Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Umat terbaik adalah umat penyumbang

May 23, 2021 | 05:30 AM



KETIKA kita menelusuri ayat-ayat Al-Quran mengenai umat Islam, kita akan menemukan beberapa paparan indah bahasa Al-Quran dalam menyifatkan umat Islam.



Antaranya Ummah Muslimah, yakni umat yang menyerahkan diri kepada Tuhan (Surah al-Baqarah: 128); Ummah Muqtasidah, yakni umat yang jujur, (Surah al-Maidah: 66); Ummatan Wasatan, yakni umat yang adil, (Surah al-Baqarah: 143); dan Khaira Ummah, yakni, umat pilihan, (Surah Ali Imran: 110).



Mari kita lihat ciri Khaira Ummah yang ditegaskan Al-Quran.



Allah berfirman: "Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, serta beriman kepada Allah."



Khaira Ummah di dalam Al-Quran berbentuk kata superlatif. "Khaira" biasanya digunakan untuk perbandingan antara dua perkara atau lebih.



Ia tidak diterjemahkan dengan makna "baik" sahaja, tetapi ianya diterjemahkan dengan makna yang "terbaik."



"Ummah" pula di dalam Al-Quran dapat diertikan dengan beberapa pengertian.



Pertama, setiap generasi manusia yang diutuskan kepada mereka seorang Nabi atau Rasul.



Sebagai contoh umat Nabi Nuh, umat Nabi Musa, dan seterusnya. Kedua, suatu golongan manusia menganut agama tertentu. Sebagai contoh umat Yahudi, umat Nasrani, umat Islam dan berikutnya.



Ketiga, kumpulan manusia dari pelbagai lapisan sosial yang diikat dengan ikatan sosial tertentu sehingga menjadi umat yang satu.



Ketiga-tiga pengertian ini sangat dekat dengan konteks umat manusia hari ini.



Ini kerana umat manusia hari ini hidup dalam bentuk "negara bangsa" (nation state) dipersatukan oleh ikatan sosial dan undang-undang antarabangsa sehingga mereka dapat diibaratkan sebagai umat yang satu.



CIRI UTAMA KHAIRA UMMAH



Mengikut penjelasan ayat dari Surah Ali Imran tadi, Khaira Ummah mempunyai ciri-ciri berikut - sentiasa menyeru manusia kepada perbuatan makruf (terpuji); mencegah manusia daripada perbuatan mungkar (tercela); dan beriman kepada Allah.



Namun, sebahagian ulama menambah satu lagi ciri sebagai penyempurna ciri Khaira Ummah iaitu: tidak bercerai-berai dan berselisih antara satu sama lain setelah datang keterangan yang jelas kepada mereka.



Ciri ini dipetik dari surah yang sama pada ayat 105.



SUMBANGAN BUKAN KEBANGGAAN



Khaira Ummah secara lafziahnya dapat diterjemahkan sebagai umat yang terbaik.



Seorang tokoh tafsir, Ibn Kathir (meninggal dunia 774H), menjelaskan: "Mereka sesungguhnya adalah umat yang terbaik dari kalangan umat manusia dan mereka adalah yang paling banyak memberi manfaat (kebaikan) kepada umat manusia yang lain."



Kita insaf bahawa Khaira Ummah bukan hanya satu pujian daripada Allah. Ia bukan suatu penghormatan yang harus dibangga-banggakan; ia bukan untuk membuat diri kita berasa mulia sebagai umat yang terbaik jika dibandingkan dengan umat manusia yang lain.



Tetapi kemuliaan tersebut dikaitkan dengan sumbangan dan nilai tambah orang-orang yang beriman secara berterusan dalam memberi kebaikan dan menyebarkan kesejahteraan buat umat manusia sejagat.



Imam Ahmad ibn Hanbal (wafat 241h) meriwayatkan cerita seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw ketika Baginda di atas mimbar: "Wahai Rasulullah! Manusia yang mana satu yang terbaik?"



Baginda menjawab: "Manusia yang terbaik adalah orang yang terbaik bacaannya; orang yang paling bertakwa kepada Allah; orang yang sentiasa menyeru manusia kepada perbuatan terpuji; orang yang sentiasa mencegah manusia daripada pebuatan yang tercela, dan orang yang sering menyambung tali silaturrahmi."



Apabila direnung sabda Rasulullah kita faham makna manusia terbaik.



Pertama, dia adalah terbaik dalam bacaan dan pemahaman sesuatu yang tertulis.



Dia juga terbaik dalam memahami tanda-tanda kebesaran Tuhan yang terbentang luas di segenap ufuk.



Apabila dilihat dalam konteks perintah "iqra", kita faham bahawa bukan hanya terbaik dalam membaca ayat tersurat, tetapi yang tersirat pada alam raya.



Kedua, orang yang bertaqwa adalah orang yang menjaga dirinya daripada segala perbuatan dosa dengan meninggalkan segala yang terlarang dan melaksanakan segala yang diperintahkan.



Mereka sering memastikan sifat takwa ini sama ada melakukan perbuatan baik atau meninggalkan yang mungkar bermula dari diri mereka sendiri.



Ketiga, orang yang sentiasa menyeru manusia kepada perbuatan terpuji. Beliau seorang yang suka memberi ketenangan dan ketenteraman jiwa kepada orang-orang yang berada di sekelilingnya.



Beliau dapat menyelami kepayahan yang dideritai oleh seseorang dan dapat berasakannya di dalam dirinya.



Keempat, orang yang sentiasa mencegah manusia daripada perbuatan yang tercela.



Beliau berlaku ihsan terhadap si pelaku dosa dan masa depannya di kampung akhirat.



Beliau tidak membenci orang tersebut, akan tetapi membenci perbuatannya.



Benar sekali apa yang disebutkan oleh orang-orang saleh terdahulu seperti yang dinukil oleh Ibn Rajab (meninggal dunia 795H) dalam karyanya Jami' al-'Ulum wa al-Hikam: "Orang yang cinta kepada Allah, mereka melihat (sesuatu) dengan Nur Allah. Mereka bersimpati terhadap para pelaku maksiat, akan tetapi mereka membenci perbuatan maksiat tersebut..."



Kelima, perlu difahami daripada petunjuk Rasul saw bahawa menyambung silaturahmi bukan sekadar menyambung hubungan dengan orang-orang yang kita suka atau selesa dengan mereka sahaja.



Bahkan silaturahmi perlu juga diteruskan dengan berusaha menyambung hubungan dengan orang-orang yang membenci diri kita.



Baginda bersabda: "Aku diperintah oleh Tuhanku untuk menyambung silaturahmi dengan orang yang telah memutuskan hubungan tersebut dengan ku."



Inilah hakikat silaturahmi di mana seseorang akan terus berusaha tanpa rasa jemu mewujudkan kebaikan dalam berinteraksi sesama manusia.



KESIMPULAN



Jika ciri-ciri ini dapat diterjemahkan ke dalam diri masyarakat Islam Singapura, sudah pasti ciri-ciri ini bukan sekadar menceritakan peristiwa yang telah berlalu, bahkan ciri ini masih kekal subur dan mekar di dalam jiwa masyarakat Islam dan mencorak kehidupan keagamaan generasi selanjutnya.



Khaira Ummah adalah inspirasi daripada kecemerlangan umat dahulu.



Khaira Ummah adalah realiti kecemerlangan umat hari ini.



Khaira Ummah adalah gagasan umat masa depan.



  • Penulis Penolong Pengarah, Penilaian, Pejabat Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).


"...Khaira Ummah mempunyai ciri-ciri berikut - sentiasa menyeru manusia kepada perbuatan makruf (terpuji); mencegah manusia daripada perbuatan mungkar (tercela); dan beriman kepada Allah.



Namun, sebahagian ulama menambah satu lagi ciri sebagai penyempurna ciri Khaira Ummah iaitu: tidak bercerai-berai dan berselisih antara satu sama lain setelah datang keterangan yang jelas kepada mereka."
- Ustaz Kamaruzaman Afandi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >