Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Syukuri nikmat, tundukkan hati

Ustaz Khairul Anwar terangkan sifat-sifat hati dan pendekatan syukuri nikmat
Dec 09, 2022 | 05:30 AM



BANYAK kemungkaran berlaku apabila manusia gagal mengawal syahwat, sehingga tercemar kehormatan diri dan akhlak terganggu.



Namun ini tidak bererti syahwat atau keinginan itu adalah sesuatu yang tidak baik atau dilarang, bahkan ia merupakan satu kurniaan untuk kebaikan dunia dan akhirat jika ia dimanfaatkan mengikut landasan Al-Quran dan sunah Nabi saw.



Mengawal nafsu juga sering dikaitkan satu ujian yang mengarah kepada menjaga kebersihan hati yang penting untuk membina masyarakat penyayang dan saling membantu.



Itulah antara perkongsian penceramah bebas, Ustaz Khairul Anwar Hasan, dalam menyingkap pendekatan mensyukuri nikmat seperti yang digariskan oleh pengarang kitab Qalbun Salim (Syarah Bagi Penawar Hati) karangan Syeikh Abdul Qadir Abdul Muthalib al-Mandili.



Kitab itu terkenal dengan kupasan mengenai sifat-sifat hati yang diterangkan dengan jelas, disertakan cara membersihkan hati daripada sifat-sifat mazmumah dan menghiasinya dengan sifat-sifat mahmudah.



Perkongsian yang disampaikan di kuliah zuhur berjudul Penawar bagi Hati di Masjid Jamiyah Ar Rabitah baru-baru ini, menyentuh bab yang membicarakan perihal nikmat Allah swt mengurniakan kemaluan kepada manusia termasuk juga larangan melakukan perbuatan yang dibenci oleh-Nya seperti zina atau melakukan sebarang perbuatan yang jelas bertentangan dengan syarak.



PERHIASAN DUNIA



Kata asatizah lulusan Diploma Pengajian Islam, Universiti Islam Madinah itu, mengawal nafsu menjadi satu ujian yang jika berjaya ditangani dengan baik, boleh meletakkan seseorang insan itu di tahap yang lebih baik di sisi Allah swt.



Antara kebaikan yang disentuh ialah kegembiraan kepada pasangan dan kurniaan zuriat.



Kata Ustaz Khairul Anwar, anak-anak adalah perhiasan dunia yang besar, sebagaimana firman Allah dalam dalam Surah Al-Kahfi ayat ke-46 yang bermaksud:



"Harta dan anak-pinak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal-amal soleh berterusan adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan."



"Daripada ayat ini, kita faham bahawa anak-anak dan juga pasangan kita adalah antara hiasan hati untuk kita cintai. Sebaiknya, kita luruskan hiasan ini dengan panduan agama agar ia dapat menghasilkan kebahagiaan dunia dan akhirat," ujarnya.



Beliau juga mengingatkan hadis tentang kebaikan anak. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad saw bersabda:



"Apabila seorang anak Adam mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadis Riwayat Muslim dan lain-lainnya).



PRIHATIN PADA MASYARAKAT



Beliau juga cuba memberi gambaran pentingnya mendidik seorang anak dan menghasilkan sebuah keluarga yang baik kerana keluarga juga, dalam konteks yang lebih besar, membentuk masyarakat.



"Masyarakat itu adalah keluarga. Apabila kita fokuskan kepada dasarnya keluarga itu adalah individu."



Beliau menambah: "Kita perlu lihat jauh. Masyarakat adalah keluarga besar kita. Kalau saudara kita susah, apa kita rasa?



"Orang Islam ibarat satu tubuh, keluarga besar kita. Sebab itu kalau kita berdoa, jangan hanya berdoa untuk diri sendiri atau meminta ampun untuk diri sendiri. Istighfarlah juga untuk Muslimin dan Muslimat. Bahkan Rasulullah saw juga ajar kita menjaga persaudaraan. Semasa Baginda nak ke Madinah, Baginda berpesan kepada kaum Ansar agar membantu kaum Muhajirin. Kuatkan persaudaraan, jaga jiran tetangga. Kalau kita tak mampu untuk bantu, sekurang-kurangnya, kita doakan mereka."



Syahwat, seperti yang diterangkan dalam kitab tersebut, kata Ustaz Khairul Anwar, memang sudah diterapkan dalam diri manusia. Namun, ia juga boleh dilihat sebagai satu bentuk ujian setiap manusia. "Nak buang sepenuhnya, ia seperti menentang alam," kata beliau.



SUJUD YANG HAKIKI



Sebagai hamba-Nya, perlulah kita menjaga setiap nikmat yang dikurniakan dan untuk mengelakkan kita terjebak daripada perbuatan haram adalah dengan menjaga mata daripada melihat yang haram.



Allah swt memuji orang yang menjaga kehormatan mereka dalam beberapa ayat antaranya Surah An-Nur ayat 30, yang bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan."



Allah swt berfirman: "Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu serta wanita yang beriman agar melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya. Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab, ayat 59).



Selain itu, kita juga perlu menjaga hati daripada membayang-bayangkan kecantikan rupa paras perempuan kerana perkara itu akan membawa kepada nafsu syahwat serta memungkinkan kita menjerumuskan diri dalam dosa kemaksiatan jika tidak berlandaskan iman dan takwa, kata Ustaz Khairul Anwar, pengasas perkhidmatan keluarga berdasarkan syariat Islam, Nurhayah Services.



Dalam usaha membersihkan hati, tambah beliau, insan pasti akan diuji dengan bisikan-bisikan syaitan yang datang dengan pelbagai cara.



"Kita sangka diri dah baik, jangan sangka kita tak akan mudah ditipu. Kadangkala, dengan istighfar pun boleh timbul perasaan ujub kerana kita sombong dan bangga telah meminta keampunan Allah. Inilah yang boleh berlaku andai hanya lidah yang istighfar tetapi hati terus lalai," ujarnya sambil mengungkap apa yang pernah dikatakan oleh ahli sufi wanita, Rabiatul Adawiyah: "Kalimat istighfar atau permohonan ampun kita perlu juga dimintakan ampun kembali." (Imam Al-Ghazali, Ihya Ulumuddin; Imam An-Nawawi, Al-Adzkar).



"Seorang hamba yang soleh tidak cepat rasa puas dengan amalannya. Serahkan semua amalan kepada Allah swt. Moga Allah beri kita semua hidayah dan cahaya kasih sayang-Nya," tambah beliau.



Merendah diri dengan menyimpan azam untuk menjadi seorang hamba yang terbaik kepada Maha Pencipta juga adalah satu lagi cara membersihkan hati.



Ini dapat dilakukan dengan memastikan sedaya mungkin agar setiap amalan seperti solat dilakukan dengan kesedaran seolah-olah Allah swt berada di depan mata iaitu maqam ihsan.



"Apabila bersujud, cubalah sujud yang hakiki. Saya sendiri sukar nak mencapai sujud seperti ini. Namun sujud yang hakiki boleh dicapai apabila hati sentiasa menunduk," tambah beliau.



Mendidik hati juga memerlukan insan sentiasa bersangka baik dengan ketentuan Allah swt. Ini termasuk ketika menyangka kita telah dirugikan dengan sesuatu situasi, padahal kerugian itu, tidak kira masa atau benda, sebenarnya membawa hikmah kebaikan tersembunyi.



Syaikh Ibnu 'Athaillah As-Sakandary berkata dalam kitabnya Al-Hikam:



"Ketika Allah membukakan pintu pemahaman kepadamu tentang pencegahan-Nya dari suatu anugerah, maka pencegahan Allah itu pun berubah menjadi anugerah yang sebenarnya."




SEKILAS BIODATA



■ Ustaz Khairul Anwar Hasan adalah lulusan Diploma Pengajian Islam Universiti Islam Madinah. Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Belia (YDO) Masjid Jamiyah Ar Rabitah, kini seorang penceramah bebas serta Pengasas Nurhayah Services.




ALLAH MEMUJI ORANG YANG MENJAGA KEHORMATAN MEREKA



"Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan."



- Surah An-Nur, ayat 30.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >