Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Syaaban, persiapan menjelang Ramadan

Syaaban, bulan kelapan dalam kalendar Hijrah, terletak di antara dua bulan mulia, iaitu Rejab dan Ramadan. Bulan penuh keberkatan yang baru tiba ini berasal daripada perkataan 'sya'aba' yang bermaksud berpecah. Ada juga ulama yang berpendapat bahawa Syaaban membawa maksud 'bulan pemisah' kerana ia memisahkan antara Rejab dengan Ramadan. Syaaban merupakan bulan persediaan dan persiapan bagi umat Islam menghadapi Ramadan yang bakal tiba. Daripada sejarah Islam, kita dapat pelajari bahawa terjadinya beberapa peristiwa istimewa serta keutamaan pada bulan ini. Oleh itu, kita sewajarnya mengambil kesempatan meraih keistimewaan Syaaban dengan memperbanyakkan ibadah untuk merangkul fadilatnya yang pelbagai.
Mar 03, 2023 | 05:30 AM



KEISTIMEWAAN, FADILAT SYAABAN



BULAN PENUH KEISTIMEWAAN



● Nisfu Syaaban



MALAM ke-15 dalam Syaaban ataupun Nisfu Syaaban merupakan malam penuh rahmat di mana pada malam ini, doa menjadi sangat mustajab.



Para Muslimin digalakkan memperbanyakkan istighfar, berzikir, berselawat serta berdoa pada malam ini.



Daripada Abu Hurairah ra daripada Nabi Muhammad saw bersabda:



"Telah datang Jibrail as pada malam Nisfu Syaaban dan berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!"



Kata saya (Nabi Muhammad saw): "Hai Jibrail, apakah erti malam ini?"



Dia Jibrail menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka membawa konflik (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan.



"Maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."



Maka pergilah Nabi Muhammad saw mengerjakan solat serta menangis di dalam sujudnya sambil membaca:



"Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari seksa-Mu dan murka-Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepada-Mu, sebagaimana Engkau memuji kepada-Mu sendiri, maka segala puji bagi-Mu sehingga Engkau reda." (Dipetik daripada kitab Zubdatul Wa'izin)



Amalan diangkat, dihadapkan kepada Allah



Umat Islam sewajarnya mengisi Syaaban dengan amal ibadah serta kebajikan kerana di antara keistimewaannya ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Sang Pencipta.



Rasulullah saw pernah bersabda:



"Bulan itu adalah bulan yang dilupakan manusia, iaitu bulan antara Rejab dengan Ramadan, dan ia adalah bulan yang diangkat di dalamnya seluruh amalan kepada Tuhan semesta alam, maka aku menginginkan amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa". (HR Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Khuzaimah)



Justeru, Nabi saw meningkatkan ibadahnya dengan memperbanyakkan puasa pada bulan ini berbanding bulan-bulan lain (selain Ramadan).



Pindahnya kiblat



Salah satu peristiwa terpenting dalam sejarah Islam termasuk penukaran arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmakdis ke arah Masjidil Haram di Makkah Al-Mukarramah.



Peristiwa yang berlaku pada pertengahan Syaaban tahun kedua Hijrah ini pernah menimbulkan pelbagai isu besar di Madinah.



Kaum Yahudi pada ketika itu mengambil kesempatan ini untuk memfitnah dan memperlekehkan dakwah Rasulullah saw.



Maka Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 142:



"Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: "Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmakdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya." Katakanlah: "Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus."



Turunnya ayat selawat



Selawat merupakan salah satu ibadah dalam bentuk penghormatan kaum Muslimin kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw, yang telah berjasa mengajarkan dan menyebarkan agama Islam.



Maka ulama seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani menganjurkan kita supaya memperbanyakkan selawat kepada Nabi saw pada bulan ini, di mana ayat perintah untuk berselawat diturunkan.



Allah berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat 56:



"Sungguh Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, selawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya."



Nabi saw juga pernah bersabda tentang keutamaan orang yang berselawat di mana golongan ini akan dikumpulkan bersamanya pada akhirat kelak:



"Manusia yang paling berhak bersamaku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat kepadaku." (HR Tirmidzi)



PERTINGKAT AMAL SOLEH



Sememangnya, berdasarkan hadis Nabi saw, tiada amalan khusus yang telah ditetapkan untuk kita amalkan pada Syaaban.



Namun, kita boleh mengambil kesempatan bulan penuh barakah ini untuk menghidupkan sunah-sunahnya sebagai persiapan menuju Ramadan yang dinanti.



Ini termasuk memperbanyakkan amalan seperti:



Berpuasa



Daripada Usamah bin Zaid ra, beliau berkata: "Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam Syaaban."



Nabi saw bersabda:



"Bulan itu adalah bulan yang dilupakan manusia, iaitu bulan antara Rejab dengan Ramadan, dan ia adalah bulan yang diangkat di dalamnya seluruh amalan kepada Tuhan semesta alam, maka aku menginginkan amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa". (HR Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Khuzaimah)



Solat sunat



Solat sunat sangat digalakkan kerana ia dapat tampung atau melengkapkan kekurangan yang ada ketika kita menunaikan solat fardu.



Maka, pada bulan ini serta menjelang Ramadan, kita seharusnya mengambil kesempatan melazimi solat-solat sunat seperti solat sunat qabliyyah, ba'diyyah, tahajud dan duha supaya ia dapat dijadikan sebahagian daripada amalan harian kita.



Abu Hurairah ra menyebutkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:



"Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada kiamat ialah solatnya; jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah dia. Jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah swt berfirman: "Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya?" Demikianlah keadaan semua amalnya yang lain dihisab." (HR Tirmidzi)



Tadabbur dan membaca Al-Quran



Daripada Abu Umamah Al-Bahili ra bahawa Nabi saw bersabda:



"Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya). (HR Muslim)



Berselawat, berdoa dan bermunajat



Allah swt juga menggalakkan kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya sepertimana yang difirmankan dalam Surah Ghafir ayat 60:



"Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina."



Maka, wajarlah bagi umat Islam bersungguh-sungguh beribadah pada Syaaban penuh mulia ini sebagai persiapan menghadapi Ramadan yang bakal tiba. Marilah bersama merebut peluang dan kelebihan bulan ini dengan memperbanyakkan amal soleh dan mempertingkatkan ketakwaan kita kepada-Nya.



Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 148:



"Maka berlumba-lumbalah dalam mengerjakan kebajikan atau ibadah."




Penulis bertugas sebagai penyunting kandungan di Berita Harian/ Berita Minggu. Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda bidang tafsir dan usuluddin. Beliau telah mengikuti program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan tersenarai di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Beliau mantan eksekutif kurikulum dan ustazah di pusat pendidikan Nadi Quran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >