Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

'Usah tinggalkan agama Allah dalam mengejar kemewahan dunia'

Nov 28, 2021 | 05:30 AM



SETIAP manusia yang mencari reda Allah swt pasti menghadapi ujian dan cabaran tertentu.



Lihat sahaja perjuangan Rasulullah saw. Begitu berat ujian yang Baginda saw hadapi untuk berdakwah menyebarkan agama Islam.



Jika dibandingkan, tentulah ujian yang kita hadapi tidak seberat ujian yang dihadapi Rasulullah saw. Namun demikian, ujian yang 'ringan' ini kadang-kadang menyebabkan mereka yang berada di jalan yang lurus akan tergelincir.



JALAN MENUJU KEJAYAAN TIDAK SENANG



Ustaz Pasuni Maulan berkata, tidak ada jalan yang lurus dan mudah untuk dicapai dalam menuju kejayaan sebab ia sudah menjadi asam garam dalam kehidupan.



Oleh itu, jagalah apa yang dipohon daripada Allah swt supaya kita dapat mencapainya kelak.



"Bagi yang mendirikan rumah tangga, mereka berharap dan berdoa agar perjalanan rumah tangga mereka akan menuju ke jannah.



" Namun, realitinya sudah berapa ramai pasangan yang tersadung sehingga mereka terbabas dari tujuan asal mereka dalam rumah tangga.



"Jika ingin menuju ke jannah bersama pasangan hidup dan keluarga, maka terapkan kewaspadaan, kesungguhan dan usaha melengkapkan diri supaya kehidupan sentiasa terpandu."



PEGANG KEBERKATAN DALAM SOLAT



Apabila jalan lurus yang diberikan Allah swt tidak diikuti oleh sebahagian masyarakat, maka masyarakat akan goyah.



Umpamanya, seseorang itu tidak mahu mendirikan solat.



Perbuatan tidak solat itu bermaksud mereka tidak berdoa untuk berada di jalan yang lurus.



Melalui Facebook Masjid Maarof, Ustaz Pasuni menjelaskan:



"Ketika mereka meninggalkan Allah swt, maka Allah swt juga akan meninggalkan mereka.



"Mereka tidak menyedari tentang betapa pentingnya solat dalam kehidupan.



"Tatkala seseorang itu meninggalkan solat, maka hilanglah keberkatan dalam hidupnya.



"Keberkatan berbentuk abstrak dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar.



"Namun, keberkatan itu boleh dirasai oleh orang-orang yang beriman, pada saat mereka memperolehi rumah tangga dan keluarga yang damai serta tenang.



"Mereka yang tidak solat akan kehilangan reda Allah swt, sedangkan keredaan Allah swt menjadi satu dambaan dalam kehidupan setiap Muslim.



" Jika kita tidak mencari reda Allah swt, maka reda siapa yang kita harapkan lagi? Bimbang nanti perbuatan tidak solat itu hanya akan mendapat keredaan iblis dan syaitan sahaja."



HANYA AKHIRAT YANG KEKAL



Fahami petikan ayat Al-Quran dalam surah Ghaafir, ayat yang ke-39 yang berbunyi:



"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal."



"Hidup manusia di dunia pasti akan berakhir. Tidak seperi akhirat, kehidupan di alam sana tidak ada penghujung.



"Jika seseorang itu menyedari ganjaran yang menunggu di akhirat, pasti dia akan berusaha untuk berada di jalan yang lurus," kata Ustaz Pasuni.



GUNA HARTA SEBAGAI 'KENDERAAN' KE SYURGA



Namun, usaha untuk berada di jalan yang lurus boleh tergugat sekiranya seseorang itu terlalu cintakan dunia dan lupa akhirat.



Sememangnya, kita tidak boleh dipisahkan dengan perkara keduniaan.



Tetapi, Allah berikan jasad dan harta adalah sebagai amanah untuk dijaga.



"Ingat, harta yang ada pada kita boleh digunakan sebagai kenderaan untuk ke syurga Allah.



"Tetapi, jangan pula jadikan diri kita sebagai tunggangan kepada harta. Mereka yang ditunggang oleh harta akan merasa harta itu adalah segala-galanya sehingga lupa untuk menggunakannya bagi manfaat diri di akhirat.



"Dalam mengejar kekayaan dan kemewahan dunia, jangan sampai meninggalkan agama Allah swt,'' ujar Ustaz Pasuni.



Contohi ialah para sahabat Rasulullah saw yang kaya-raya seperti Saidina Abdul Rahman bin Auf ra, Uthman bin Affan ra, dan Abu Bakar As-Siddiq ra.



Mereka ini ialah hartawan, tetapi tidak menjadikan kekayaan sebagai satu-satunya matlamat dalam hidup.



"Sebaliknya, kekayaan itu digunakan untuk mencari reda Allah swt kerana mereka sedar bahawa harta itu adalah amanah Allah swt. Maka, mereka kongsi kekayaan yang diterima itu untuk disalurkan kepada jalan Allah. Mereka mencari harta, tetapi mereka tidak dikuasai oleh harta,'' kata Ustaz Pasuni.



  • Ustaz Pasuni Maulan ialah kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM). Beliau juga merupakan pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Tentera Di-Raja, naib pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan mantan pendaftar di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >