Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Solat diabadi pada malam Mikraj

Mar 12, 2021 | 05:30 AM



PERISTIWA yang belum pernah berlaku sebelumnya dan tidak akan berlaku lagi selepasnya.



Itulah peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah saw pada tahun ke-11 Hijrah.



Peristiwa yang menunjukkan keagungan Rasulullah saw dan ketinggian kedudukannya di sisi Allah swt.



Israk bermaksud perjalanan malam manakala Mikraj pula bermaksud pendakian.



Maka peristiwa ini merangkumi dua perjalanan.



Pertama, perjalanan Rasulullah saw dari Makkah ke Baitulmakdis.



Kedua, perjalanan baginda ke langit yang ketujuh dan seterusnya ke bawah Arash Allah swt.



Secara keseluruhannya, peristiwa ini mengambil masa yang amat singkat. Ada riwayat menyatakan hanya beberapa minit sahaja. Ada yang menyatakan beberapa jam sahaja.



Jika kita buka lipatan sejarah, sebenarnya perjalanan yang begitu jauh dalam masa yang sangat singkat pernah berlaku pada zaman Nabi Sulaiman as.



Ketika Nabi Sulaiman as melontarkan cabaran kepada semua rakyatnya daripada kalangan jin dan manusia, siapa yang mampu membawa istana Balqis dari Yaman ke Palestin, seorang manusia yang soleh menyahut cabarannya.



Dia mendakwa bahawa dia mampu membawa istana itu sebelum Nabi Sulaiman as dapat mengelip matanya.



Dan benar, tiba-tiba istana Balqis berada di hadapan Nabi Sulaiman as.



Namun, peristiwa yang hebat ini tidak dapat menandingi perjalanan Israk Rasulullah saw.



Ini adalah kerana Nabi Sulaiman as tidak lakukan perjalanan tersebut. Sebaliknya, istana itu yang dibawa kepadanya.



Sedangkan Rasulullah saw sendiri yang melakukan perjalanan Isra' itu dengan jasadnya dalam masa yang sangat singkat.



Begitu juga peristiwa Mikraj. 600 tahun sebelumnya, seorang nabi telah pun melakukan perjalanan tersebut. Nama nabi tersebut ialah Isa al-Masih as.



Tetapi perbezaanya ialah kenaikan Nabi Isa as ke langit adalah perjalanan sehala.



Baginda tidak akan turun kembali ke dunia melainkan setelah Dajjal menguasai dunia. Dan Nabi Isa as tidak naik ke tingkatan Sidratul Muntaha dan seterusnya di bawah Arash Allah.



Sedangkan Rasulullah saw dijemput naik ke tujuh petala langit sampai ke Sidratul Muntaha dan akhirnya ke bawah Arash Allah. Dan baginda saw kemudian kembali ke dunia.



Ini bukti jelas bahawa peristiwa Israk dan Mikraj tiada tandingannya.



MENGAPA ALLAH SWT ANUGERAHKAN RASULULLAH SAW DENGAN PERISTIWA YANG TERAGUNG INI?



Sudah pasti sebabnya banyak.



Pertama sekali, ia untuk meneguhkan lagi semangat Rasulullah saw yang mengalami beberapa peristiwa yang menyedihkannya.



Beberapa bulan sebelumnya, Rasulullah saw kehilangan isterinya yang tercinta, Khadijah, dan pakciknya yang disayangi, Abu Talib.



Kedua-dua tokoh ini merupakan orang yang paling kuat berikan semangat dan dorongan kepada Rasulullah saw.



Sokongan zahir dan batin yang diberikan Khadijah tidak berbelah bagi. Perlindungan yang diberikan Abu Talib menghalang musuh Islam daripada mencederakan Rasulullah saw.



Setelah kematian Abu Talib, penentangan orang-orang musyrik semakin meningkat dan mereka semakin mengganas.



Dalam masa yang sama, Rasulullah saw tidak berjaya untuk mengislamkan penduduk kota Taif.



Dalam keadaan kecewa dan kesedihan inilah, Allah swt hadiahkan Rasulullah saw dengan perjalanan agung Israk dan Mikraj.



Kedua, untuk menunjukkan kepada semua, terutama kepada Rasulullah saw, bahawa baginda merupakan penghulu bagi segala nabi dan rasul.



Apabila Rasulullah saw tiba di Masjidil Aqsa, kesemua para nabi dan rasul berkumpul di situ menunggu ketibaan baginda saw.



Rasulullah saw kemudian dijemput untuk mengimamkan solat bagi ratusan ribu para nabi dan rasul itu.



Ketiga, untuk memaklumkan kepada semua bahawa setiap lapisan langit dijaga begitu rapi oleh malaikat. Tiada siapa dapat melepasinya, walaupun malaikat Jibril sekali pun, melainkan dengan izin Allah swt.



Dan langit yang kedua sehingga langit yang ketujuh berada di alam rohani, bukan di alam semesta fizikal kita.



Ini penting kerana ada yang menganggap bahawa tujuh lapisan langit ialah lapisan udara bumi atau tujuh planet di sistem suria kita. Anggapan ini semua tidak menepati hadis Rasulullah saw berkenaan perjalanan Mikrajnya.



Keempat, kemuncak perjalanan agung ini adalah untuk mendapat anugerah tertinggi bagi orang Islam.



ANUGERAH IBADAT SOLAT



Solat merupakan ibadah teragung bagi orang Islam. Semua ibadat lain jadi sia-sia jika tidak dilakukan ibadat solat. Solat ialah tiang agama. Roboh tiang ini, robohlah agama seseorang.



Semua ibadat lain diperintahkan oleh Allah melalui wahyu kepada Rasulullah saw.



Tetapi ibadat solat diwajibkan oleh Allah dengan perbicaraan langsung kepada Rasululah saw tanpa kehadiran satu pun makhluk bersamanya.



Begitulah agungnya ibadat solat. Bertambah agung lagi ibadat ini ialah ganjaran bagi setiap solat menyamai sepuluh solat.



Maka orang yang mengerjakan lima solat fardu mendapat pahala seperti dia kerjakan solat fardu sebanyak 50 kali.



Sempena peringatan peristiwa Israk dan Mikraj yang jatuh pada 27 Rejab, marilah kita hargai hadiah yang amat berharga ini daripada Allah. Jagalah solat kita. Nescaya Allah akan jaga kita dunia dan akhirat.



  • Penulis ialah Pengurus Pusat Pengajian Darul Huffaz.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >