Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MERUNGKAI ISU KEWANGAN

Ajaran dari 2021, harapan kewangan lebih positif buat 2022

Jan 02, 2022 | 05:30 AM



SETELAH mengalami pelbagai peristiwa yang menyebabkan ekonomi dan kewangan dunia turun naik bak 'rollercoaster' sepanjang tahun lalu, ramai pastinya mengharapkan Tahun Baru 2022 yang lebih cerah.



Beberapa pengamat kewangan melihat tanda-tanda pemulihan ekonomi, tanda keyakinan dalam masyarakat kewangan dan perniagaan selepas jatuh bangun sepanjang dua tahun lalu.



Sedang kita menyambut tahun baru, ini masa yang baik untuk kita merenung pencapaian tahun lalu, meraih pengajaran daripada kesilapan lalu dan membuat perancangan bagi tahun baru.



Jatuh Bangun 2021



Pakar kajian Forex Maybank, Encik Saktiandi Supaat menyifatkan tahun lalu sebagai tahun pemulihan separa.



Kemajuan vaksinasi dan usaha pembukaan semula memberi daya tahan kepada kegiatan ekonomi yang luas, tetapi kadar inokulasi yang tidak seimbang di serata dunia dan gelombang Covid-19 terbukti mencabar.



Khususnya, kekurangan bekalan dan kenaikan harga tenaga juga memburukkan lagi tekanan separuh kedua tahun lalu, merumitkan kegiatan ekonomi.



"Menjelang 2022, kami melihat trajektori pemulihan yang lebih mampan. Kami jangka pertumbuhan dan inflasi akan kekal di atas trend berikutan ketersediaan vaksin, inokulasi yang semakin pantas dan pembukaan semula ekonomi yang lebih luas, walaupun terdapat risiko Omicron sementara dan kekangan sampingan bekalan yang berlarutan.



"Ini menyokong berat pilihan kami untuk mata wang Asia yang berkaitan komoditi dan pro-kitaran (kecuali Jepun)," kata Encik Saktiandi yang juga Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh.



Inflasi adalah salah satu kejutan besar pada tahun lalu dan kekal tinggi di Amerika Syarikat dan sebahagian Eropah.



"Kenaikan harga komoditi, kesesakan rantaian bekalan dan perbelanjaan ekoran pembukaan semula ekonomi telah menaikkan harga. Beberapa pekerja juga kelihatan berhati-hati untuk kembali ke tenaga buruh, menaikkan gaji," kata Encik Saktiandi.



Beliau juga menjangka tekanan inflasi akan berterusan pada separuh pertama tahun ini tetapi mula sederhana pada separuh kedua separuh daripada kesesakan rantaian bekalan dan kelonggaran inflasi komoditi.



Sikap Kewangan Warga



Keadaan turun naik tahun turut menjejas sikap warga dalam kewangan masing-masing.



Kajian OCBC mendapati pada 2021 pandemik Covid-19 - dan kesan ekonomi yang terhasil serta ketidaktentuan - telah menjadikan rakyat Singapura mengamalkan tabiat kewangan yang lebih baik.



Ramai yang menggunakan alat kewangan digital untuk merancang dan melabur, dan mereka mencapai matlamat lebih baik daripada mereka yang tidak.



Kajian bank itu juga menunjukkan lebih ramai golongan milenial melabur untuk mengembangkan harta mereka.



Rakyat Singapura juga mempunyai sikap lebih baik berhubung persaraan dan lebih ramai lagi memilih gaya hidup yang lebih mudah apabila mereka bersara.



Sikap itu juga seiring dengan keinginan warga meningkatkan pendidikan pengurusan kewangan.



Harapan untuk 2022



Memandang ke hadapan Encik Saktiandi mempunyai pengamatan berikut:



"Pada 2022, pemulihan ekonomi-ekonomi global dan di Asia mungkin menghadapi masalah seperti gangguan rantaian bekalan yang berlarutan dan pasaran buruh yang ketat yang mungkin akan menimbulkan risiko kepada pertumbuhan ekonomi dan menyokong tempoh kemungkinan tekanan inflasi yang meningkat.



"Kenaikan dalam hasil bon, sebahagiannya daripada pengetatan dasar monetari global juga memaksa pelabur menyemak semula pendedahan mereka kepada aset yang sensitif kepada kadar faedah yang lebih tinggi."



Namun begitu, beliau berpendapat walaupun terdapat risiko jangka pendek kepada pertumbuhan global, prospek masih kekal positif apabila lebih banyak negara melihat endemik Covid-19 sebagai senario asas dan membuka sempadan.



Beliau menambah ini boleh membawa kepada pelepasan permintaan terpendam di kalangan pengguna yang membawa kepada perbelanjaan yang lebih tinggi, dan syarikat meningkatkan modal dan perbelanjaan operasi untuk memenuhi permintaan pengguna tersebut.



"Saya menjangkakan kelemahan rantaian bekalan akan pulih secara beransur-ansur apabila ekonomi dibuka semula dalam beberapa tahun akan datang tetapi kita mungkin masih melihat kelemahan bagi bekalan-bekalan tertentu.



"Memandangkan ekonomi global kembali normal dalam beberapa tahun akan datang, pertumbuhan mungkin kekal di atas arah aliran (trend) dan dengan itu dapat menyaksikan sektor korporat menikmati pemulihan dengan keuntungan dan pertumbuhan pendapatan yang lebih baik." katanya.



Strategi Pelaburan Sederhana



Menyentuh tentang strategi pelaburan bagi tahun ini, Encik Saktiandi berkata ada baiknya bagi warga mempunyai pendedahan risiko sederhana.



Namun beliau menekankan peri penting memahami trend ketidaktentuan yang akan timbul dan perlu lebih aktif dalam mempelbagaikan portfolio bagi mengurangkan kesan negatif.



"Terdapat peluang dalam beberapa pasaran dan sektor ekuiti tahun ini.



"Dalam ufuk jangka sederhana hingga panjang mungkin berguna melihat arah aliran sekular jangka panjang yang muncul daripada kesan pandemik dan gerakan mengurangkan gas karbon serta projek elektrifikasi daripada inisiatif perubahan iklim," ujar beliau.



Pelbagaikan Aset



Beberapa pelabur individu lain pula mempunyai keinginan meneroka peluang baru yang lebih berisiko tinggi.



Karyawan pendidikan seperti Cik Lina Abdul misalnya mempunyai rancangan mempelbagaikan portfolio pelaburannya menjangkau aset tradisional seperti simpanan tunai, simpanan koperatif, hartanah dan polisi berkaitan insurans.



Setelah memperuntukkan dana kecemasan sebanyak enam bulan gaji, beliau mahu melaburkan sebahagian kecil baki simpanan tunainya ke arah ekuiti berisiko tinggi seperti ekuiti privet yang berpotensi mencapai Tawaran Awam Awal (IPO).



"Saya sedang meninjau sebuah ekuiti privet dalam media baru yang memburu IPO dan mempunyai aplikasi yang mampu bersaing dengan TikTok," katanya.



Strategi tahun ini bagi penceramah motivasi kewangan Encik Abu Ayuabul Ansari pula mempunyai tema GAIN.



  • Global market (pasaran global)

  • Artificial Intelligence (kecerdasan buatan)

  • Investment (Pelaburan)

  • New Networks (Rangkaian baru)

Selain aset tradisional seperti hartanah dan saham syarikat, Encik Abu juga mempunyai selera berjinak-jinak dengan pelaburan berisiko tinggi.



Ini termasuk pelaburan dalam teknologi baru seperti kripto.



Namun oleh kerana risiko kripto yang agak tinggi, pertaruhan beliau dalam wadah itu hanyalah sedikit.



Pelaburan Risiko Tinggi



Seorang lagi pelabur yang minta namanya tidak disiarkan juga melihat potensi dalam wadah pelaburan mikro berhubung matawang kripto.



Memperkenalkan dirinya sebagai Crytophoenix, beliau telah mula membuat pelaburan dalam matawang kripto menggunakan wadah pelaburan mikro.



Namun beliau mempunyai falsafah konservatif dalam pengurusan kewangan peribadinya.



Sebagai contoh, beliau memperuntukkan dana kecemasan sebanyak setahun jumlah perbelanjaan kasar bagi dirinya dan isterinya.



Beliau juga mempunyai pelaburan risiko rendah seperti ekuiti dan pendapatan dari hartanah.



Baki simpanannya akan dilaburkan dalam senarai matawang kripto.



"Saya melihat potensi kripto dari sudut teknologi penggeraknya iaitu Blockchain, yang mempunyai aplikasi dalam pelbagai bidang.



"Sebelum ini pelabur runcit sukar membuat pelaburan dalam wadah ini kerana kekurangan pengalaman, maklumat dan peluang," katanya.



Beliau sendiri pernah mengalami kerugian dalam pelaburan kerana 'kurang ilmu'.



"Kerugian saya boleh tahan juga, tetapi ia tidak sampai ke tahap di mana saya serik membuat pelaburan," katanya.



Strategi beliau tahun ini ialah membuat kajian terperinci mengenai trend kripto, penggunaan teknologinya dan membuat pelaburan kecil-kecilan menggunakan wadah pelaburan mikro," kata beliau.



Kini terdapat pelbagai wadah pelaburan mikro yang boleh membantu pelabur runcit membuat pelaburan dengan modal serendah $100.



Pengetahuan dan pemahaman tentang semua perkara yang berkaitan dengan wang adalah penting untuk membina kekayaan jangka panjang.



Anda juga akan mengetahui lebih lanjut tentang cara berbeza anda boleh menguruskan wang anda dengan baik.



Terdapat banyak kaedah untuk melakukan ini, daripada melakukan penyelidikan di Internet, mendaftar dalam kelas, membaca buku kewangan, atau melanggan surat berita kewangan peribadi dan meraih ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman.



Tetapkan matlamat bulanan untuk diri sendiri untuk meneroka sekurang-kurangnya satu sumber yang mendalam yang akan memberikan anda lebih banyak cerapan tentang bidang topik kewangan tertentu.



Mulakan dengan asas kewangan peribadi dan bergerak ke arah pelaburan dan pasaran saham setelah pemahaman anda berkembang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >