Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

HIKMAH RAMADAN

Tawakal tidak sempurna tanpa usaha, ikhtiar

Apr 21, 2022 | 05:30 AM



ISLAM mengajar umatnya supaya bekerja dan berusaha terlebih dahulu sebelum pasrah dan bertawakal kepada Allah swt.



Penceramah bebas, Ustaz Drs Ahmad Dahri, berkata Islam mengajar umatnya supaya bertawakal dalam setiap usaha.



Namun, apa yang dimaksud dengan tawakal itu?



Menurutnya, asal kata tawakal ialah 'wakala' atau disebut "wikala" dalam bahasa Arab.



"Ertinya, memperlihatkan ketidakmampuan dan bersandar atau pasrah kepada yang lain.



"Dengan kata lain, tawakal adalah membebaskan diri daripada segala ketergantungan selain Allah dan menyerahkan keputusan atas segala sesuatu hanya kepada Allah," jelas beliau dalam program tazkirah Hikmah Ramadan yang diedarkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan disiarkan stesen radio Warna.



Ustaz Drs Ahmad Dahri menukil firman Allah swt dalam Surah Ath-Thalaq ayat ketiga yang bermaksud:



"Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya."



Menurut beliau lagi, umat Islam perlu memahami bahawa konsep tawakal bukan bererti hanya pasrah menyerah. Ia juga bukan pula meninggalkan usaha dan hanya bergantung kepada Allah semata-mata.



Justeru dalam tawakal kepada Allah, ia terbahagi kepada dua tahap.



"Tahap pertama adalah usaha dan kerja.



"Yang ini kita harus mengikut mekanisme alam atau disebut dengan sunatullah.



"Adapun yang kedua, ketika kita menunggu hasil usaha dan kerja tersebut, di sinilah kita mula pasrah kepada Allah dengan sepenuh hati serta meyakini bahawa apa pun hasil daripada upaya kita itu semuanya tidak terlepas daripada taufik dan kehendak Allah swt.



"Dengan kata lain, tawakal dan ikhtiar tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.



"Untuk mencapai tawakal yang sesungguhnya, haruslah didahului dengan ikhtiar sebab tidak ada tawakal tanpa diiringi ikhtiar dan ikhtiar tidak sempurna tanpa tawakal," jelas Ustaz Drs Ahmad Dahri.



Beliau memberikan contoh antara tawakal yang salah dan yang benar.



Seorang Arab Badawi misalnya melepaskan sahaja untanya tanpa mengikatkan terlebih dahulu tali untanya, dengan alasan dia bertawakal kepada Allah.



Sikap lelaki Arab itu ditegur oleh Baginda saw kerana dia tidak berusaha mengikat tali unta dengan terlebih dahulu, melainkan hanya bertawakal kepada Allah.



"Ini bukan tawakal yang dimaksudkan dalam Islam," kata Ustaz Drs Ahmad Dahri.



Beliau menjelaskan, tawakal adalah berusaha sedaya upaya semaksimum mungkin dan kemudian barulah bertawakal kepada Allah swt.



"Seperti yang kita katakan awal tadi bahawa di antara usaha dengan tawakal tidak boleh kita pisahkan," jelasnya.



Ustaz Drs Ahmad Dahri memberikan contoh lain - tawakal yang ditunjukkan oleh seekor burung seperti disabdakan Nabi Muhammad saw yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:



"Seandainya kalian sungguh-sungguh bertawakal kepada Allah, sungguh Allah akan memberi rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung yang pergi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang."



Beliau berkata inilah contoh tawakal yang benar, iaitu burung tersebut berusaha dan bekerja - berangkat pada waktu pagi dan pulang pada waktu petang dalam rangka mencari rezeki.



"Ini bukti bahawa setiap tawakal tidak boleh terlepas daripada ikhtiar atau usaha.



"Apatah lagi kita sekarang ini masih lagi berada dalam keadaan Covid-19 yang belum jelas keadaannya.



"Maka kita perlu berusaha, kita perlu berikhtiar untuk menghindarkan diri kita daripada jangkitannya.



"Melalui apa? Melalui SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dan lain-lain langkah dan ditambah dengan memperbanyak doa kepada Allah swt memohon agar kita terselamat.



"Di samping kita berusaha mengikuti SOP yang telah ditetapkan, kita tingkatkan lagi dengan berdoa kepada Allah swt dan dengan demikian, insya-Allah segala usaha yang kita lakukan akan diberkati dan dirahmati oleh Allah swt,'' ujar Ustaz Drs Ahmad Dahri.




 "Tahap pertama adalah usaha dan kerja. Yang ini kita harus mengikut mekanisme alam atau disebut dengan sunatullah. Adapun yang kedua, ketika kita menunggu hasil usaha dan kerja tersebut, di sinilah kita mula pasrah kepada Allah dengan sepenuh hati serta meyakini bahawa apa pun hasil daripada upaya kita itu semuanya tidak terlepas daripada taufik dan kehendak Allah swt... Untuk mencapai tawakal yang sesungguhnya, haruslah didahului dengan ikhtiar sebab tidak ada tawakal tanpa diiringi ikhtiar dan ikhtiar tidak sempurna tanpa tawakal."
- Ustaz Drs Ahmad Dahri 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >