Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Cinta Mereka Kembali Bercambah

Apr 03, 2022 | 05:30 AM



SUASANA di terminal bas waktu itu sudah kurang sibuk berbanding sejam yang lalu. Murid-murid sekolah sudah tidak lagi kelihatan. Demikian juga ibu-ibu yang mahu ke pasar. Zah dan Zul beratur di lorong menunggu bagi penumpang dalam perjalanan yang sama. Di dinding, papan jadual perjalanan bas menunjukkan bas yang mereka tunggu akan datang enam minit lagi. Kededuanya meneruskan perbualan.



"Aku benar-benar bahagia menemuimu hari ini, Zah. Rasanya seperti bertemu sebongkah emas."



"Engkau menilaiku cuma sebagai sebongkah emas?"



"Bukan. Bahkan lebih daripada itu: sebagai berlian, bulan bintang, lautan dan daratan...."



"Begitu bijak bicara lelaki apabila berdepan perempuan. Engkau sama saja, tiada bezanya."



"Sungguh Zah. Yang kulafazkan ini keluar dari lubuk hatiku yang suci. Bagiku, ini sungguh satu pertemuan yang manis, tidak disangka boleh berlaku tetapi kerana telah terjadi aku sungguh mensyukurinya. Sungguh aku tidak akan menolaknya."



"Jangan keterlaluan. Orang semakin ramai di sekeliling. Nanti apa kata mereka. Difikir mereka ada orang gila bermain drama."



"Aku bersedia dibilang gila. Demimu, perempuan yang kucinta, aku bersedia mengabdi diri."



"Kata Khalifah Ali, mengabdi diri biar hanya kepada Allah."



"Aku bukan Ali. Ali seorang khalifah, seorang raja. Aku cuma orang biasa, hamba yang lemah. Tetapi aku melafaz sebuah kebenaran atas nama cinta."



"Ingatan Amirul Mukminin itu memerintahkan pengabdian dibuat kerana kebenaran bukan kerana pendewaan kepada seseorang, hatta atas nama cinta hebat sekalipun."



"Engkau bukan saja cantik, Zah, bahkan bijak. Tutur katamu lunak, jernih, bernas. Itu yang mengikat hatiku kepadamu sejak mula lagi, walaupun hakikatnya kita sudah lama terpisah."



Bas yang ditunggu tiba. Pintu automatik dari dewan menunggu untuk penumpang naik bas sudah terbuka.



"Engkau pasti akan bersamaku? Tidak akan mengganggu urusan pertemuan dengan sahabatmu seperti yang sudah dijanjikan itu nanti?"



"Aku akan bersamamu selagi engkau tidak berasa diganggu. Urusan pertemuanku juga dapat diurus. Insya-Allah dapat berjalan seperti jadualnya."



Mereka cepat naik bas, bergerak ke dalam memilih duduk di bahagian belakang. Bas tidak begitu dipenuhi penumpang.



"Sungguh ajaib."



"Apa yang ajaib?"



"Aku benar-benar berasa bermimpi."



"Sepanjang yang kuketahui mengenai dirimu, engkau memang banyak bermimpi."



"Mimpi kali ini ajaib. Engkau perlu tahu rahsia yang kualami ketika masuk ke bangunan terminal bas ini tadi, lalu terserempak bertemu denganmu,"



"Apa dia?"



"Mataku terkelip-kelip banyak kali dan dadaku menjadi berdebar-debar."



"Maksudnya?"



"Teringat aku cakap orang-orang tua. Apabila tiba-tiba matamu berkelip-kelip, itu tandanya engkau akan bertemu seseorang yang jauh atau yang telah lama tidak kautemui."



"Debaran jantungmu pula?"



"Dan apabila dua orang yang bertemu berasa debaran di dada, itu tandanya mereka sedang bercinta."



"Dan engkau bertemu denganku setelah kita sekian lama tidak bersama."



"Benar."



"Mungkin juga itu cuma satu kebetulan."



"Mungkin juga. Tetapi, realiti yang berlaku membenarkannya."



"Tetapi, dadaku tidak pula berdebar-debar apabila bertemumu awal tadi."



"Jangan engkau membohongi dirimu, Zah. Aku sangat mengenalimu. Reaksi dari air mukamu, tutur katamu melayan teguranku dan aura yang kautampilkan ketika berdekatan denganku - semuanya tidak berubah seperti dulu. Engkau masih berasa sesuatu yang istimewa apabila berada denganku."



"Jadinya, engkau menerima pakai ramalan orang-orang tua begitu?"



"Ya!"



"Engkau percaya dengan penafsiran matamu yang berkelip-kelip dan dadamu yang berdebar-debar sebagai isyarat engkau akan bertemu dengan diriku yang sekian lama telah hilang dari pandangan mata kasarmu?"



"Pasti. Takdir Tuan, bukan cuma satu kebetulan."



Jeritan kecil Zul kesakitan dicubit Zah tenggelam oleh bunyi kesibukan beberapa penumpang bergegas keluar masuk bas yang berhenti di sebuah perhentian di laluan itu.



"Cubitanmu itu mengesahkan rumusanku bahawa hatimu masih terus terbuka untuk menerimaku."



"Engkau masih Zul yang sama seperti dulu. Kata-katamu lurus, terus terang, cukup memikat. Sukar untuk tidak menyukaimu."



"Alhamdulillah. Kita mulakan semula jalinan cinta lama."



"Tuan Zul: kita masih dalam bas. Masih belum selesai perjalanan ini. Kita perlu banyak menimbang. Terutama engkau sendiri, seorang yang dikenali ramai. Sedikit batukmu, sepelosok kampung orang tahu."



"Itu kan cuma perspektif."



"Dalam kehidupan sekarang, perspektif sering dipakai dalam membuat rumusan dan penilaian. Dianggap betul, walaupun faktanya tidak semestinya betul atau benar. Lihat saja pergolakan politik mutakhir, baik yang di rantau ini mahupun yang terbaru seperti konflik Rusia-Ukraine!"



Tidak sempat Zul menjawab. Mereka perlu turun di perhentian dekat dengan pasar yang menjadi tujuan Zah. Terserempak pula mereka dengan seorang wanita berpakaian kemas menunggu bas.



"Encik Zul. Macam mana boleh sampai ke sini."



"Ke pasar, menemaninya."



"Amboi, sudah berdua. Makan nasi minyak tak bilang orang."



"Biasa saja. Ini pun cuma nak cari buah."



"Wah! Sudah nak cari buah pulak. Alhamdulillah. Jangan yang masam-masam sangat."



Dan wanita itu cepat minta diri kerana bas yang ditunggunya tiba. Zul senyum hambar. Zah menyentuh lengan Zul.



"Sudah dibilang, seorang terkenal sepertimu, ada saja orang menyapa. Semua perempuan di sebelahnya dianggap isterinya."



"Alhamdulillah. Amin. Amin."



Zah membiarkan tangannya dipimpin Zul menyeberang jalan menuju bangunan pasar. Zah berbelanja Zul mengiringnya. Mereka akhirnya berhenti minum dan berehat di sebuah kafe.



"Engkau terima saja harga setiap barang yang ditawar penjual. Engkau tidak berasa tertipu?"



"Aku percaya harga barangan berpatutan. Lagipun, di pasar ini ramai penjual menawarkan banyak barang yang sama. Jadi, pembeli punya pilihan luas. Kesannya harga mantap."



"Kursus ekonomi 101."



"Lagipun aku bersimpati terutama dengan penjual kecil-kecilan. Dalam berdepan kegawatan ekonomi masih tak kelihatan mahu menipu. Lihat saja penjual limau tadi yang kehabisan koin untuk kembalikan tukaranku. Kubiarkan saja, tapi dia berkeras memintaku ambil sebiji tambahan sebagai ganti. Jelas dia enggan berhutang. Berapalah keuntungan mereka walhal dalam keadaan sekarang, khidmat mereka sebenarnya satu keperluan kritikal!"



"Engkau masih seperti dulu, Zah. Hatimu selalu bersama orang kecil."



"Aku masih orang kecil, tidak berupaya berbuat sesuatu yang besar. Yang dapat kulakukan hanya menunjukkan keprihatinan dan bersimpati kepada sebilangan kecil yang memerlukannya."



"Tetapi mengapa engkau lari dariku? Puas kuusahakan mencarimu, namun radarku gagal mengesan kehilanganmu."



"Engkau yang menghilang, terutama di saat-saat aku terkapai-kapai perlukan pertolongan. Engkau jauh di Jerman sedangkan aku dalam situasi rumit. Aku harus cepat bertindak. Situasi kalut itu mungkin membuat kita terputus hubungan."



"Aku dengar berita kematian ayahmu di KL. Aku sedang menyelesaikan peringkat akhir penilaian kursus. Tak boleh meninggalkannya. Aku cuba menghubungimu selepas itu. Semua kenalanmu di KL tidak tahu. Staf di tempatmu bertugas memberitahu engkau tidak lagi berkhidmat di situ, telah pulang ke Singapura bersama ibumu. Aku gagal menjejakmu."



"Kematian ayah memaksaku merubah peranan demi penakatan diri dan keluarga kecil kami."



"Tetapi mengapa engkau perlu bersembunyi diri kalau hanya untuk menemani ibumu yang sakit. Bersendirian menutup ruang mengembangkan minatmu menyumbang kepada masyarakat."



"Tapi aku masih terus menyumbang khidmat. Aku mengajar tuisyen sambil membantu firma lamaku dengan kerja-kerja terjemahan. Dalam memberi tuisyen, aku memilih pelajar dari kalangan yang aku fikir lebih cepat meresap ilmu dan ketrampilan yang aku punyai. Dengan fokus baru ini, aku dapat terus mengurus keperluan ibuku. Sakitnya bertambah terutama sejak kematian ayah. Dua adikku masih belajar. Seorang di Amerika dan seorang sedang di tahun akhir politeknik di sini."



Seorang lelaki berpakaian serembah-serembih mendekati Zul membisikkan sesuatu. Zul menyeluk sakunya, memberi lelaki itu wang. Dia segera beredar. Mereka naik bas kembali ke terminal tempat mereka datang.



"Mengapa masih ada orang begitu di tengah-tengah kemakmuran kita?"



"Engkau menyindir kegagalan usaha kita membanteras kehidupan pincang dalam masyarakat?"



"Bukan. Itu luahan rasa kecewa menyaksikan kehadiran para peminta dalam masyarakat. Sudah banyak dibuat usaha baru, dengan nama dan pengurusan baru, atas tujuan sama untuk meningkatkan martabat hidup. Namun orang-orang seperti lelaki itu masih ketara muncul di sana sini. Mengapa jaringan kita masih bocor?"



"Tapi itu pilihan mereka sendiri. Walaupun ada pilihan lebih baik, mereka enggan menyertainya, lebih memilih untuk meminta daripada berusaha."



"Itu yang kukesalkan. Di sana kita melihat orang gigih berniaga itu dan ini. Siapa mereka. Di sini kita melihat si peminta-peminta. Apa ertinya!"



"Aku mengongsi penelitianmu."



"Nampaknya kita kian hilang keyakinan diri, terus keliru mengenal pasti masalah, lalu salah melakar matlamat dan menentukan strategi. Kita lebih banyak menuding jari mencari silap siapa, lebih banyak mendesak untuk dikasihani. Kita jadi cengeng."



"Tetapi, usaha memberi bantuan memperbaiki kelemahan masih berterusan 'kan?"



"Bantuan untuk membolehkan sesuatu perjuangan diteruskan memang bermanfaat. Tetapi...."



"Engkau meragui usaha yang berjalan selama ini?"



"Aku kesal kerana tujuan bantuan itu kelihatannya kian memberi dampak negatif kepada kerja membangun kemajuan masyarakat."



"Sukar bagiku menyanggah kritikanmu."



"Terima kasih. Tanpa teliti dan berhati-hati, usaha memberi bantuan berkemungkinan membina dalam masyarakat satu tabiat yang melemahkan semangat dan motivasi untuk bekerja keras. Sepatutnya bantuan cuma usaha awalan merangsang tindakan selanjutnya menjadikan masyarakat lebih bersungguh-sungguh berusaha berdikari memajukan diri. Sayangnya ini tidak berlaku sepenuhnya seperti yang diharapkan. Masih hadir orang-orang seperti si peminta yang datang kepadamu tadi."



"Engkau memang perempuan bersemangat waja, Zah. Aku bersyukur menemuimu kembali. Memang ditakdirkan cinta kita kembali bercambah."



"Pilihan atau takdir?"



"Apa pun, aku percaya cinta kita akan terus subur. Harapanku engkau tidak mengecewakannya."



"Insya-Allah, akan kufikirkannya."




BIODATA PENULIS



Maarof Salleh pernah menjadi zamil kanan kajian di Institut Pengajian Asia Tenggara.

Beliau pernah mengajar subjek Bahasa Melayu, Sastera, Ekonomi dan Sejarah pada pelbagai peringkat, dan mengetuai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama sedekad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >