Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA: AKIBAT BAH DI MALAYSIA

Kerugian susuli banjir lebih tinggi dari anggaran

Jan 26, 2022 | 05:30 AM



MALAYSIA sebenarnya mengalami kerugian sekitar RM15 bilion ($4.87 bilion) kemusnahan harta benda akibat banjir besar yang melanda Selangor, Lembah Klang, Pahang dan Johor pada akhir Disember 2021 dan awal Januari 2022.



Anggaran kerugian ekonomi tersebut dua hingga tiga kali ganda jumlah yang dianggar oleh pemerintah iaitu antara RM5.3 bilion dengan RM6.5 bilion.



Menurut Pakar Ekonomi, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya, Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, anggaran kerugian ekonomi RM15 bilion tersebut berdasarkan kepada kerugian tidak boleh berniaga untuk beberapa lama, kehilangan kuntungan harian, mingguan dan bulanan termasuklah tidak mampu membayar gaji pekerja yang pastinya menjejas pendapatan keluarga pekerja tersebut.



Selain itu, tambah beliau pembekal barangan mentah juga turut terjejas kerana tidak mendapat jualan daripada peniaga tersebut, dan ini yang dikategorikan sebagai kesan berganda atau kerugian ekonomi kepada negara.



"Dan pastinya ia berterusan sehinggalah perniagaan tersebut kembali dibuka dan menjadi tahap optimum sebelum berlakunya banjir tersebut.



"Sekiranya, kita kaji kesan banjir kepada kebanyakan kegiatan ekonomi yang hanya baru dibenarkan beroperasi sejak 10 Oktober 2021, maka kita boleh menyimpulkan bencana ini seperti 'sudah jatuh ditimpa tangga.'



"Persediaan para peniaga seperti modal pusingan untuk membeli barangan mentah, menggaji pekerja baru dan kos pemasaran secara makronya memberikan kesan kepada pemulihan ekonomi negara, apatah lagi ia berlaku di Lembah Klang dan Selangor yang merupakan enjin ekonomi negara, penyumbang terbesar kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara, " katanya kepada Berita Harian.



Pada 7 Januari lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan kerugian meliputi aset awam dan prasarana mencatat kerugian tertinggi iaitu RM2 bilion; diikuti tempat kediaman RM1.2 hingga RM1.4 bilion, kenderaan RM1.3 bilion, perkilangan RM800 juta hingga RM1 bilion, premis perniagaan RM600 juta dan pertanian RM49.9 juta.



Begitu juga menurut SME Corporation Malaysia (SME Corp), dianggarkan 50,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di beberapa daerah di Selangor terjejas akibat bencana banjir antara terburuk yang melanda negeri itu. PMKS yang terbabit adalah di Shah Alam, Klang dan Hulu Langat.



Presiden Persatuan PKS Malaysia, Encik Ding Hong Sing, memaklumkan syarikat PKS terutama yang berpusat di Lembah Klang, khususnya di Shah Alam, Klang dan Hulu Langat yang paling terjejas disebabkan musibah itu.



Jumlah kerugian yang dianggarkan itu merangkumi kerosakan premis, jentera, kemusnahan bahan mentah dan produk akhir akibat ditenggelami air, selain penutupan operasi yang dijangka selama beberapa hari lagi.



Anggaran kerugian perniagaan merangkumi PKS juga sangat besar. Malah, ada sesetengah perniagaan menanggung kerugian ratusan juta ringgit. Paling terjejas adalah di Selangor di mana banyak kilang berpusat di situ. Di Selangor sahaja ada lebih 1,000 PKS.



Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) pula turut mengakui banyak kilang terjejas dan terkesan susulan banjir terutama sekitar Shah Alam dan Klang menyebabkan anggaran kerugian mencecah jutaan ringgit.



Profesor Madya, Dr Aimi Zulhaimi, berkata seperti laporan SME Corp tersebut sekiranya dianggarkan kerugian purata sekitar RM50,000 untuk setiap peniaga PMKS maka anggaran kerugian adalah RM2.5 bilion.



"Apa yang perlu dibuat oleh kerajaan bagi membantu PMKS untuk bangun kembali iaitu memberikan pinjaman khas kepada setiap peniaga melalui bank dalam agensi kerajaan, di mana kadar keuntungan adalah rendah daripada kadar biasa.



"Selain daripada itu, para PMKS yang terjejas diberikan moratorium daripada membayar pinjaman lepas, selain daripada itu, sewa premis di bangunan milik agensi kerajaan seperti MARA, para peniaga PMKS turut dibantu dengan pengecualian kutipan sewa, " menurutnya.



Selain itu, menurut Profesor Madya, Dr Aimi Zulhaimi, sebagai enjin ekonomi negara, Selangor dan Kuala Lumpur menyumbangkan 45 peratus kepada GDP negara, menjadikannya aset strategik negara yang perlu dilindungi selain daripada diberi pelbagai insentif untuk berkembang.



Apatah lagi tambah beliau dengan populasi 10 juta orang yang hampir sepertiga dari keseluruhan penduduk Malaysia, menyumbangkan ramai tenaga kerja produktif serta para majikan dari pelbagai PMKS.



Berikutan itu, katanya, pelan strategik yang khusus diperlukan untuk memberikan kelebihan kepada perniagaan PMKS tersebut, perlindungan yang istimewa.



"Sudah wujud pun Kementerian Wilayah Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri Selangor yang boleh menjadi pemangkin untuk memperbaiki strategi supaya dapat disinergikan dengan aliran dan keistimewaannya dalam pembangunan negara.



"Ia perlu dilihat dari sudut ekonomi bukan dari sudut politik sahaja, dan ini memerlukan kekuatan politik sebenarnya," tambah beliau.



Pakar ekonomi tersebut mencadangkan lima perkara yang boleh diperbaiki, pertama, mengadakan peruntukan khas setiap tahun melalui Jabatan Pengairan Saliran (JPS) negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk mendalamkan sungai, parit dan salirannya.



Kedua, mengehadkan pembangunan terutama di kawasan yang sesak termasuk kawasan yang telah diwartakan sebagi kolam tadahan, kawasan hijau dan sebagainya serta menambahkan lagi kawasan hijau.



Ketiga, mengadakan projek mega seperti Kuala Lumpur Smart Tunnel yang terbukti berjaya menjadi saluran air semasa banjir kepada kawasan terjejas di Kuala Lumpur dan juga Selangor.



Keempat, melatih minda penduduk untuk memperbaiki cara mereka membuang sampah supaya semua saliran air terpelihara.



Kelima, mempelajari dari negara lain yang telah berjaya mengatasi bencana banjir seperti Belanda dan Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >