Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:10
Asar
4:27
Maghrib
7:14
Isyak
8:24

Firma terbitan sedia wadah kepada penulis S'pura, M'sia berkarya

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Bahasa & Budaya
34
0

Firma terbitan sedia wadah kepada penulis S'pura, M'sia berkarya

Syarikat kerjasama buka ruang kepada yang berminat terbitkan penulisan, bangun potensi
Mar 21, 2022 | 12:29 AM

MENERBITKAN sesebuah karya bukanlah sesenang yang disangka.

Hakikat ini diakui seorang penulis muda sepenuh masa, Cik Munirah Jaafar, atau lebih dikenali sebagai Nirrosette, 28 tahun, yang pernah berhempas-pulas mencari ruang penulisan di Singapura dan Malaysia.

Memahami kesukaran penulis Singapura bertapak, kini beliau membuka ruang kepada penulis yang berminat membukukan karya mereka di Malaysia ataupun di Singapura.

Beliau bersama seorang rakan kongsinya, Cik Saidatul Khadijah Mohd Farudz, atau nama penanya Lila Vee, yang merupakan penulis novel remaja dari Malaysia, telah mewujudkan peluang ini menerusi syarikat penerbitan mereka, Manés Wordworks (MW).

Cik Munirah berkata Manés Wordworks merupakan syarikat penerbitan hasil gabungan dua penulis dari dua negara - Singapura dan Malaysia.

Misi mereka ialah menyediakan wadah kepada penulis untuk berkarya dan membangunkan potensi diri, karya demi karya.

Manés (disebut manis) merupakan nama yang diilhamkan oleh Cik Saidatul.

Manés dipilih kerana mereka menginginkan pembaca yang membaca karya terbitan MW berasa gembira dan puas apabila menamatkan pembacaan.

Wordworks pula dipilih kerana ia melambangkan syarikat penerbitan yang bekerja dengan kata-kata.

"Sebagai penulis Singapura yang 'terpaksa' mencari penerbit di Malaysia untuk bertapak, saya faham kelompongan itu.

"Berbekalkan lebih sedekad pengalaman dalam bidang penerbitan dan penulisan, saya ingin memberi ruang dan peluang kepada penulis muda, terutama di Singapura untuk menerbitkan karya mereka di Manés Wordworks.

"Penulis hanya perlu serahkan manuskrip dan kami akan melengkapkan kerja selebihnya seperti penyuntingan, percetakan dan sebagainya, yang diperlukan untuk menerbitkan sebuah buku.

"Di samping itu, penulis langsung tidak perlu mengeluarkan apa-apa kos kerana semuanya ditanggung oleh Manés Wordworks."

Bersedia mencipta momentum syarikat, Manés Wordworks sudah pun melabur bagi produk pertamanya untuk diketengahkan kepada umum.

Jelas Cik Munirah, Manés Wordworks baru sahaja melancarkan dua novel keluarannya yang pertama.

Novel tersebut adalah hasil karya pemilik Manés Wordworks sendiri iaitu Buah Hati Nafeesa karya Nirrosette dan Cintauntuk Sekali Lagi karya Lila Vee.

"Dengan menerbitkan karya kami sendiri sebagai keluaran pertama Manés Wordworks, kami dapat tunjukkan kepada khalayak pembaca contoh karya dan keistimewaan yang dibawakan oleh syarikat penerbitan kami.

Novel sedia ada Manés Wordworks boleh didapatkan menerusi Instagram dan laman Facebook Manés Wordworks.

Ditanya tentang kerjasama tersebut, Cik Munirah dilihat lebih selesa memilih penulis Malaysia dalam projek kali ini memandangkan mereka berdua sudah saling mengenali satu sama lain.

Cik Munirah menjelaskan: "Membuka syarikat penerbitan bukanlah sesuatu yang mudah.

"Apabila bertemu dengan seseorang yang mempunyai minat dan visi yang sama, ia membuka peluang kepada saya mencapai impian.

"Sebagai penulis Singapura yang pernah bernaung di bawah beberapa buah syarikat penerbitan di Malaysia sebelum ini, banyak pengalaman dan tunjuk ajar yang telah saya raih.

"Saya akur, apabila dua negara bergabung, tentu sekali rangkaian capaiannya lebih besar dan meluas.

"Mungkin di Singapura, gelombang novel popular tidak begitu aktif seperti di Malaysia. Namun, menerusi Manés Wordworks, kami menyasarkan menjadi jambatan bukan sahaja untuk pembaca, bahkan penulis dua negara ini melebarkan sayap mereka.

"Saya amat berharap supaya kelompok peminat novel popular di Singapura dapat menyambut baik kehadiran kami dalam industri ini," ujar Cik Munirah.

"Saya dan Saidatul mempunyai latar belakang sebagai guru. Oleh itu, kami mempunyai jiwa pendidik yang membara. Kami mahu pembaca kami membaca karya-karya yang bermanfaat.

"Lantas, apabila membuka syarikat penerbitan ini, kami bermatlamat menerbitkan karya yang mempunyai nilai moral yang tinggi dan penggunaan bahasa yang bermutu, meski dalam gaya yang santai."


Afira Naqilla Che Abdul Rahman penulis sambilan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3