Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

BICARA MUFTI

Setiap Muslim seorang pemimpin

Oct 08, 2017 | 05:30 AM



PADA hari kiamat, setiap insan yang dibangkitkan kelak tentunya mengharapkan perlindungan Allah swt serta ditempatkan di tempat yang dimuliakan.



Alangkah baiknya jika kita menjadi golongan pertama yang mendapatkan perlindungan itu.



Siapakah golongan pertama yang mendapat keistimewaan itu?



Jawapannya?



Pemimpin yang adil, kata Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram.



Siapakah pula pemimpin yang dimaksudkan?



"Allah jadikan setiap daripada kita sebagai pemimpin dan setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang berada di bawah jagaan kita," kata Mufti dalam kuliah tafsir mingguannya di Masjid Darul Makmur baru-baru ini.



Justeru, pemimpin itu tidak terhad kepada pemimpin negara, daerah, persatuan atau di tempat kerja saja.



Malah, seorang suami itu pemimpin kepada keluarganya dan seorang isteri pula pemimpin kepada anak-anaknya.



PEGANG AMANAH



Menurut Mufti ciri seorang pemimpin terkandung dalam ayat 58, surah An-Nisa yang bermaksud:



"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia, supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat."



Berdasarkan ayat itu, antara ciri seorang pemimpin yang adil ialah beliau melaksanakan amanah.



"Orang yang tidak amanah, maka dia tidak ada iman. Orang yang ada iman, iman itu akan membantu kita, menolong kita dapat merasakan betapa besarnya tanggungjawab melaksanakan amanah memandangkan setiap amanah itu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah," kata Mufti.



Namun, orang yang tidak beriman itu tidak bermakna mereka terus kafir.



"Ulama menjelaskan apa yang dimaksudkan ialah imannya tidak sempurna atau imannya lemah," tambah Mufti.



Menurut ayat itu, seorang pemimpin juga perlu bersifat adil.



Allah menegaskan amanah wajib dilaksanakan dan yang kedua apabila jadi hakim, biar adil.



Adil bukan bermakna sama rata atau bermakna meletakkan sesuatu di tempatnya, jangan berlaku zalim.



SEDAR TUHAN MELIHAT, MENDENGAR



Menurut Mufti, ayat itu juga menjelaskan bahawa apabila menjadi pemimpin, jangan lupa yang Allah itu Maha mendengar, jangan lupa Allah itu Maha melihat.



"Kita tengok diri kita sendiri kerana setiap orang daripada kita ialah pemimpin. Suami, sebelum cakap perintah "awak tak masuk syurga kalau tidak dengar cakap saya sebagai suami," perlu tengok ayat ini.



"Dia tunaikan amanah tak? Bersifat adil tak? Jaga tak hubungan dengan Allah dengan menyedari Allah sentiasa mendengar dan melihat kita? Ada itu semua?



"Kalau ada, barulah boleh cakap aku ini suami," kata Mufti.



SETIAP INSAN PUNYA PERASAAN



Menurut Mufti, apabila kita hendak berlaku adil dengan orang lain, paling asas sekali ialah menyedari siapa sebenarnya di bawah kepimpinan kita. Kita selalu tidak berlaku adil sebab kita lupa diri kita insan.



"Insan itu makhluk yang punya perasaan. Yang namanya insan, dia punya akal dan boleh berfikir.



"Seorang pemimpin apabila menyedari orang di bawah kepimpinannya ada perasaan dan punya fikiran dan ada akal dia tidak akan pandang hina pada dia. Itu asas menjadi seorang pemimpin," jelas Mufti.



Mufti menarik perhatian, seorang insan itu juga mempunyai harga diri dan maruah.



"Dalam Islam perkara yang wajib kita jaga ialah jaga nama baik.



"Jadi pemimpin, jadi bapa, jadi suami... jangan lupa, isteri kita, walaupun dia tak bekerja, tak berpelajaran setinggi kita, dia insan, punya hati dan perasaan, punya akal dan boleh berfikir, punya harga diri dan maruah," kata Mufti.



Insan juga tentunya ada kelemahan.



Justeru, sebagai pemimpin, jangan sampai hampa dengan kelemahan mereka yang berada di bawah kepimpinan kita, nasihat Mufti.



"Dengan isteri, setiap sikit orang salah, kita marah.



"Setiap kali ada kekurangan anak, kita menengking. Macamlah kita tidak ada kesilapan, kita tidak ada kekurangan," kata Mufti.



Menurut Mufti, Nabi pernah berkata kalau Baginda diberi satu saja peluang untuk kabulkan doa, Baginda akan mendoakan pemimpin.



Kenapa?



"Sebab, kalau pemimpin itu bagus dan baik, kehidupan semua orang di bawahnya baik," kata Mufti.



"Mudah-mudahan di sebalik hijrah ini, di sebalik tahun baru ini, Allah sentiasa masukkan dalam diri kita kesedaran dan iman.



"Mudah-mudahan iman yang disuburkan dalam diri kita oleh Allah, akan membantu kita, menjadi taufik dan hidayah dalam kita melaksanakan amanah kita kepada orang-orang yang berada di bawah penjagaan kita. Mudah-mudahan dengan itu kita mendapat syurga Allah," nasihat Mufti.




"Dalam Islam perkara yang wajib kita jaga ialah jaga nama baik. Jadi pemimpin, jadi bapa, jadi suami... jangan lupa, isteri kita, walaupun dia tak bekerja, tak berpelajaran setinggi kita, dia insan, punya hati dan perasaan, punya akal dan boleh berfikir, punya harga diri dan maruah."
- Mufti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >