Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:31
Maghrib
7:15
Isyak
8:27

Dua srikandi rentasi 10,000km beraksi di Eropah

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

TINJU

Dua srikandi rentasi 10,000km beraksi di Eropah

Jun 19, 2022 | 05:30 AM

MENDAMBAKAN peluang pertandingan, dua srikandi tinju Singapura, Rafhana Rosli dan Sabrina Faizal, sanggup merentasi hampir 10,000 kilometer untuk beraksi dalam gelanggang-gelanggang di Eropah.

Sabrina, 23 tahun, sudah bertapak di Oxford, United Kingdom, sejak lewat tahun lepas bagi mengembangkan sayapnya sekali gus mengukir kerjaya sebagai petinju profesional.

Beliau disertai Rafhana, 32 tahun, sekitar dua bulan lalu.

Rafhana pula berkunjung ke Eropah berbekalkan misi untuk merebut peluang bersaing setelah hampir dua tahun kejohanan tinju setempat serta antarabangsa disekat pandemik Covid-19.

"Di Singapura, kami jarang ada peluang untuk bersaing. Jumlah pertandingan amat sedikit dan kami kurang aktif berbanding petinju profesional di Eropah - sesuatu yang tidak sihat.

"Anda akan ingin kerap bertinju apabila berada dalam peringkat amatur.

"Di Eropah, ada pertandingan setiap dua minggu untuk anda masuk gelanggang," kata Sabrina dalam satu wawancara secara maya dari UK bersama Berita Minggu.

Mereka kini berlatih di bawah Kelab Tinju Bicester di England dan sejauh ini telah membelanjakan sejumlah $25,000.

Kos perbelanjaan Sabrina sebahagiannya dibiayai dana yang berjaya dikumpul, manakala Rafhana mengeluarkan wang simpanannya sendiri.

Rafhana, pemilik bersama gimnasium tinju di Singapura, Ares Fight Club, juga perlu mengambil cuti daripada tugasnya sebagai jurulatih untuk fokus pada siri kejohanan ini.

Pengorbanan itu berbaloi bagi kedua-dua petinju nasional itu apabila mereka berjaya mengharumkan nama negara di gelanggang antarabangsa.

Pada hujung Mei lalu, Rafhana muncul juara dalam kelas 52 kilogram (kg) wanita di Kejohanan Golden Girl di Boras, Sweden. Kejohanan itu, yang menampilkan lebih 382 petinju dari 30 negara, adalah pertandingan tinju wanita terbesar dunia.

Sabrina juga tidak kurang hebatnya - menggondol gangsa bagi acara bawah 60kg wanita dalam Piala Tinju Eindhoven minggu lalu. Piala itu adalah acara tinju terbesar di Belanda.

"Ia detik yang lama dinanti-nantikan sebab kami sudah lama berada dalam sukan ini dan belum pernah menang kejohanan besar antarabangsa

"Jadi, apabila kami ke Eropah dan berjaya membawa pulang pingat, ia rasa seperti usaha kami selama bertahun-tahun ini membuahkan hasil," kata Rafhana, yang sudah sedekad menceburi sukan tinju.

Sabrina, yang mula bertinju pada 2014, menambah bahawa kejayaan mereka juga memberi peluang untuk bendera Singapura diperkenalkan dalam kejohanan tinju Eropah.

"Saya rasa ramai orang di kejohanan rasa keliru tentang asal usul kami," seloroh beliau.

Selain membawa pulang pingat, duo itu turut menimba pengalaman berharga bertanding bersama petinju dari negara lain.

"Di Singapura, saya sering menjadi petinju yang menekan petinju lain. Tetapi, di sini, saya yang ditekan oleh petinju lain.

"Jadi, apabila anda bertinju dengan petinju di tahap sebegini, anda akan dapat mempertingkatkan kemahiran anda dan meraih lebih banyak ilmu," jelas Rafhana.

Bagi Sabrina pula, cuaca sejuk di Eropah memerlukan beliau membuat beberapa penyesuaian.

"Mengurangkan berat badan sebelum pertandingan menjadi perkara sukar di sini. Susah untuk mengeluarkan peluh, jadi kami harus sering ke sauna.

"Di Singapura, anda boleh saja berpeluh dengan berjalan kaki atau berlari anak," ujarnya.

Rafhana seterusnya akan bersaing dalam Piala Tinju Haringey di London hujung minggu ini, sebelum mereka berdua ke Hull untuk beraksi dalam gelanggang Piala Tinju Hull pada awal Julai ini.

Dengan kemajuan yang dipaparkan di pentas tinju antarabangsa, Rafhana dan Sabrina menyimpan hasrat untuk membuat penampilan sulung mereka dalam Sukan SEA tahun depan di Kemboja dan sasar membawa pulang emas tinju wanita pertama negara.

"Ia kelihatan seperti kami (petinju wanita) lebih mendahagakan emas berbanding petinju lelaki," kata Rafhana, juara dalam Kejohanan Wanita Persatuan Tinju Amatur Singapura (SABA) 2017 dan Kejohanan Rookie Fight Jakarta 2017.

Sabrina, juara Kejohanan Wanita SABA 2019 dan Piala Tinju Esker 2019 di Ireland, pula menambah: "Jika Singapura ingin menang emas dalam Sukan SEA, inilah masanya."

Dalam edisi Sukan SEA Hanoi bulan lalu, tiada petinju wanita mewakili Singapura.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3