Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jangan segan bincang soal seks dengan anak

Pakar kata perbincangan mengenai seks dan seksualiti sebaiknya dilakukan seawal mungkin, apabila anak-anak mula mengenali anatomi mereka
Jan 24, 2022 | 05:30 AM



Baru-baru ini, seorang pelakon setempat telah memuat naik video perbincangan beliau dengan anaknya yang berusia 10 tahun mengenai seks. Pencerahan beliau itu mendapat reaksi bercampur daripada warga Internet - ada yang mempersoal cara beliau, manakala ada pula yang menyokongnya. Berbincang mengenai seks dengan anak-anak adalah sesuatu yang perlu tetapi amat berat dilakukan ibu bapa, namun pakar menasihatkan keadaannya tidak seharusnya demikian. Malah, berbincang mengenai seks dengan anak-anak semasa mereka kecil, sambil menyelitkan unsur-unsur moral, boleh menyokong pembangunan anak-anak tersebut, supaya mereka melihat seks dan seksualiti sebagai sesuatu yang suci dan sihat. BERITA HARIAN melaporkan.




ANDA sedang menyaksikan filem bersama anak anda dan tanpa diduga tiba-tiba terdapat aksi bercumbuan yang agak mengghairahkan meskipun filem itu sepatutnya filem yang mesra keluarga.



Mungkin dalam situasi sedemikian, ada ibu bapa yang akan menyuruh anak mereka menutup mata dengan tangan atau mengarah mereka melihat ke arah lain sambil berkata "tak boleh tengok!"



Tetapi kanak-kanak hari ini, yang sifat mereka lebih inkuisitif atau suka bertanya pasti ingin tahu, "kenapa tak boleh tengok?", "salah ke bercumbuan?" atau yang mungkin membuat setengah ibu bapa tersipu-sipu - "apa itu seks?"



Bagi ibu bapa, adakah harus mereka sekadar menepis saja soalan-soalan 'sukar' seperti ini, dengan alasan anak-anak masih terlalu kecil, atau mengambil peluang untuk berbincang dan mendidik anak-anak mengenai seks.



Pengarah Pusat Hab Perkahwinan AMP, Cik Zaleha Ahmad, menerangkan kepada Berita Harian (BH), tiada masa yang terlalu awal untuk ibu bapa berbincang mengenai seks bersama anak-anak mereka.



Malah, menurut beliau, membincangkan seksualiti dan keselamatan tubuh kepada anak kecil boleh membantu membina pemahaman anak tersebut bahawa seks dan seksualiti adalah sesuatu yang sihat dalam kehidupan mereka.



"Kita juga harus faham bahawa isu seksualiti bukan hanya tentang seks. Ia juga merangkumi bagaimana perasaan anak-anak terhadap perkembangan tubuh mereka dan sebagai ibu bapa, kita tidak seharusnya mengelak atau berbohong kepada mereka mengenainya," ujarnya.



Memberikan contoh, beliau berkata ibu bapa sudah boleh mengajar anak mereka tentang perbezaan dan fungsi setiap bahagian tubuh meski anak itu baru berusia dua tahun.



Ini kerana pada usia sedemikian juga, anak tersebut sudahpun mengenal bahagian tubuh atau anatomi mereka termasuk bahagian sulit mereka.



"Penting juga untuk ibu bapa menggunakan istilah anatomi yang betul serta bahasa yang tepat.



"Ini akan memberi isyarat bahawa bahagian tubuh kita ini adalah sesuatu yang sihat, dan kita perlu membersihkan dan menjaganya," katanya lagi.



Hal ini turut dipersetujui pakar keluarga di Focus on the Family Singapore, Cik June Yong.



Beliau menerangkan, ibu bapa harus mula bercakap mengenai topik seks sejak anak itu kecil lagi dengan menggunakan nama yang betul bagi setiap bahagian tubuh dan mengenal pasti perbezaan biologi antara lelaki dan perempuan, katanya.



Beliau turut menyarankan untuk memanfaatkan sumber-sumber seperti buku untuk memulakan perbincangan menangani topik tersebut.



Antara buku-buku ini termasuk "Who Has What?: All About Girls' Bodies And Boys' Bodies" oleh Robie H. Harris dan "I Said No! A Kid-To-Kid Guide To Keeping Private Parts Private oleh Zack dan Kimberly King, kata Cik Yong dalam sebuah artikel terbitan The Straits Times.



Melalui cara ini juga, kata Cik Zaleha, anak-anak boleh didedahkan kepada topik seperti bagaimana bayi dilahirkan.



"Kita tidak perlulah memberitahu mereka tentang segala proses ovulasi. Ia cukup sekadar memberitahu mereka tentang bagaimana seorang wanita mempunyai telur kecil di dalam badan mereka yang kemudiannya boleh berkembang menjadi seorang bayi," ujarnya.



Dalam pada itu, Cik Zaleha menambah, mengajar anak tentang seksualiti mereka, akan membantu mewujudkan lebih kesedaran tentang keselamatan tubuh diri mereka sendiri, seperti cara mana yang patut dan mana yang tidak, terutamanya apabila menyentuh atau disentuh oleh orang lain.



Pengarah projek program Birds and Bees di Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware), Cik Tan Joo Hymn, berkata ibu bapa juga tidak boleh berasa malu apabila berbual tentang seks dan hubungan intim.



"Anak-anak bijak dalam mengenal pasti keselesaaan kita dalam membincangkan topik itu.



"Jika kita rasa janggal, mereka boleh memutuskan bahawa topik tersebut tidak seharusnya ditanya kepada ibu bapa," katanya.



Ini yang akan menyebabkan anak-anak mencari jawapan daripada sumber lain termasuk kawan-kawan dan dalam talian.



Akur, Cik Zaleha berkata dengan komunikasi terbuka mengenai isu ini bersama anak-anak, mereka akan tahu di mana untuk mendapatkan maklumat dan nasihat yang betul selain memberitahu mereka tentang batasan aurat mereka di khalayak ramai, mahupun secara tertutup di kalangan ahli keluarga dan saudara-mara.



"Perbincangan seks dengan anak-anak tidak seharusnya menjadi suatu subjek yang fokus. Ia harus diterapkan dalam perbualan seharian.



"Kunci dalam perbincangan awal adalah supaya anak selesa untuk merujuk kepada ibu bapa dalam mendapatkan maklumat secara terbuka, jujur dan yang boleh dipercayai.



"Anak-anak tidak perlu rasa takut atau malu untuk bercakap dengan ibu bapa mengenainya," katanya lagi.




PANDUAN BUAT IBU BAPA



Buat Persediaan



Ibu bapa harus bersedia apabila membincangkan tentang isu ini. Anda juga boleh berbincang dengan pasangan anda mengenai mesej yang ingin disampaikan kepada anak dan jika perlu, lakukan beberapa rujukan fakta jika tidak pasti.



Adalah penting maklumat yang diberikan bersesuaian dengan anak-anak mengikut umur mereka.



Berikan Maklumat Yang Tepat



Usah membuat anak anda berasa bahawa seks itu kotor atau salah.



Mereka harus diberi maklumat yang betul tentang hubungan yang sihat dan yang dalam batasan sosial dan moral.



Bukan Soal Intim Sahaja



Pendidikan seksual bukan sahaja tentang perhubungan intim tetapi juga dalam memahami tubuh anda dan cara melindunginya.



Seks juga boleh dikaitkan dengan ekspresi cinta dan kasih sayang serta cara menghormati pasangan anda setelah bernikah.



  • Panduan daripada Pengarah Pusat Hab Perkahwinan AMP, Cik Zaleha Ahmad.


BINA PEMAHAMAN ANAK BAHAWA SEKS DAN SEKSUALITI SESUATU YANG SIHAT DALAM KEHIDUPAN



"Kita juga harus faham bahawa isu seksualiti bukan hanya tentang seks. Ia juga merangkumi bagaimana perasaan anak-anak terhadap perkembangan tubuh mereka dan sebagai ibu bapa, kita tidak seharusnya mengelak atau berbohong kepada mereka mengenainya.

Penting juga untuk ibu bapa menggunakan istilah anatomi yang betul serta bahasa yang tepat.

Ini akan memberi isyarat bahawa bahagian tubuh kita ini adalah sesuatu yang sihat, dan kita perlu membersihkan dan menjaganya."

- Cik Zaleha Ahmad, Pengarah Pusat Hab Perkahwinan AMP.



ANAK-ANAK BIJAK KENAL PASTI KESELESAAN IBU BAPA APABILA BINCANG TOPIK



"Anak-anak bijak dalam mengenal pasti keselesaaan kita dalam membincangkan topik itu.

Jika kita rasa janggal, mereka boleh memutuskan bahawa topik tersebut tidak seharusnya ditanya kepada ibu bapa."

- Cik Tan Joo Hymn, pengarah projek program Birds and Bees di Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >