Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

PENULIS BUKU ‘MAKANAN ORANG MELAYU SINGAPURA’: KHIR JOHARI

Pastikan sajian warisan tidak hilang ditelan zaman

Jan 23, 2022 | 05:30 AM



TEMPAT jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.



Bagi Encik Khir Johari, pengalaman membesar di sekitar kawasan Kampong Glam adalah antara jalur-jalur memori yang masih bersinar di lubuk hatinya.



Namun, beliau tidak sanggup membiarkan kenangan menggamit rindu itu luput dari ingatan.



Justeru, beliau ingin mengabadikan pengalaman indah itu dan pengetahuan yang ditimba selama bertahun lamanya dalam sebuah buku tentang budaya orang Melayu Singapura, khususnya yang berkisar tentang soal makanan, untuk melestari dan memartabat warisan bangsa buat generasi masa depan.



Titik peluh Encik Khir, 58 tahun, selama lebih 11 tahun akhirnya membuahkan hasil selepas bukunya dalam bahasa Inggeris berjudul The Food of Singapore Malays (Makanan Orang Melayu Singapura) itu diterbitkan pada lewat tahun lalu.



Buku setebal 624 halaman yang diterbitkan oleh Marshall Cavendish itu menyentuh tentang pengaruh geografi, sejarah dan budaya ke atas masakan Melayu dan turut menyenaraikan sebanyak 32 resipi hidangan ikonik Melayu seperti mee siam dan sotong masak hitam.



Buku seberat hampir 3 kilogram itu dipercayai buku pertama seumpama itu yang pernah dicetak.



"Saya menerbitkan buku ini kerana saya mahu melestari dan memartabatkan masakan orang Melayu kita. Saya mahu agar generasi muda mengenali budaya kita. Saya juga berharap agar masyarakat kita akan berasa bangga dengan kekayaan budaya kita,'' kata bekas Naib Presiden Persatuan Warisan Singapura itu yang juga penyelidik dan konsultan warisan.



BUKAN SETAKAT BUKU MASAKAN



Mengimbas zaman kanak-kanaknya, Encik Khir, yang merupakan cicit mantan peniaga terkenal setempat, Allahyarham Haji Yusoff Haji Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Haji Yusoff "Tali Pinggang", berkata beliau didedahkan kepada masakan Melayu oleh kaum-kaum hawa yang sering meluangkan masa memasak di empat dapur berasingan di Gedung Kuning.



Malah, pengalaman pertama belajar memasak serunding di atas dapur arang daripada nenek saudaranya pada usia 9 tahun masih terpahat di ingatan.



"Secara semula jadi saya jenis yang selalu ingin tahu. Saya ingin tahu apa yang kita makan dan mengapa. Makanan adalah sesuatu yang menghubungkan kita. Ia mendedahkan identiti dan warisan kita," katanya.



Menurut Encik Khir, beliau terdorong untuk menghasilkan buku tersebut selepas gagal mendapatkan bahan bacaan seumpama itu sedangkan buku-buku tentang budaya masakan lain boleh diperolehi di banyak tempat.



Bagi bahan penerbitan, beliau bergantung kepada sumber-sumber seperti wawancara dengan orang-orang lama, lawatan ke kawasan pedalaman seperti Pulau Pemping dekat Batam dan kunjungan ke perpustakaan di serata dunia.



"Satu persatu orang-orang lama yang saya wawancara telah meninggal dunia. Mereka ini merupakan khazanah ilmu yang sangat berharga. Jadi kita perlu menimba ilmu-ilmu yang kaya ini sebelum mereka meninggalkan kita,'' katanya.



Memberi pengamatannya tentang perkembangan makanan Melayu, Encik Khir berkata ia adalah hasil pertukaran budaya antara rantau ini dengan seluruh dunia selama berkurun lamanya.



"Orang Melayu mempunyai pengetahuan amat mendalam tentang tumbuhan dan hidupan liar di sekeliling mereka sejak sekian lama.



"Ilmu pengetahuan ini menghasilkan satu sajian makan yang kaya dan berkhasiat, yang bersumber dari darat dan laut.



"Di samping itu, agama dan kepercayaan juga memainkan peranan dalam mempengaruhi masakan orang Melayu,'' katanya yang gemar mengumpul artefak lama.



Menurut beliau, walaupun buku ini memberi tumpuan pada masakan orang Melayu Singapura secara khusus, ia turut memberi gambaran lebih luas tentang rantau Nusantara.



"Saya gunakan Singapura kerana ia sebuah hab yang memandang ke luar. Saya bukanlah nak mulakan "perang" tentang siapakah yang mulakan makanan ini atau itu. Hakikatnya ialah kita semua mengongsi sejarah dan warisan yang sama,'' katanya yang menyifatkan nasi jenganan sebagai makanan kegemarannya kerana dirasakan sebagai lengkap dan berkhasiat.



Cetakan pertama buku berharga $85.60 itu sudah habis dijual dalam masa hanya beberapa minggu selepas diedarkan. Cetakan kedua dijangka diedarkan sekitar Mac depan.




Latar belakang penulis



Encik Khir Johari dilahirkan di Gedung Kuning dan pernah tinggal di situ bersama beberapa keluarga berangkai sehingga 1977.



Ayahnya, Encik Johari Mashwari, 84 tahun, seorang bekas pemimpin kesatuan; sementara ibu, Cik Mariam Mohamad, 82 tahun, seorang suri rumah yang pernah menjadi guru masak.



Bekas penuntut Gan Eng Seng itu merupakan pengarah firma pengurusan pelaburan Chersonese Capital, sebuah firma milik keluarga.



Dikenali dengan sifatnya yang suka mengembara, beliau, yang merupakan lulusan ijazah sarjana muda dalam Matematik dari Universiti Santa Clara dan Sarjana dalam Pendidikan dari Universiti Stanford, pernah bermaustatin di Amerika Syarikat.



Sewaktu di negara itu, beliau mengajar subjek Matematik di sebuah sekolah tinggi selama enam tahun.



Beliau, yang belum berumah tangga, pulang ke tanah air pada tahun 2007 untuk mengubat rindu kepada keluarga




PENULIS BERCAKAP KEPADA BERITA MINGGU



BETULKAH MASAKAN MELAYU TIDAK SIHAT?

“Sebenarnya makanan apa yang kita makan, haruslah ada kesederhanaan. Saya rasa itu adalah satu prinsip orang Melayu sendiri bahawa kita digalak makan secara sederhana. Apa yang berlebihan itu akan membawa sesuatu yang mudarat.

Sebenarnya kalau kita selidik tentang asal usul makanan Melayu, ia banyak berlandaskan kepada memakan makanan sihat seperti sayur-sayuran, ulam-ulam dan makanan laut.’’



12 JENIS RASA LIDAH MELAYU

“Kita ada perbendaharaan makanan kita tersendiri. Dalam alam Melayu, kita sudah terbiasa dengan rasa seperti pedas, manis dan masam dan ini juga wujud dalam alam budaya masakan negara lain seperti di Barat.

Tetapi di alam Melayu kita lihat kita ada lebih banyak kalimat yang digunakan untuk rasa. Sebenarnya kita ada 12, lebih seganda dari kalimat rasa dalam bahasa Inggeris. Kalimat seperti kelat, payau, maung dan mamek sukar untuk diterjemah dalam bahasa Inggeris.”



PANDANGAN TENTANG MAKANAN FUSHION

Makanan fushion sudah wujud sejak sekian lama. Makanan fushion adalah cara kita mencipta pelbagai jenis lauk. Tetapi makanan fushion hari ini harus dibuat dengan lebih bijaksana, dengan kefahaman tentang profil rasa dan cara pembikinan agar hasil yang tercipta adalah harmoni dan seimbang. 



MAKANAN MELAYU CIPTAAN SINGAPURA

“Makanan ciptaan Singapura sebenarnya banyak. Antara lain seperti mi rebus, mi siam, mi Maidin dan roti Mariam. Ia tercipta dengan wujudnya pusat di bandar kosmopolitan seperti Kampong Glam di mana idea-idea dan kesempatan-kesempatan yang wujud telah menghasilkan sajian-sajian seperti ini.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >