Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Perpaduan penting sebagai syariat hidup

Jul 15, 2022 | 05:30 AM



PERPADUAN penting dalam kehidupan dan ia perlu diseimbangkan dengan ibadah, keluarga dan kehidupan bermasyarakat.



Penting juga bagi masyarakat memelihara kesepaduan dalam perbezaan latar belakang, agama dan budaya, sebagaimana Allah swt menjadikan umatnya daripada pelbagai bangsa dan puak.



Inilah antara perkongsian Ustazah Kalthom Muhammad Isa, Naib Presiden Pergas, dalam forum keluarga berjudul 'Perpaduan Dalam Pantang Larang' anjuran Masjid Darul Aman pada 9 Julai lalu.



Ustazah Kalthom, yang juga kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan pakar motivasi dan pensyarah bebas, merupakan salah seorang anggota panel dalam forum itu yang turut mengetengahkan pendakwah tempatan, Ustaz Hidayat Ismail dan Ustaz Amirul Hakim sebagai moderator.



Menjawab soalan moderator tentang apakah itu perpaduan dalam perspektif Islam, Ustazah Kalthom berkata antara perkara asas digalakkan dalam kehidupan harian orang Islam adalah semangat berjemaah.



Contohnya dalam solat, Rasulullah saw sangat menekankan pentingnya solat berjemaah dengan pahala 27 derajat berbanding solat sendirian. Dan ia digalakkan secara kerap terutama solat di masjid.



Terdapat hadis tentang orang yang tidak solat berjemaah di masjid dan Nabi saw ingin saja membakar rumah-rumah mereka.



Namun, dalam memelihara sunah untuk memakmurkan masjid, Ustazah Kalthom mengingatkan pentingnya keseimbangan dalam mencari perpaduan dalam ibadah.



"Sudah makmurkan masjid, jangan pula bercakaran di rumah kerana suami tidak kerja dan duduk saja di masjid atau tidak pulang ke rumah.



"Perpaduan mesti seimbang antara ibadah, keluarga dan bermasyarakat. Kalau ibadah sahaja tetapi tidak tahu bergaul pun tidak boleh. Ini termasuklah untuk asatizah juga... kalau tidak mendekati masyarakat, macam mana hendak memahami apa yang berlaku dalam masyarakat," ujarnya.



Ustazah Kalthom berkata tidak kira sama ada dalam suasana keluarga, di tempat kerja atau dalam persahabatan, semangat perpaduan adalah teras mencapai keharmonian dan manusia secara dasarnya mahukan layanan yang baik.



"Allah menjadikan kita berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk saling kenal-mengenal. Jikalau kita saling tidak mengenali bagaimana ingin pupuk perpaduan?



"Saya sebagai pendaftar di Darul Arqam, setiap minggu berjumpa saudara baru. Kalau kita beri pandangan yang tidak menyenangkan kepada yang tidak seagama, macam mana mereka hendak tertarik pada Islam?



"Dalam menyatupadukan masyarakat, kita mesti berbalik kepada perkara pertama, iaitu semua orang Islam itu adalah bersaudara," ujarnya.



Ustazah Kalthom juga mengingatkan pesan Nabi Muhammad saw tentang pentingnya menjalankan amar makruf dan nahi mungkar dalam melawan ketidakadilan dan kesewenang-wenangan dalam mencari kesepaduan sosial.



"Dalam menjaga kesepaduan pun, tidak semuanya boleh. Kadangkala kita perlu juga tegas dalam menjaga kepentingan bersama.



Beliau juga mengingatkan tentang syariat Islam yang menekankan pentingnya menghormati perlembagaan, baik yang berkaitan dengan hukum agama mahupun hukum negara. Ada pantang larangnya yang perlu dipatuhi.



Mengambil contoh daripada Nabi saw iaitu: Sebuah kapal yang ada dua tingkat misalnya... kalau yang bekerja di bahagian bawah bersikap malas untuk ambil air melalui tingkat atas dan kerana malas atau tidak mahu berinteraksi dengan yang atas lalu mengambil jalan pintas dengan membuat lubang untuk mengambil air, apa akhirnya akan terjadi? Ya, tentu tenggelam kapal tu dan semua yang berada di atas pun akan turut karam.



"Kadangkala, sikap orang bawah membuat orang atas ikut terpalit. Sama juga halnya jika kita tidak mengikut undang-undang agama atau negara.



"Dalam kehidupan, kedua-dua undang-undang perlu dijaga. Ulama dan umara atau pemimpin pun kita perlu ambil kira pandangan mereka, kena saling memahami, kena banyak berlaku sabar," beliau mengingatkan sambil mengungkap bahawa perselisihan banyak terjadi akibat sikap kurang faham atau tidak saling memahami.



Menyentuh tentang sikap perpaduan yang membawa ganjaran besar ialah syariat Islam yang berkongsep memudahkan urusan orang lain.



Percaya atau tidak, Allah swt menolong kita kerana kita pernah memudahkan urusan orang di sekeliling kita suatu masa dulu.



Mungkin kita lupa tetapi Allah tidak pernah lupa.



Rasulullah saw bersabda:



"Barangsiapa yang memudahkan orang Mukmin yang dalam kesulitan di dunia, Allah akan memudahkannya daripada kesusahan di akhirat." (Sahih Muslim)



Namun, sifat yang dituntut ini kadangkala tidak meresap dalam diri manusia biarpun mereka baru menjalani kewajipan beribadah.



Ustazah Kalthom memberi contoh sikap yang tidak seharusnya berlaku terutama dalam mengerjakan ibadah haji yang pernah beliau saksikan satu ketika dulu.



Ini melibatkan sekumpulan jemaah yang enggan memberi tempat duduk kepada jemaah dari negara lain yang sedang mencari tempat untuk makan sedangkan kerusi-kerusi yang ada dipenuhi dengan beg-beg mereka.



"Ini bermakna kedudukan seorang yang bergelar hajah atau haji tidak memberi jaminan akhlak yang bagus.



"Jauhilah sifat mazmumah (bermaksud sifat-sifat buruk dan keji) yang tidak seharusnya ada pada diri seorang Muslim yang beriman kepada Allah swt dan Rasul-Nya.



"Memudahkan urusan orang lain termasuklah menjaga maslahat masyarakat," tambahnya.



Ustazah Kalthom menutup ceramahnya dengan mengetengahkan pandangan Ibnu Qayyim bagi konsep menjaga maslahat bersama.



"Syariat Islam dibangun berdasarkan asas hikmah dan kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat. Ia merupakan keadilan yang bersifat mutlak, kasih sayang, kemaslahatan dan hikmah.



"Oleh kerananya setiap persoalan yang bertolak belakang daripada keadilan menuju kezaliman, kasih sayang menuju kekerasan, maslahat menuju kemudaratan, serta hikmah menuju sesuatu yang bernilai sia-sia, maka itu semua bukanlah bahagian daripada syariat, sekalipun ditafsirkan sebagai syariat," ujarnya menerangkan dengan terperinci kata-kata Ibnu Qayyim.




"Syariat Islam dibangun berdasarkan asas hikmah dan kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat. Ia merupakan keadilan yang bersifat mutlak, kasih sayang, kemaslahatan dan hikmah.



Oleh kerananya setiap persoalan yang bertolak belakang daripada keadilan menuju kezaliman, kasih sayang menuju kekerasan, maslahat menuju kemudaratan, serta hikmah menuju sesuatu yang bernilai sia-sia, maka itu semua bukanlah bagian daripada syariat, sekalipun ditafsirkan sebagai syariat."



- Ustazah Kalthom Muhammad Isa, Naib Presiden Pergas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >