Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Kurator muzium bukan sekadar pencerita

Hubungkan secara berkesan pengetahuan daripada artifak kepada umum, lestari budaya dan sejarah
Aug 17, 2021 | 05:30 AM



Ahad lalu kami menerbitkan wawancara bersama Pengarah Kumpulan Muzium Lembaga Warisan Negara (NHB), Encik Kennie Ting. Hari ini kami memaparkan pula sekumpulan karyawan yang bekerja keras di balik tabir untuk memastikan pameran muzium menarik dan memenuhi cita rasa masyarakat dan pengunjung. Mereka antara 11 kurator dan pemulihara Melayu/Islam, yang bertugas bersama NHB. Ikuti laporan BERITA HARIAN di halaman ini dan sebelah.




DI BALIK tabir setiap pameran muzium di sini terdapat sekumpulan kurator dan pemulihara yang bekerja keras memastikan pameran artifak dipersembah secara berkesan, menarik dan berjaya.



Sebagai kurator, mereka bukan sekadar pencerita atau penterjemah artifak muzium. Lebih penting lagi, mereka membantu menghubungkan pengetahuan tentang artifak muzium kepada umum.



Sebagai pemulihara pula, mereka memastikan artifak bersejarah dapat diabadikan bagi anak cucu generasi akan datang.



Demikian perspektif tiga kurator - Cik Nur Syafiqah Ahmad Jaa'far, Cik Noorashikin Zulkifli dan Encik Muhammad Zinnurain Mohd Nasir- dan dua pemulihara - Cik Nor Aini Omar dan Encik Ishak Ahmad - dalam meniti kerjaya dalam industri muzium di Singapura.



Mereka antara 11 kurator dan pemulihara Melayu/Islam yang bertugas bersama Lembaga Warisan Negara (NHB). Cik Noorashikin berkata sebelum menjadi kurator muzium, beliau bergiat dalam seni pementasan dan berminat dalam seni visual.



Beliau pernah bergiat dalam kumpulan teater The Necessary Stage dan Teater Ekamatra dan mengikuti jurusan pengurusan seni di peringkat universiti sebelum bekerja sebagai penganjur program di Muzium Seni Singapura (SAM).



"Saya sangat bersyukur kerana mendapat peluang pertama untuk berperanan sebagai kurator pada masa itu. Sejak itu, sedikit demi sedikit, minat dan pengalaman saya berkembang ke seni lebih bersejarah atau purba, hingga kini saya tumpu pada seni Islam, terutama seni Islam Asia Tenggara," kata Kurator Kanan, Seni Islam, Muzium Tamadun Asia (ACM) dan Muzium Peranakan (TPM) itu.



Lulusan sarjana kesusasteraan dalam media interaktif daripada Kolej Goldsmiths di Britain itu juga pernah menjadi pensyarah di Kolej Seni Lasalle.



Cik Syafiqah, Penolong Kurator Muzium Negara Singapura (NMS), 29 tahun, menganggap tugas kurator sebagai saluran meneroka cara kreatif mengetengahkan pengetahuan sejarah, terutama tentang Singapura, agar ia lebih mudah diakses masyarakat.



Bagi Encik Zinnurain, 28 tahun, kerjaya sebagai kurator memang antara pilihannya sejak dibangku sekolah. Peluang pertama itu tiba apabila beliau menjadi penyelidik kuratorial.



Tugas itu membantu beliau memperkukuh keyakinannya bahawa beliau "mencintai laluan ini dan laluan ini memenuhi apa yang saya cintai dan perlu lakukan", kata Penolong Kurator, Taman Warisan Melayu (TWM) yang meminati bidang sejarah itu.



Ditanya bagaimana mereka menyifatkan tugas kurator, Cik Noorashikin, yang berpengalaman 11 tahun, menganggap dirinya sebagai pencerita dan penterjemah yang "menyampaikan konteks asal dari segi sejarah, budaya dan naluri seniman secara relevan untuk khayalak hari ini".



Encik Zinnurain, lulusan sarjana kesusasteraan dalam pengajian Asia Tenggara Universiti Nasional Singapura (NUS), pula mahu menjadi kurator all-rounder, atau serba boleh, kerana bidang kurasi luas dan banyak lagi yang perlu didalami.



Cik Syafiqah, lulusan sarjana kesusasteraan Jabatan Sejarah NUS, juga mengibaratkan dirinya penterjemah, yang membantu "artifak berhubung dan bercakap kepada pengunjung dalam persekitaran tertentu".



DETIK BERSEJARAH



Cik Noorashikin menganggap sumbangannya kepada projek seperti pembaharuan TWM pada 2012 dan mendirikan Galeri Seni Islam pada 2018 di ACM antara pencapaian besarnya sebagai kurator.



Menganjurkan Pameran Urang Banjar: Warisan dan Budaya Banjar di Singapura di TWM antara pencapaian bersejarah bagi Encik Zinnurain.



"Ia pameran pertama saya dalam suasana kuratorial. Ketika itu saya tahu semua kerja keras dan tenaga yang dicurahkan dalam penyelidikan, tulisan, rekaan, penerbitan video berbaloi," ujarnya yang pernah menjadi penolong pengajar di NUS sebelum menyertai TWM pada 2019.



Cik Noorashikin menambah: "Tiada saat lebih besar atau bermakna daripada setiap kali saya dapat berhubung dengan khalayak - baik pengunjung mahupun pihak berkepentingan - di mana kami bertukar-tukar pendapat atau bergabung tenaga tentang seni, budaya dan sejarah."



HARGAI BAHAN PAMERAN



Apakah pula panduan bagi pengunjung muzium menghargai artifak yang dipamer?



Cik Syafiqah berkata anggaplah muzium sebagai taman permainan penuh cerita dan memori. Bahan pameran bukan memberitahu fakta sejarah atau melihat sejarah daripada sesuatu sudut sahaja, bahkan ia juga perspektif yang ditawarkan pihak muzium.



"Pameran adalah permulaan perbicaraan tentang sejarah dan pengalaman kita, ia bukan satu pengakhiran," katanya.



Cik Noorashikin pula menasihatkan pengunjung supaya menikmati artifak atau paparan pameran "dengan menggunakan deria sepenuhnya; jangan hanya bergantung pada teks pameran". Selain itu, pengunjung boleh menyertai klinik warisan dan program serta ceramah, kebanyakannya percuma.



Menurut Encik Zinnurain, mereka boleh mengikuti perkembangan muzium di media sosial agar dapat memahami apa yang dilakukan muzium dan mengapa sedemikian.



HARAPAN & VISI



Encik Zinnurain berkata dorongan dalam pekerjaannya datang daripada keperluan mendidik masyarakat tentang pentingnya sejarah, budaya dan seni dalam masyarakat.



"Saya rasa pameran muzium memberi kita peluang luas meneroka laluan tersebut secara lebih kreatif," katanya.



Cik Syafiqah menganggap tugas kurasi sebagai kerja penyelidikan dalam bidang sejarah awam, manakala muzium sebagai ruang pengetahuan yang ada hubungan langsung dengan "kesedaran sejarah masyarakat".



Tugas kurator bagi Cik Noorashikin pula memberinya peluang menyumbang kepada pelestarian budaya dan sejarah Singapura.



"Harapan saya ialah hasil karya nenek moyang kita tidak akan luput daripada ingatan ramai. Saya percaya jika kita dapat lebih memahami sejarah dan kekayaan budaya yang wujud, kita akan menjadi manusia yang budiman," katanya.




SIAPA KURATOR MUZIUM



Menurut Pengarah Kumpulan Muzium NHB Kennie Ting, kurator muzium, antara lain, melakukan tugas berikut:



  • Penjaga koleksi

Pastikan koleksi dijaga dan dipamer secara selamat



  • Penyelidik

Analisis objek bagi fahami signifikannya dalam sejarah, budaya, seni dan masyarakat. Hasil kajian diterbit di jurnal dan dibentang di pameran



  • Karyawan kreatif

Mahir pilih objek sesuai bagi ketengah kisah menarik



  • Pengurus perhubungan

Kekalkan hubungan kukuh dengan pengumpul seni, artifak




ARTIFAK PILIHAN KURATOR



"Manuskrip (Dala'il al-Khayrat atau Bimbingan Kebaikan) yang disalin dengan tangan, dihasilkan di Terengganu sekitar abad ke-19 dan mengutarakan peredaran teks. Ia menunjukkan kemahiran seniman iluminasi alam Melayu. Seni iluminasi Terengganu yang terpapar padanya, terutama lukisan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, adalah antara iluminasi teramat indah, bermutu tinggi dan paling halus dari rantau ini, setaraf iluminasi dari Turkey atau Iran, yang sering dianggap sebagai teraju seni Islam. Memandangkan semua iluminasinya dihasilkan dengan tangan, saya sangat kagum akan kepandaian seniman iluminasi rantau kita."
- Cik Noorashikin Zulkifli, Kurator Kanan, Seni Islam, Muzium Tamadun Asia (ACM) dan Muzium Peranakan.



"Item amat kecil - lencana milik Kesatuan Majikan Keriting Rambut Singapura kini di Galeri Sejarah Singapura. Pertama, kerana sejarah kesatuan dagang bukan utama sering dilupakan hari ini. Dan kedua ia industri bukan konvensional, dan dalam hal ini agak pelik bagi kebanyakan kita hari ini bahawa perkara seperti majikan keriting rambut mempunyai kesatuan untuk mengetengahkan hak pekerja mereka."
- Cik Nur Syafiqah Ahmad Jaa'far, Penolong Kurator Muzium Negara Singapura (NMS).



"Hingga hari ini pameran kegemaran saya ialah 'Mereka Utusan: Imprinting Malay Modernity 1920s to 1960s'. Pameran itu mengetengahkan majalah Jawi dalam cara yang belum pernah saya alami sebelum ini. Daripada penjenamaan hingga visual estetik, semuanya menarik. Ia dipersembahkan secara amat kreatif, dengan majalah dan artifak seperti mesin cetak yang jarang ditemui dipamerkan. Ini diatur seiring kerja seni digital. Kemodenan bertemu sejarah; satu adunan amat sempurna tentang bagaimana sejarah boleh dan seharusnya diajar."

- Encik Muhammad Zinnurain Mohd Nasir, Penolong Kurator, Taman Warisan Melayu (TWM).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >