupi aib hamba Ku dan dia yang membukanya sendiri. Aku (Allah) tutupi supaya orang lain tidak tahu dosanya, dia sendiri yang membuka dan membuka tabir yang Ku tutup agar orang lain tidak tahu kehinaannya. Dia yang membuka kehinaannya pada orang lain padahal Aku menutupinya". (HR Bukhari dan Muslim).



AIB DI MEDIA SOSIAL



Media sosial merupakan salah satu wadah komunikasi yang paling popular dan bukan perkara baru pada masa kini. Hampir setiap hari orang menghabiskan masa melayari media sosial untuk membuat hubungan peribadi mahupun urusan kerja. Secara umumnya, pendedahan diri di media sosial ialah apa jua mesej, atau maklumat mengenai seseorang yang dikongsi dalam talian atau di laman web. Namun, bagaimanakah jika perkongsian tersebut membuka aib sendiri atau orang lain?



Tanpa disedari, media sosial telah menjadi wadah untuk meluahkan perasaan sama ada perasan sedih, gembira atau teruja hinggakan medium ini kadangkala menjadi tempat membuka aib diri sendiri atau orang lain.



Jika dahulu, seorang meluahkan perasaan kepada orang terdekat seperti ahli keluarga sendiri, kini senario yang berlaku amat berbeza. Perkongsian di media sosial tidak sepatutnya membuka ruang untuk mendedahkan keaiban kita atau orang lain, apatah lagi jika dapat dilihat oleh mereka yang tidak mempunyai kaitan dengannya atau orang asing yang tidak dikenali.



Orang asing ini kemudiannya dapat mengetahui segala yang dikongsikan di layar media sekali gus boleh membawa kepada niat buruk seperti penyebaran maklumat yang mengandungi unsur fitnah.



Perbuatan ini sangat dibenci oleh Allah swt, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:



"Sesungguhnya orang-orang yang menyenangi tersebarnya perbuatan keji di kalangan orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.."(QS. An Nur: 19).



PERBUATAN GHIBAH



Sejak akhir-akhir ini, kita dapat lihat fenomena membuka aib samada diri sendiri mahupun orang lain secara terang-terangan sudah menjadi lumrah dalam masyarakat kita. Tanpa ada perasaan bersalah atau malu dengan apa yang mereka lakukan, aib itu diuar-uarkan kepada umum.



Pada dasarnya diharamkan bagi seorang Muslim mengungkapkan aib saudaranya kerana ini termasuk ke dalam perbuatan ghibah, iaitu mengungkapkan aib saudaranya sesama Muslim pada saat orang itu tidak ada dihadapannya dan saudaranya itu tidak menyukainya jika berita tersebut sampai kepadanya. Allah swt telah berfirman di dalam Al-Qu'ran, dengan maksud:



"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada banyak prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah maha penerima taubat, maha penyayang." (QS. Al-Hujurat: 12).



Selain itu, Rasulullah saw juga memberi peringatan kepada orang-orang yang suka mengungkapkan aib saudaranya, beliau bersabda: "Hati-hatilah kalian terhadap prasangka. Sebab prasangka adalah seburuk-buruknya pernyataan. Janganlah kalian mencari-cari dan mengintai kesalahan orang lain." (HR Bukhari & Muslim).



ISLAM AGAMA KASIH SAYANG



Islam adalah agama yang mengajarkan kasih sayang sesama insan. Seorang Muslim diajarkan untuk menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, bukan mencela dan memburuk-burukkan sesama yang terjerumus ke dalam kemaksiatan selagi dia tidak melakukannya secara terang-terangan dan dia bertaubat dengan kesalahannya. Jangan sampai kita mencela, menghina, dan sombong dengan menganggap diri kita lebih baik daripada orang lain.



Daripada bercakap tentang aib orang, alangkah lebih baik kita memperbaiki diri kita sendiri kerana sebuah hadis menyatakan "Seorang Mukmin adalah cermin bagi Mukmin lainnya. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya."(HR. Bukhari)



Dalam hal ini, setiap individu bukan sahaja ditegah daripada menyebarkan aib sendiri, malah aib orang lain. Perkongsian maklumat peribadi dan apa jua posting di media sosial juga perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak lalai dalam menyebar, mengulas dan apa sahaja tulisan yang mendedahkan aib.



Rasulullah saw juga mengingatkan umatnya supaya tidak menyebarkan aib sesama umat Muslim.



Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda yang ertinya:



"Barangsiapa melepaskan kesusahan seorang Muslim daripada kesusahan dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat. Barangsiapa menutupi aib seorang, Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Barangsiapa memudahkan orang yang susah, Allah akan mudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Allah akan senantiasa menolong hamba-Nya selama ia menolong saudaranya." (HR Muslim).



Apabila Allah swt telah menutup segala keaiban dan dosa-dosa kita daripada pandangan manusia, maka adalah sesuatu yang tidak wajar jika kita sendiri mendedahkannya kerana perbuatan tersebut boleh menjatuhkan maruah sendiri.



Dalam sebuah hadis lain Rasulullah saw bersabda dengan ertinya:



"Wahai manusia, siapa yang Islamnya hanya di lisan, maka iman tidak akan masuk ke hatinya. Janganlah kalian menyakiti sesama Muslim, mencela mereka dan membuka aib mereka. Kerana siapa yang membuka aib saudaranya, maka Allah akan membuka aibnya. dan siapa yang Allah buka aibnya, maka Allah akan mempermalukannya meskipun di dalam rumahnya." (HR. Abu Dawud, Tirmidzi dan Ahmad).



Kita tahu bahawa menjaga aib adalah salah satu sifat orang yang mempunyai rasa malu. Jika seseorang itu boleh mengawal dirinya dalam penggunaan media sosial dengan baik, ia dapat memberi kesan yang baik kepada dirinya. Ini kerana teknologi dan era digital yang semakin pesat berkembang perlu ditapis dengan ilmu dan keimanan untuk mengoptimumkan penggunaannya ke arah kebaikan dan dakwah agar dapat memberi manfaat, bukan yang menjerumuskan diri ke lembah kehinaan.



Kita terkadang menceritakan aib diri sendiri kepada orang lain secara sengaja dan bahkan ada sebahagian orang yang berbangga diri dengan menceritakan aibnya kepada orang lain, padahal perkara tersebut adalah perbuatan dosa dan hina. Kita semua punya aib masing-masing, hanya Allah yang tahu kekurangan dan kelemahan kita. Oleh itu, jaga diri dengan tidak bercakap tentang aib orang agar Allah lindungi dan menutupi kekurangan dan aib kita. Wallahuaklam.




KATA-KATA HIKMAH



KATA-KATA hikmah Ibnu Khaldun, seorang sejarawan Arab dari abad ke-14. Beliau dianggap sebagai ahli ilmu sosiologi, historiografi, dan ekonomi moden.



  • "Di sepanjang sejarah banyak bangsa telah menderita kekalahan jasmani, tetapi itu tidak menandai akhirnya sebuah bangsa. Tetapi ketika sebuah bangsa telah menjadi korban dari kekalahan psikologis, maka itulah tanda kehancuran bangsa itu."

  • "Usaha yang dimiliki oleh saudagar atau perusahaan yang bertanggung jawab akhirnya akan mengungguli usaha yang dimiliki penguasa - penguasa kaya."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >