Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

Guardiola: Haaland dilahirkan untuk jaring gol; Man U mengecewakan

Aug 09, 2022 | 05:30 AM



LONDON: Erling Haaland membuka tirai gol peribadi bagi kelab barunya Manchester City, sekali gus membuktikan keupayaan beliau mengancam benteng lawan semasa juara bertahan Liga Perdana England (EPL) itu menewaskan West Ham United 2-0 di padang lawan.



Haaland, 22 tahun, menjaringkan kededua gol - yang pertama menerusi penalti - dalam perlawanan yang menunjukkan kekuatan City dengan ketara.



Meskipun beraksi di hadapan penyokong sendiri, West Ham gagal memberikan sebarang tentangan sepanjang perlawanan yang dikuasai City.



Bercakap mengenai penyerang mudanya itu, pengurus City, Pep Guardiola, berkata:



"Beliau mempunyai bakat yang begitu istimewa tapi kami akan cuba membuka peluang bagi beliau memperkukuh cara permainannya di sini... dan memberi sumbangan dari segi lain kepada pasukan.



"Tapi memang beliau di sini untuk menjaringkan gol. Beliau dilahirkan untuk menjaringkan gol."



Guardiola, namun, mengeluarkan 'anak emas' terbarunya itu sebelum Haaland berjaya melengkapkan jaringan hatrik, tetapi kededua pemain dan pengurus berkata perkara itu tidak menjadi masalah.



Sebaliknya, Guardiola memberi kenyataan sinis kepada wartawan yang mencadangkan Haaland mungkin boleh disifatkan sebagai antara penjaring gol terbaik dalam sejarah EPL jika beliau meneruskan prestasinya itu.



"Minggu lalu, anda semua kata beliau akan gagal dalam EPL, tidak layak beraksi dalam EPL... tapi kini, beliau antara yang terbaik pula... seperti Thierry Henry, Alan Shearer dan Cristiano Ronaldo."



Minggu lalu, Haaland terlepas menjaringkan gol dengan gawang terbuka semasa Liverpool menewaskan City dalam perlawanan Perisai Masyarakat di Stadium King Power.



Namun, Haaland enggan berada di awangan selepas pertunjukan yang hebat dalam perlawanan itu.



"Ia memang perlawanan yang baik," kata beliau.



"Tapi perlawanan itu kini sudah berlalu... kami telah mendapatkan tiga mata. Saya mahu melihat ke hadapan... terus berusaha gigih untuk menjaringkan gol lagi dalam perlawanan lain" kata Haaland.



Permainan Haaland yang hebat itu juga mendapat perhatian daripada pengurus lawan.



Pengurus West Ham, David Moyes, berkata beliau kagum selepas melihat persembahan Haaland menentang pasukannya kerana sebelum ini hanya melihat beliau dari jarak jauh.



"Beliau berpotensi dan boleh menjadi pemain yang cemerlang," kata beliau.



Dalam pada itu, sementara separuh biru Manchester memulakan musim baru dengan langkah kanan, separuh merah pula menanggung kecewa.



Penyokong setia Manchester United perlu menantikan perlawanan kedua untuk meraih tiga mata selepas pasukan bergelar The Red Devils itu tewas 1-2 di Brighton, yang bermakna era baru di bawah pengurus baru Erik ten Hag bermula dengan kekecewaan.



United ketinggalan dua gol bagi sebahagian besar perlawanan, sehinggalah Alexis MacAllister menjaringkan gol sendiri pada minit ke-68.



Tiga kelab London yang dijangka bersaing bagi tempat di Liga Juara-Juara Eropah musim ini juga mengecapi kemenangan dalam perlawanan masing-masing.



Tottenham Hotspur bangkit selepas ketinggalan untuk menewaskan Southampton 4-1 di depan penyokong sendiri, sementara Chelsea menewaskan Everton 1-0 di Goodison Park.



Arsenal pula menewaskan Crystal Palace 0-2 di Selhust Park dalam perlawanan pembuka tirai musim.



Liverpool, yang dijangka menjadi pesaing utama City bagi meraih kejuaraan, tercicir dua mata selepas disekat 2-2 oleh juara Liga Championship musim lalu, Fulham, di Craven Cottage. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >