Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Idea 'sekecil' pensel: kini mekar jadi projek bantu golongan memerlukan

Turut ilhamkan 'Project Pencil @ Yishun 71' yang bertujuan sokong keluarga susah, warga tua; projek turut libatkan penyertaan jiran yang lebih mampu tampil bantu jiran yang lebih memerlukan
Jan 27, 2022 | 05:30 AM



IA bermula dengan niat murni dan mudah - menderma pensel dan alat tulis lain ke sebuah rumah tumpangan anak yatim di Thailand.



Namun kini, idea yang berputik di benak Cik Sarimah Amat sekitar enam tahun lalu itu telah mekar menjadi projek lebih besar yang membantu kanak-kanak dari keluarga susah di dalam dan luar negara.



Mengimbas pengalamannya pada ketika itu, Cik Sarimah, yang mengasas dan kini memimpin pertubuhan amal Projek Pensel Singapura secara sepenuh masa, berkata beliau tidak sangka berjaya mengumpulkan begitu banyak pensel bagi projek sulungnya itu.



Menurut Cik Sarimah, kini 54 tahun, beliau berjaya mengumpulkan pensel dan peralatan tulis seberat 70 kilogram dengan hanya menyuarakan hajatnya itu di Facebook.



Pada ketika itu, beliau sekadar ingin membantu seorang teman yang sedang mengumpulkan pensel untuk didermakan ke Thailand.



"Secara kebetulan, saya mempunyai sekotak pensel di rumah... dan rakan saya memberitahu saya sekotak pensel mungkin boleh digunakan oleh 30 kanak-kanak.



"Mana cukup, fikir saya... saya kemudian meminta rakan saya itu untuk memberi saya sedikit masa untuk mendapatkan lebih banyak pensel," ujar Cik Sarimah, ibu tiga anak yang juga menjadi ibu titipan kepada dua lagi anak.



Projek pertama ke Thailand itu mendorong Cik Sarimah untuk mengulangi usahanya bagi membantu kanak-kanak di negara lain pula dan buat masa ini, beliau telah menghantar alat tulis kepada kanak-kanak yang memerlukan di Indonesia, Filipina, Malaysia dan juga India.



"Saya bak sedar akan panggilan baru ini dan minat kian membara untuk menghulur bantuan dengan cara ini," kata Cik Sarimah.



Dua tahun lalu, di awal penularan Covid-19, Cik Sarimah mengorak langkah untuk membantu jiran-jiran di sekitar kawasan tempat tinggalnya pula.



Beliau memulakan Project Pencil @ Yishun 71, yang bertujuan memberi sokongan kepada keluarga dan warga tua yang memerlukan.



Lebih menarik lagi, projek itu diusahakan supaya jiran yang lebih mampu atau bernasib baik dapat turut menghulur bantuan kepada jiran yang lebih memerlukan.



Menurut Cik Sarimah, beliau berharap usaha beliau itu dapat mewujudkan semula semangat gotong-royong yang dilaluinya semasa membesar di kampung tidak lama dulu.



Dalam tempoh dua tahun ini, projek tersebut telah berkembang dan kini beliau mempunyai lebih banyak sokongan bagi menjalankan programnya.



Buat masa ini, Project Pencil@Yishun 71 berpangkalan di sebuah unit pejabat di Chong Pang di mana ia turut menganjurkan kelas tuisyen bagi 42 pelajar daripada sekitar 35 keluarga yang memerlukan.



Keluarga-keluarga itu juga mendapat sokongan berupa barangan runcit.



"Dulu saya seorang, tetapi kini kami seramai 15 orang tidak termasuk relawan-relawan yang kerap membantu," kata Cik Sarimah, yang turut diiktiraf Anugerah Yishunite Of The Year daripada Majlis Bandaran Nee Soon yang mengiktiraf sumbangannya kepada penduduk di kawasan tersebut.



Tahun lalu, beliau diberikan Anugerah Inisiatif Penglibatan Masyarakat Singapura (Berpasukan) sempena Anugerah Tindakan Pesakit Singapura 2021.



Beliau amat berterima kasih atas segala pengiktirafan tersebut sambil berkata:



"Anugerah ini membawa pertubuhan amal kami ke peringkat yang seterusnya dan saya gembira kerana ia juga beri pengiktirafan kepada ahli pertubuhan amal ini," kata beliau.



Namun, bagi Cik Sarimah, ganjaran yang lebih bermakna bagi beliau adalah struktur sokongan antara jiran yang kini wujud di kawasan kejiranannya.



"Menerusi inisiatif ini, kami dapat mengumpulkan masyarakat dan penduduk juga tahu tempat dan siapa untuk ditemui bagi mendapatkan bantuan."



Memandang ke hadapan, Cik Sarimah berkata beliau berharap dapat memperluas jangkauan bantuan yang dihulurkan itu ke lebih banyak kawasan di samping melahirkan harapan melihat lebih ramai orang tampil menghulur bantuan.



"Jika ada lebih tenaga, kami boleh memperkukuh urusan logistik dan membantu lebih ramai orang. Sesiapa sahaja boleh, asalkan ada niat mahu menghulurkan bantuan," kata beliau.




 "Dulu saya seorang, tetapi kini kami seramai 15 orang tidak termasuk relawan-relawan yang kerap membantu... Menerusi inisiatif ini, kami dapat mengumpulkan masyarakat dan penduduk juga tahu tempat dan siapa untuk ditemui bagi mendapatkan bantuan... Jika ada lebih tenaga, kami boleh memperkukuh urusan logistik dan membantu lebih ramai orang. Sesiapa sahaja boleh, asalkan ada niat mahu menghulurkan bantuan."
- Cik Sarimah Amat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >