SYAABAN, yang bermula hari ini, mempunyai keistimewaan tersendiri dan seharusnya digunakan untuk menyiapkan diri bagi menyambut Ramadan - bulan ditunggu- tunggu seluruh umat Islam - yang akan menyusul 30 hari lagi.
Ini kerana ada segelintir yang keliru apa perlu dilakukan setibanya Syaaban sama ada untuk mula melatih diri berpuasa, meneruskan puasa yang sudah dimulakan sejak Rejab atau berhenti berpuasa agar tidak menjejas puasa dalam Ramadan.
Menjawab kekeliruan itu, Ustaz Ruhaizan Abdullah, Pengurus Masjid Darul Makmur, berkata masyarakat Muslim, harus mengambil kesempatan meraih keistimewaan Syaaban dengan melakukan ibadat seperti berpuasa, bersolat malam dan berdoa secara bersungguh-sungguh.
"Syaaban memiliki keistimewaan tersendiri. Atas hikmat yang khusus, Rasulullah saw menghidupkan Syaaban dengan ibadat berupa prapersediaan bagi Ramadan.
" Bagi yang kuat beribadah, mereka akan bersungguh-sungguh merangkul fadilatnya dalam bentuk-bentuk yang khusus, termasuk berpuasa, bersolat malam dan berdoa," jelas Ustaz Ruhaizan.
Beliau memetik Ibn al-Qayyim ra yang berkata "amalan diangkat dan dibentangkan kepada Allah swt" sebagaimana yang dikhabarkan Rasulullah saw bahawa "amalan tahunan diangkat dalam Syaaban dan amalan mingguan pula diangkat pada Isnin dan Khamis".
Abu Hurairah ra, menurut beliau, turut meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: "Amalan dibentangkan pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa." (HR At-Tirmidzi).
Menerangkan fadilat Syaaban dalam perbualan dengan Berita Harian, Ustaz Ruhaizan berkata, atara hadis sahih yang dijadikan pegangan diriwayatkan Usamah bin Zaid ra, yang berkata: "Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa dalam Syaaban?"
Bagi menjawab pertanyaan itu, Nabi saw bersabda yang bermaksud: "Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai mengenainya, iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan-bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan Maha Pentadbir Sekelian Alam. Maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa." (HR An-Nasa'i).
Sayidatina Aisyah ra menggambarkan kesungguhan Rasulullah saw beribadat dalam Syaaban dengan memperbanyak berpuasa.
"Baginda saw biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa Baginda tidak akan berbuka (seolah-olah Baginda berpuasa terus). Dan Baginda saw, apabila berbuka, sehingga kami katakan bahawa Baginda akan terus berbuka (tidak berpuasa terus).
"Dan aku tidak melihat Baginda saw menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda saw berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika Baginda saw berpuasa dalam Syaaban." (Sahih al-Bukhari).
"Oleh itu, sewajarnya kita meneladani Rasulullah saw yang mencipta peluang dan menjadi sebab amalannya diterima Allah swt melalui berpuasa.
"Pahalanya bertambah disebabkan menghidupkan Syaaban yang kebanyakan manusia lalai disebabkan ia terselit antara Rejab dengan Ramadan," kata Ustaz Ruhaizan.
IBADAT JUGA PERLU STRATEGI
Namun, dalam melakukan puasa sunat, beliau mengingatkan masyarakat agar membuat perancangan agar tidak menjejas puasa wajib dalam Ramadan.
"Ibadat tanpa strategi atau mengukur tahap kemampuan akan membawa keburukan. Kita wajib mengelakkan perbuatan mengejar pahala sunat yang mengakibatkan apa yang diwajibkan gagal disempurnakan.
"Justeru Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Janganlah kalian mendahului puasa Ramadan satu hari atau dua hari, kecuali puasa yang biasa dilakukan oleh seseorang, maka silakan ia melakukan puasa tersebut". Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud," ujar Ustaz Ruhaizan.
Beliau menambah, fuqaha memperincikan hukum berpuasa selepas 15 Syaaban berdasarkan tahap kemampuan seseorang seperti berikut:
- (i). Makruh berpuasa pada 28 atau 29 Syaaban kerana persiapan fizikal puasa Ramadan.
- (ii). Sunat berpuasa selepas 15 Syaaban, terutama bagi yang melazimi puasa sunat.
- (iii). Makruh bagi mereka yang khuatir menjejas persiapan puasa Ramadan.
KEISTIMEWAAN MALAM NISFU SYAABAN
Menerangkan antara keistimewaan Syaaban, Ustaz Ruhaizan berkata Al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi menukilkan bahawa "ketahuilah bahawa sesungguhnya kelebihan Malam Nisfu Syaaban terdapat beberapa hadis, kebanyakannya menunjukkan sesungguhnya ia mempunyai asal (dasar dalam syariat Islam)".
Imam-imam hadis seperti At-Tirmidzi, Ahmad, Ibn Majah dan Ibn Hibban, tambah Ustaz Ruhaizan, membincangkan khusus kelebihan malam Nisfsu Syaaban.
Sayidatina Aisyah ra meriwayatkan bahawa "Rasulullah saw telah bangun malam untuk bersolat, maka Baginda memanjangkan sujud sehingga aku menyangka nyawanya telah diambil (kerana sujud yang terlalu lama).
"Melihat yang demikian, aku pun bangun lalu menggerakkan ibu jari Baginda dan jari itu pun bergerak. Melihat yang demikian aku pun kembali. Apabila Baginda mengangkat kepala daripada sujud dan selesai solat Baginda bertanya: "Wahai 'Aisyah adakah kamu menyangka yang Nabi telah menghindari kamu?"
"Aku menjawab: "Demi Allah tidak. Tetapi aku menyangka bahawa nyawamu telah dicabut kerana sujudmu yang terlalu lama."
"Maka Nabi bertanya lagi: "Adakah kamu mengetahui malam apakah ini?"
"Aku menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang paling mengetahui.
"Nabi menjelaskan: "Inilah malam pertengahan Syaaban (Nisfu Syaaban). Sesungguhnya Allah menjenguk hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan orang yang memohon keampunan dan merahmati orang yang meminta kerahmatan serta menangguhkan bagi orang berhasad dengki selagi mereka begitu." (Sy'ub al-Imam, Al-Baihaqi).
Sayidatina Aisyah ra ada berkata lagi: "Aku telah kehilangan Nabi saw pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya, maka Baginda berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan) di Baqi' sambil mendongakkan kepalanya ke langit, lalu Baginda berkata: "Wahai 'Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya melakukan kezaliman ke atas kamu?"
Aisyah berkata: "Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian)."
"Lalu Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah swt telah turunkan (malaikat-Nya dengan perintah-Nya) pada malam Nisfu Syaaban ke langit dunia, lalu Allah swt mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hamba-Nya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (Bani) Kalb." (Sunan Ibn Majah).
Mu'adz bin Jabal ra meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: "Allah swt memandang pada kesemua makhluk ciptaan-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhluk-Nya melainkan dosa orang Musyrik (yang menyekutukan Allah) dan dosa orang yang bermusuhan." (Sahih Ibn Hibban).
AMBIL KESEMPATAN BUAT PERSIAPAN AWAL SAMBUT RAYA
Namun, dalam kesibukan masyarakat menguruskan rutin harian hari ini, ada juga yang memulakan persiapan menyambut Hari Raya dalam Syaaban dengan alasan agar tidak menjejas fokus ibadat dalam Ramadan
"Ada segelintir umat Islam, setibanya Syaaban, mulai sibuk menyusun persiapan beraya dengan pelbagai perancangan seperti tempahan baju dan kuih-muih.
"Dari satu sudut, persiapan beraya ini baik bagi mengelakkan kekalutan, tetapi jika berlebihan-lebihan akan hanyut dalam keghairahan.
"Ingat, dalam Syaaban mungkin ramai yang lalai atau dilalaikan," terang Ustaz Ruhaizan lagi.
Menurut beliau, kita disunatkan memeriahkan Hari Raya dengan berpakaian baru dan menghubungkan silaturahim serta membanyakkan kebaikan tanpa membazir atau berlebih-lebihan.
"Maksudnya di sini ialah, sambutlah Hari Raya yang sederhana dan menurut kemampuan masing-masing.
"Tidak ada halangan di sisi syarak, bahkan langkah bijaksana membuat perancangan yang menyeluruh untuk menghadapi ibadat dalam Ramadan dan juga sambutan Hari Raya," ujar beliau.
KESIMPULAN
Syaaban adalah bulan persiapan menggandakan ibadat, khususnya sebagai persediaan menyambut Ramadan.
"Namun kita sebagai manusia sering kali lalai dengan kehidupan. Kita seharusnya merebut kelebihan khusus dalam Syaaban dengan membanyakkan amalan seperti berqiamullail, berdoa dan berpuasa," katanya mengakhiri bicara.
SEKILAS BIODATA
Ustaz Ruhaizan Abdullah ialah Pengurus Masjid Darul Makmur. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda (Ilmu Wahyu dan Warisan) daripada Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia (IIUM), dan Sarjana dalam bidang Kepimpinan Organisasi daripada Universiti Monash, Australia.
KEISTIMEWAAN SYAABAN DAN SEBAB RASULULLAH BANYAK BERPUASA
"Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai mengenainya, iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan-bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan Maha Pentadbir Sekelian Alam. Maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa."
- HR An-Nasa'i.