Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

BAHASA & BUDAYA: ULASAN BUKU

Bukan untuk pelajar saja, bahkan jadi panduan untuk ibu bapa

Apr 12, 2021 | 05:30 AM



ALAM remaja memang mencabar, apatah lagi bagi mereka yang sedang menuntut di institusi pendidikan dengan misi penting untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.



Justeru, mereka amat memerlukan pelbagai sokongan termasuk panduan dan motivasi diri.



Buku Nota Hati Buat Pelajar: Motivasi dan Petua Belajar setebal 318 halaman yang dibahagikan kepada empat bab ini dapat memenuhi keperluan itu.



Ia padat dengan pelbagai kisah yang mengajar dan mengajak pembaca berfikir bersama penulisnya, seorang guru dan ayah, untuk memahami cabaran seorang pelajar.



Bab 1, Bicara Hati, menyingkap makna falsafah 'bermula dengan pengakhiran dalam minda' yang dibincangkan oleh Steven Covey dalam bukunya The 7 Habits of Highly Effective People.



Setiap pelajar mesti menetapkan matlamat akhir kehidupan mereka tatkala memulakan apa pun usaha.



Pelbagai analogi dikongsi sama agar pelajar jelas memahami matlamat hidup mereka.



Ini dapat membantu mereka bersedia menghadapi cabaran hari muka.



Terdapat enam halangan kejayaan dibincangkan.



Keperibadian pelajar sendiri merupakan halangan paling utama.



Contohnya, memiliki sifat negatif seperti malas, mudah berputus asa dan tiada keyakinan diri.



Masalah keluarga merupakan hambatan besar juga seperti berlakunya penceraian antara ibu bapa.



Namun, halangan sebegini boleh dijadikan dorongan untuk pelajar berusaha dengan lebih gigih lagi.



Halangan lain termasuk pergaulan yang mendatangkan pengaruh negatif, hubungan percintaan semasa bersekolah dan pembaziran masa dengan hiburan.



Penulis kemudiannya berkongsi kaedah mengatasi semua halangan ini.



Dalam Bab 2, Petua Mudah Untuk Pelajar, penulis berkongsi 21 panduan untuk pelajar berjaya dengan persiapan rapi.



Senarai ini adalah berdasarkan amalan berkesan yang dikongsi penulis dengan para pelajarnya.



Antaranya, memberi tumpuan 100 peratus di bilik darjah, menggunakan peta minda, menyediakan jadual belajar, menyusun nota, membuat nota ringkas, memilih waktu belajar yang sesuai serta belajar secara berkumpulan.



Bab 3, Kesilapan Pelajar, mengupas sembilan kesilapan yang dilakukan pelajar semasa di sekolah dan 10 ketika di rumah.



Bersikap tidak fokus sewaktu guru sedang mengajar adalah akar penyebab pelbagai kesilapan dilakukan oleh ramai pelajar hingga terbawa-bawa ke rumah apabila latihan yang diberi guru tidak dapat disiapkan dek kurang faham tentang pelajaran yang diajar.



Akhirnya, minat belajar akan terjejas dan masa dihabiskan dengan melakukan aktiviti lain yang merugikan.



Bab 4, Ciri-ciri Pelajar Cemerlang, mengetengahkan senarai 26 ciri pelajar yang benar-benar cemerlang mengikut urutan abjad dari A hingga Z.



Bermula dengan pelajar yang mempunyai akhlak, berilmu serta cergas dan cerdas, mempunya ciri kreatif, tenang, versatil (serba boleh) hinggalah yang mempunyai faktor-X, yakin dan akhirnya yang mengamalkan zikrullah.



Walaupun buku ini ditulis untuk pelajar, ia juga sesuai dijadikan bahan rujukan ibu bapa dan golongan pendidik yang ingin membantu anak-anak serta pelajar mereka cemerlang dalam pelajaran dan memiliki peribadi insan berjaya.



  • Penulis Pustakawan Kanan, NLB.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >