Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:31
Maghrib
7:15
Isyak
8:27

Pasangan lapor ke Tribunal Tuntutan Kecil untuk dapatkan kembali deposit

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Pasangan lapor ke Tribunal Tuntutan Kecil untuk dapatkan kembali deposit

Jan 19, 2022 | 05:30 AM

SABAN hari Cik Hannie Dewi Airini Samidi dan Encik Muhammad Nazri Idris membincangkan tentang wang yang telah mereka susah payah kumpul untuk majlis persandingan, namun masih belum dipulangkan penyedia walimah selepas majlis mereka terjejas dek langkah Covid-19.

Pasangan itu yang bersanding pada Disember 2020, masih menunggu pengembalian wang melebihi $4,000 oleh Charisma Bridal and Catering Services.

Ini selepas syarikat itu, dipercayai tidak lagi menghubungi mereka selepas ia mengembalikan $2,000.

Menurut Cik Hannie, mereka yang telah mengadakan persandingan mereka di Hotel Park Avenue di Changi membuat tempahan pada Ogos 2019 untuk majlis 1,000 tetamu yang pada ketika itu berharga sekitar $30,000.

Pasangan itu telah membayar sejumlah $19,360 antara Ogos 2019 dengan 3 Julai 2020.

Namun apabila Covid-19 memaksa mereka mengurangkan bilangan tetamu kepada 100 orang, bil mereka diubah kepada $12,250.

Cik Hannie, 30 tahun, kemudian meminta deposit mereka - lebih $6,000 - agar dikembalikan sebulan sebelum majlis persandingannya. Syarikat itu telah mengembalikan $1,000 pada Mac 2021 dan lagi $1,000 sebulan kemudian.

"Kami diberitahu pada Mei (tahun lalu) syarikat itu menghadapi cabaran membayar balik wang kami, jadi kami pun bertanyalah, bila pula kami akan dapatnya kembali? Takkan mereka nak biarkan kami begini sahaja?" kata Cik Hannie kepada Berita Harian (BH) ketika dihubungi baru-baru ini.

Selepas menghantar beberapa e-mel, termasuk membuat beberapa panggilan yang tidak dijawab, Cik Hannie, pegawai polis tambahan dan suaminya, pekerja dalam bahagian marin, memutuskan untuk memfailkan tuntutan di laman Tribunal Tuntutan Kecil (SCT) pada Oktober lalu.

"Selepas semua prosiding, ia disetujui bahawa baki wang berjumlah $4,525 perlu dikembalikan dan ia akan dikembalikan menerusi ansurans mulai Januari ini, tapi sehingga sekarang tiada apa-apa pun yang mereka beritahu kepada kami," kata Cik Hannie lagi.

Selain memfailkan tuntutan itu, beliau telah melaporkan kes itu kepada polis. Polis telah mengesahkan laporannya kepada BH.

"Sebenarnya kami faham keadaan mereka dan saya pasti banyak syarikat lain yang menghadapi keadaan yang sama, tapi sekurang-kurangnya beritahulah kami atau berkomunikasi dengan kami," tambah Cik Hannie.

Pengalaman serupa turut dilalui Encik Muhammad Safiq dan Cik Noor Azura, kedua-dua berusia 26 tahun. Mereka membuat tempahan mengadakan majlis mereka pada 7 Jun 2020 di kelab masyarakat bagi 1,000 orang berharga sekitar $15,000.

Setelah membayar $13,825 pada Februari 2020 mereka menukar rancangan untuk mengadakan majlis di MHotel pada Jun tahun lalu yang berharga $12,000 untuk 100 orang memandangkan keadaan Covid-19 masih belum pulih lagi. Surat persetujuan bagi pengembalian wang berjumlah $1,825 telah disediakan oleh Charisma pada 20 Februari 2021 dan ditandatangani pasangan itu bersama dengan Cik Salwah Baharudin, pengarah syarikat berkenaan.

Ia menyatakan, wang berjumlah $500 akan dikembalikan setiap bulan mulai 30 Mac 2021, namun mereka hanya menerima $500 pada 5 April.

Menyusuli itu, Persatuan Pengguna Singapura (Case) menasihati bakal mempelai yang ingin membuat tempahan majlis pernikahan agar meneliti reviu serta reputasi dan sejarah syarikat itu.

Persatuan itu telah menerima lima aduan berkaitan Charisma atas sebab syarat pengembalian wang yang tidak dipenuhi antara Mac 2020 dengan Disember tahun lalu.

"Harap prihatin terhadap risiko kehilangan wang pendahuluan anda sekiranya syarikat (yang dipilih) itu tutup dengan serta-merta," kata Case.

Ia juga menasihatkan agar pasangan cuba memohon membuat deposit yang lebih kecil, dan tidak membayar sepenuhnya terdahulu. Pasangan dinasihati agar membaca semua syarat dengan teliti untuk memastikan adanya syarat bagi mengembalikan wang sekiranya syarikat itu gagal menyampaikan perkhidmatan seperti yang dijanjikan dan minta penjelasan bagaimana wang mereka akan dikembalikan apabila majlis mereka terjejas gangguan Covid-19.

Pasangan boleh membeli insurans walimah sebagai pelindung tambahan dan jika tidak dapat mencari huraian dalam pertikaian kontrak mereka dengan syarikat penganjur walimah, boleh menghubungi Case untuk meminta bantuan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3