Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:31
Maghrib
7:15
Isyak
8:27

Taman Tasik Jurong lokasi riadah, tempat kumpul dana

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Taman Tasik Jurong lokasi riadah, tempat kumpul dana

Anak bongsu pasangan meninggal dunia akibat barah; keluarga tetap matlamat kumpul $7,000 bagi Yayasan Barah Kanak-kanak
Jan 21, 2022 | 05:30 AM

SEBELUM disahkan menghidap sejenis barah otak Januari tahun lalu, Taman Tasik Jurong merupakan tempat Allahyarham Mohamad Aryan Haqim Mohamad Nazri, bermain dengan tiga lagi adik-beradiknya.

Apabila dia jatuh sakit, taman itu menjadi tempat seisi keluarganya beriadah seiring harapan dia akan pulih semula.

Namun, anak bongsu berusia enam tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada 12 Novermber lalu di lengan ibunya.

Dia meninggal dunia 11 bulan selepas disahkan menghidapi Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG) - sejenis tumbuhan di otak yang jarang berlaku.

Meskipun masih berasa pilu, ibu si kecil itu, Cik Nur Haslindah Hassan, 44 tahun, berserta anggota keluarganya mendapat ilham menganjurkan acara Berjalan Bersama Aryan di taman tersebut pada 29 Januari - sempena hari lahir ketujuh arwah Aryan - bagi mengumpul dana bagi pertubuhan yang membantu mangsa dan keluarga pesakit barah.

Keluarga itu menetapkan matlamat mengumpul sekurang-kurangnya $7,000 bagi Yayasan Barah Kanak-kanak (CCF), selain merancang mengumpul dana bagi pertubuhan lain seperti Persatuan Ain pada masa depan.

Acara berjalan keliling tasik itu yang akan dihadiri keluarga terdekat turut diadakan bagi mengenang sifat arwah yang pemurah dan saling membantu orang lain.

"Anak saya memang wataknya sangat pemurah. Tahun lalu apabila orang datang beri dia duit sebab dia sakit, dia akan tetap beri kepada adik-beradiknya atau keluarga terdekat untuk menganjurkan sesuatu yang istimewa demi kebahagiaan orang lain, termasuk saya," kata Cik Haslindah, ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Aryan didiagnos menghidapi DIPG pada Januari 2021 dan menerima pelbagai rawatan di sini. Namun keadaannya kian memburuk.

Ketabahan keluarganya dalam mencari huraian bagi memanjangkan hayatnya mendorong Persatuan Ain menubuhkan Dana Menggapai Pelangi yang menaja sehingga $30,000 bagi kos tertentu kepada pesakit yang perlu mendapatkan rawatan khusus di luar negara.

Ayah Aryan, Encik Mohamad Nazri Abu Bakar, pemandu bebas, berserta Cik Haslindah telah ke Rochester, New York bagi membolehkan anak itu menjalani pemeriksaan dan mendapatkan ubat ONC201 di Hospital Kanak-Kanak Golisano antara 6 dengan 14 Oktober lalu.

Ubat itu - sejenis ubat yang masih diuji keberkesanannya - hanya diberi sesudah pulang ke Singapura kerana prihatin terhadap kesan sampingannya seperti cirit-birit.

Namun, menurut Cik Haslindah, yang bekerja dalam bidang logistik, Aryan agak lemah sejurus mendarat di Singapura.

"Sejak pulang, mata Aryan terus tak dibuka dan hanya apabila dia inginkan sesuatu, dia akan mengangguk atau beri isyarat."

Cik Haslindah mula memberikan ubat di rumah, namun tiada perubahan ketara.

"Pada Jumaat (12 November) itu, sejurus selepas saya mendirikan solat subuh dan kemudian keluar dari bilik, suami saya suruh pulang ke dalam kerana ada sesuatu yang tak kena pada Aryan.

"Dia kelihatan sangat lemah, lebih lemah daripada keadaannya sebelum itu dan nadinya amat lemah," ujar Cik Haslindah, dengan air matanya mula mengalir di pipi.

Arwah dikebumikan di Pusara Abadi dalam beberapa jam kemudian sebelum zuhur.

Cik Haslindah berkata, beliau bertekad berkongsi ceritanya kepada keluarga yang mempunyai anak yang menghidap barah.

"Aryan memang sudah di peringkat akhir sebelum kami pergi ke New York. Tapi kami tidak menyesal, semua bergantung kepada kami - bagaimana kami ingin berjuang untuk anak dan memberinya peluang untuk hidup sepuas-puasnya sebelum pergi," ujarnya.


KUMPUL DANA BERJALAN BERSAMA ARYAN

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3