Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Pesalah catat keputusan cemerlang di balik jeriji besi

Jan 22, 2022 | 05:30 AM



Hampir semua tahanan yang menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' tahun lalu - iaitu 56 daripada 58 pelajar di penjara - layak melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat posmenengah. Ini merupakan tahun kedua, Sekolah Penjara beroperasi di bawah langkah pengurusan selamat Covid-19 dengan hampir separuh kelas sepanjang tahun lalu diadakan secara maya. BERITA HARIAN menemui seorang pelajar dalam tahanan serta seorang guru yang baru menukar tempat kerja daripada mengajar di sekolah pemerintah ke sekolah penjara tahun lalu, untuk mengetahui keputusan mereka serta cabaran yang mereka lalui di penjara.



LEBIH sedekad lalu, Richard (bukan nama sebenar) gagal hampir semua subjeknya kecuali Bahasa Inggeris apabila menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' pada 2009.



Selepas tercicir dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Richard terjerumus ke dalam kancah dadah semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS).



Dia dipenjara dua kali sejak 2014 dan kini sedang menjalani hukuman ketiga atas kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.



Semasa menjalani hukuman, Richard memutuskan untuk belajar lagi, dan telah menduduki GCE peringkat 'O' tahun lalu di Institusi Tanah Merah 1 (TM1).



Apabila menerima keputusan peperiksaannya minggu lalu, Richard terkejut.



Meskipun dengan hanya menggunakan kotak plastik jenama Toyogo - yang diberi kepada setiap banduan untuk menyimpan barangan peribadi mereka - ia menjadi meja belajar untuk Richard.



Di situlah pemuda berusia 30 tahun itu mengulangkaji pelajarannya di dalam sel sehingga berjaya mencapai keputusan yang melangkaui jangkaannya.



Pesalah itu meraih markah A1 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Prinsip Perakaunan (POA), B3 bagi Bahasa Inggeris dan C6 bagi lagi dua subjek, meskipun perlu melalui kelas-kelas hibrid secara fizikal dan menerusi alam maya.



Bukan itu sahaja, Richard kini malah berjaya mendapat tempat dalam jurusan Teknologi Maklumat di sebuah politeknik selepas berikrar untuk tidak kembali kepada tabiat yang telah memusnahkan zaman remajanya.



"Sudah tiba masanya untuk saya berubah. Saya lihat dalam (penjara) masih ada lagi orang yang sudah tua tapi keluar masuk penjara dan saya tidak ingin itu jadi kepada saya," kata Richard ketika diwawancara media baru-baru di perpustakaan Institusi TM1.



Richard mendapat inspirasi untuk belajar lagi apabila terbaca laporan dalam akhbar tentang individu yang melanjutkan pelajaran mereka pada usia yang agak lanjut.



"Ada yang ambil diploma dan ada yang juga ambil peperiksaan peringkat 'O'. Jadi saya kira, bolehlah saya pun cuba," tambah anak bongsu dalam keluarga dua beradik itu.



Namun laluan untuk belajar sekali lagi selepas lebih sedekad tidak berbuat demikian bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Apatah lagi semasa pandemik.



Hampir separuh sesi persekolahan sepanjang tahun lalu diadakan secara virtual.



"Bagi kita yang sudah lama tak belajar, mestilah susah. Saya pun keliru. Macam mana nak sumbat semua pelajaran dalam setahun dengan guru-guru kami hanya dapat datang ke kelas secara terhad?



"Dalam kelas virtual, tak selalu kami dapat kemukakan pertanyaan kepada cikgu sebab kami harus bercakap dalam mikrofon, jadi apa yang perlu saya tanya, saya tunggu sampai cikgu datang.



"Sudah tentunya ia lebih mudah sekiranya kami dapat belajar secara hands-on dengan guru-guru," jelas Richard.



Namun dengan bantuan daripada teman banduan lain serta Pegawai Pemulihan (RO), pelajar dalam penjara seperti Richard, dapat menyesuaikan dirinya dengan langkah pengurusan Covid-19 itu.



Menurut seorang RO di Institusi TM1, RO Mohammad Faizal Noh, 39 tahun, antara tugas yang para pegawai seperti beliau perlu lakukan semasa guru tiada di sekolah adalah untuk mengagihkan kertas latihan kepada tahanan di dalam penjara selain menyediakan sebuah bilik darjah virtual (VC).



"Kini kami juga ditugaskan untuk menambah baik lagi kemudahan VC itu," kata RO Faizal.



Richard menambah dia mengulangkaji pelajarannya selama sekitar sejam selepas sekolah bersama teman-teman di dalam sel dengan hanya menggunakan kotak plastik berjenama Toyogo itu.



"Sesuatu yang di luar jangkaan saya apabila ditempatkan di TM1 adalah suasananya yang positif dan semua pelajar saling menyokong dan tiada sesiapa yang memandang rendah terhadap satu sama lain. Itu mendorong saya untuk belajar," tambahnya.



Kini, dia berhasrat menceburi bidang IT seperti keselamatan siber, kejuruteraan komputeran dan forensik digital serta menyumbang kepada keluarga.



Richard berikrar tidak mahu kembali ke tabiat buruknya serta rangkaian teman-temannya yang mempengaruhinya mengambil dadah dahulu.



"Keputusan saya menyambung semula pelajaran juga adalah untuk mempertingkat diri saya.



"Selepas pengalaman saya di TM1 ini, saya kira ia lebih baik jika saya bergaul dengan teman-teman yang memberi manfaat kepada diri saya supaya saya tidak kembali ke putaran sebelum ini," kata Richard lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >