Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Kembara buka mata inspirasi pameran solo terakhir Iskandar

Pakar tembikar S'pura turut kongsi catatan jurnal ilham seni, pengalaman unik
Aug 11, 2022 | 05:30 AM



JAUH perjalanan, luas pemandangan. Semakin luas yang dijelajah, kian banyak ilmu yang ditimba dan persahabatan terjalin atas nama seni dan kemanusiaan.



Inilah antara teras pameran solo terakhir pakar tembikar Singapura, Dr Iskandar Jalil, A Master Potter's Travelogue: A Solo Exhibition by Dr Iskandar Jalil, yang akan berlangsung pada Sabtu ini dan disambung dari 16 hingga 27 Ogos di Pusat Kreatif Jepun (JCC) di 4 Nassim Hill.



Pameran lebih 40 karya seramik penerima Pingat Budaya dan anugerah tertinggi Jepun, Order of the Rising Sun (Gold Rays with Rosette) ini merupakan anjuran JCC, Kedutaan Jepun di Singapura dan Galeri Seni Tembusu.



Dr Iskandar, 82 tahun, juga merupakan penerima Anugerah Jauhari Berita Harian yang diberi kepada individu cemerlang masyarakat Melayu/Islam setempat.



Ketika ditemui Berita Harian (BH) di studio tembikarnya di sekitar Tampines Avenue 1, Dr Iskandar menjelaskan hasratnya menjadikan pameran ini sebagai wadah mengimbau kenangan mengembara ke pelbagai negara dan melalui pengalaman yang mencorak kerja seni dan kreativitinya.



Puluhan jurnal hasil catatan ilhamnya sepanjang mengembara menyeberangi benua dan padang pasir serta mendaki gunung dan menyeberangi sungai berliku akan turut dipamerkan.



Ia adalah bagi orang ramai meninjau sendiri apa yang tersirat dalam mindanya, baik catatan humor atau nukilan puitis.



"Saya jangkakan ini adalah pameran solo terakhir saya setelah sekian lama. Nyala rasa masih ada, cuma dibatasi rasa penat dan keinginan untuk menyerahkan 'obor' perjuangan seni tembikar kepada anak-anak didik saya.



"Selepas pameran solo ini, saya dan tiga pelajar saya akan mengadakan pameran berkumpulan di balai seni ION pula. Kesungguhan mereka itu amat saya hargai kerana memang payah mencari anak didik yang komited meneruskan apa yang sudah saya bangunkan.



"Ada yang tidak jujur, ada yang tidak serius dan hanya punyai semangat 'seminit dua'. Ada pula yang mengambil kesempatan dan tidak dengar kata," kata Dr Iskandar.



Dari pameran ini, banyak kenangan pahit manis mengembara yang kembali menerawang di mindanya.



Pada tahap kepakarannya dalam seni tembikar kini, beliau mengusahakan karya lebih daripada setakat tembikar berbentuk cawan dan mangkuk. Ada yang berbentuk seperti sampan atau bebola.



"Sememangnya saya sukakan kembara untuk perluas pengalaman dan timba ilmu baru atau kenali sahabat baru malahan tidak hirau kalau perlu kembara seorang diri.



"Saya pernah ke Pahang dengan menaiki motosikal kecil Honda 50cc. Saya singgah ke Mersing, Kuantan, Kuala Terengganu, Kuala Lipis dan Kota Bharu. Saya habiskan masa dua malam, tiga hari dalam kembara ini.



"Saya naiki bot untuk lintasi Sungai Pahang. Saya temui orang di situ, bikin kawan dan makan malam bersama mereka," ceritanya.



Di Thailand, beliau dinasihati agar tidak meletakkan motosikal di luar atau di tempat sebarangan.



"Nanti mesti lampu motosikal kita diapa-apakan. Letakkan di balai polis sebab selamat. Ada pula yang kata mengembara seorang diri sampai ke Hat Yai dan Songkhla memang tidak selamat.



"Gerenti kena rompak. Saya ditahan dengan orang bawa senapang yang ingin memeriksa beg saya. Dia nampak saya tinggal $20 sahaja untuk buat makan. Agaknya kasihan. Maka saya pun dapat teruskan perjalanan. Masukkan motosikal dalam kereta api, kemudian pergi ke Butterworth sebelum balik ke Singapura," kongsi Dr Iskandar lagi.



Dalam pengembaraannya, beliau juga tidak lepas mengunjungi studio tembikar seperti Sayong sekitar Kuala Kangsar, Perak. Melalui kunjungan ini, beliau mempelajari cara baru membakar tembikar yang diamalkan penggiat seni tembikar yang rata-rata merupakan wanita.



"Kita di sini bakar tembikar guna gas. Mereka gunakan rak-rak setinggi empat kaki. Dengan buluh dan sabut kelapa, mereka bakar perlahan-lahan supaya tembikar kering sebelum dipindahkan ke api. Dalam dunia memang tiada orang gunakan kaedah sebegini," tambahnya.



Pameran ini juga mengingatkannya tentang dua Biasiswa Colombo Plan yang beliau terima ke India pada 1966 untuk mempelajari tekstil dan ke Jepun yang disifatkan sebagai rumah keduanya pada 1972.



"Kembara itu bukan untuk tengok pemandangan semata tetapi untuk mencari siapa diri saya dan di mana jati diri saya," jelasnya.



Anaknya, Cik Elena Iskandar, 47 tahun, pula menambah: "Kisah kembara terbaik bersama ayah adalah apabila ada sahaja perkara yang jadi serba salah. Kita kembara di luar kebiasaan, lupakan GPS, ikut sahaja ke mana kaki ini ingin melangkah... temui diri sendiri dan potensi kita, lupakan apa orang nak kata dan nasihati tetapi buat baik dengan semua orang."



  • Pameran percuma di JCC, 4 Nassim Hill ini, dibuka dari 12 tengah hari hingga 6 petang (13 Ogos) dan 10 pagi hingga 6 petang (16-27 Ogos). Ditutup pada Ahad dan Isnin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >