Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Teknologi maklumat boleh undang dosa

Hati-hati muatnaik gambar, kongsi maklumat yang mengundang fitnah, kata pendakwah UM dari Malaysia
Apr 27, 2014 | 06:00 AM



UMAT Islam perlu berhati-hati alam menggunakan kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). 


Ini kerana dikhuatiri penggunaan laman sosial secara tidak bijaksana boleh mengakibatkan dosa berterusan terhadap individu walaupun ketika melakukan kebaikan.


Ini dinyatakan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr Muhammed Yusof, dalam satu laporan yang disiarkan di Utusan Malaysia bulan lalu.


Memang kini terdapat pelbagai gajet terkini seperti tablet, komputer riba dan telefon bimbit dilihat bagai 'teman karib' yang sentiasa berada di sisi, terutama di kalangan golongan muda.


Malahan, ketaasuban dalam melayari laman sosial tersebut sehingga segala perbuatan yang dilakukan seharian dimuat naik bagi dikongsi bersama kenalan.


Dr Muhammed berkata laman sosial yang sepatutnya dijadikan landasan bagi berhubung serta berkongsi maklumat itu disalah guna sebagai ruang luahan peribadi, keji-mengeji dan dibangga-banggakan.


''Islam tidak menghalang umatnya mengikuti teknologi, malah lebih digalakkan agar tidak ketinggalan dan mendapat manfaat daripadanya. Tetapi asasnya adalah bagaimana kita menggunakannya?


''Ia seumpama pisau yang terletak di tangan penggunanya iaitu sama ada akan memberi manfaat jika digunakan dengan baik atau sebaliknya jika disalahgunakan.


''Apa yang kita lihat, realiti yang berlaku, kerakusan segelintir masyarakat, khususnya umat Islam yang sering menyalahgunakan laman sosial ini tanpa disedari boleh membuahkan dosa secara berterusan pada setiap masa dan saat selama 24 jam,'' katanya.


Antaranya memuat naik gambar, perkongsian informasi dan juga sebarang pendapat tanpa meneliti terlebih dahulu.


''Bagi gambar yang mendedahkan aurat memang sudah jelas hukumnya adalah haram dan mendatangkan dosa setiap kali dilihat orang. Apa yang perlu kita beri perhatian adalah gambar yang ditangkap secara peribadi bersama ahli keluarga.


''Mungkin sekadar suka-suka atau simpanan peribadi, tetapi tanpa kita sedari golongan mahram tadi yang memuatnaikkan di laman sosial miliknya.


'' Walaupun tidak berdosa jika bukan dengan kerelaan tetapi kita tetap perlu berhati-hati kerana boleh menimbulkan fitnah.


''Begitu juga memuat naik gambar dengan fesyen terkini secara keterlaluan walaupun dikatakan fesyen Muslimah,'' ujarnya.


Selain itu, perkongsian status dan pandangan yang diberikan juga perlu dibatasi kerana dikhuatiri membuka aib diri sendiri atau orang lain.


''Sebagai contoh, apabila memberi komen kepada status kenalan yang meluahkan kesalahan dosa yang dilakukan, elakkan daripada berkongsi dengan mengaitkan kesalahan silam atau perkara sama yang berlaku pada diri kita.


''Ia seolah-olah membuka aib terhadap diri sendiri ataupun orang yang terlibat. Ini kerana perkongsian status dan komen yang diberikan di laman sosial dapat melambangkan siapa diri kita kepada umum,'' jelasnya.


Dr Muhammed menambah, penyebaran maklumat yang diragui juga perlu dielakkan bagi menghindari sebarang perkara tidak diingini berlaku.


''Sudah menjadi trend pengguna laman sosial, gemar berkongsi mesej berantai yang diterima.


''Informasi tersebut tidak diteliti kesahihan dan kredibiliti sumber disahkan sebelum dikongsikan.


''Kesannya, fitnah akan tersebar luas, pembohongan akan menjadi-jadi dan tidak mustahil mengakibatkan persengketaan dalam kalangan umat Islam,'' katanya.


KHALWAT SIBER


Interaksi menerusi telefon bimbit antara pasangan bukan mahram juga bukan ruang yang membolehkan mereka berhubungan secara berduaduaan tanpa batasan.


Menegaskan perkara itu, Dr Muhammed berkata walaupun hanya di alam maya dan tidak berada berhadapan, komunikasi yang keterlaluan menerusi telefon bimbit juga mengakibatkan dosa.


Ini diistilahkan sebagai khalwat siber yang menjadi fenomena terutamanya bagi pasangan yang sedang bercinta bagi sentiasa berhubung dan berkongsikan segalanya bersama pasangan mereka.


''Apa sahaja jenis laman interaksi pada asasnya mempunyai konsep yang sama. Walaupun jasad yang berjauhan, tetapi jika mesej kandungan yang disampaikan adalah bertentangan dengan syariat maka ia adalah berdosa.


''Begitu juga hal yang berlaku pada generasi sekarang. Pasangan, khususnya golongan remaja, menjadikan telefon bimbit sebagai medium mereka sentiasa berhubung dengan alasan sebagai tanda kesetiaan.


''Sehingga segala perkara, termasuk maklumat peribadi, didedahkan kepada pasangan secara tanpa batasan. Inilah budaya baharu dalam masyarakat masa kini yang dikenali sebagai khalwat,'' katanya.


Dr Muhammed berkata khalwat siber didefinisikan sebagai berdua- duaan antara pasangan lelaki dengan perempuan yang bukan mahram dengan membincangkan perkara yang bersifat terlalu peribadi.


Tambahnya, apa yang lebih membimbangkan adalah khalwat siber merupakan antara faktor yang boleh merangsang kepada dosa yang lebih serius pada masa akan datang.


''Apabila berdua-duaan, tidak kira walaupun di alam maya, maka syaitan menjadi orang ketiga.


''Ia sebagaimana hadis Rasulullah saw maksudnya: Sesungguhnya tidaklah seseorang lelaki itu berdua- duaan dengan seorang wanita kecuali yang ketiga adalah syaitan. (riwayat Tarmizi).


''Justeru, bermula dengan hanya perkenalan dan perbualan menerusi telefon akan mendorong kepada rangsangan nafsu seterusnya iaitu memuat naik gambar dan kemudian video.


''Dan akhirnya disusuli dengan pertemuan di alam realiti. Inilah yang lebih bahaya apabila sudah kenal dan tahu sifat peribadi, maka tidak mustahil perbuatan maksiat seperti zina boleh berlaku,'' kata Dr Muhammed.


Bagaimanapun, tidak salah berhubung dengan bertanya khabar, perbincangan yang ada keperluan dan juga perbualan yang tidak sia-sia, tambah beliau.


MANFAAT SEBAGAI RUANG DAKWAH


Seorang pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Khairul Azhar Ghazali, berkata kemajuan teknologi seharusnya dimanfaatkan sebagai landasan bagi umat Islam dalam menyebarkan dakwah.


Ini kerana berikutan kemampuan teknologi dalam menyebarkan dakwah yang dilihat lebih mudah dan pantas selain mempunyai pelbagai tarikan interaktif.


''Kaedah penyampaian dakwah kini tidak boleh hanya tertumpu dengan melakukan kerja di lapangan seperti turun memberi kuliah dan ceramah semata-mata, sebaliknya perlu dipelbagaikan dalam usaha diterima oleh semua golongan sasar.


''Oleh itu, teknologi seperti penggunaan laman sosial ini boleh dimanfaatkan sebagai landasan dakwah baharu bagi umat Islam,'' katanya yang juga mantan pendakwah realiti televisyen Imam Muda.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >