Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Mendalami kerjasama, meliputi masyarakat

Kolaborasi antara kaedah penting badan-badan, termasuk juga wadah seperti BH, main peranan berkesan
Jan 15, 2022 | 05:30 AM



APABILA kita bekerjasama, kita mampu mencapai perkara yang menakjubkan.



Itulah kata-kata, Profesor Universiti Harvard, Linda Hill, penulis bersama buku Collective Genius.



Beliau telah mengkaji syarikat-syarikat yang paling kreatif di dunia, dan mendapati antara lain, bahawa sinar kreativiti itu berkembang daripada kerjasama dan kolaborasi - sama ada dari dalam mahupun luar syarikat.



Sepanjang pandemik ini, kita telah melihat bagaimana gangguan dan kesan yang dicetuskan Covid-19 dapat dikurangkan, malah ditangani, menerusi kerjasama dan kolaborasi.



Kita melihat bagaimana para penjaja berkolaborasi dengan firma-firma penghantaran dalam talian untuk menakat, syarikat penganjur acara dan studio penstriman bekerjasama untuk menghasilkan program dalam talian dan para peniaga kecil bersatu untuk memasarkan produk-produk mereka menerusi wadah media sosial dan e-dagang.



Hasil kerjasama itu bukan hanya membolehkan sesetengah syarikat menakat, malah berkembang menerusi inovasi dan skala ekonomi.



Melebihi landskap niaga, badan-badan bantu diri dan masyarakat juga bergabung sepanjang pandemik untuk menghulurkan bantuan lebih menyeluruh kepada golongan yang memerlukan.



Badan-badan ini menyedari, sekiranya kepakaran, tenaga, rangkaian dan idea digabung, sokongan dan bantuan yang dihulurkan lebih bermakna kepada penerima.



Sebagai pertubuhan media dan antara institusi masyarakat, Berita Harian (BH) juga menyedari peri penting kolaborasi.



Matlamat utama akhbar ini ialah untuk meluaskan jangkauan kepada audiens kami dalam bentuk akhbar cetak, digital dan menerusi produk-produk lain seperti video, podcast serta inisitiaf media sosial.



Namun, kami turut menyedari bahawa pembaca, pendengar dan penonton yang kami capai juga boleh dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat.



Langkah berkolaborasi ini telah pun dirintis BH sejak tempoh prapandemik lagi, menerusi antara lain dialog, seminar dan sesi perbincangan yang kami adakan dengan pihak-pihak berkepentingan daripada asatizah, pekerja penghantaran makanan, pemilik perniagaan kecil dan sederhana (SME) serta golongan pelajar.



Sesi-sesi tersebut turut dihadiri individu-individu yang dapat memberi pencerahan, penjelasan dan langkah ke hadapan bagi isu-isu yang dibentangkan.



Elemen ini penting, kerana BH bukan hanya mahu dialog, seminar dan perbincangan itu menjadi wadah bertukar-tukar pendapat dan mengenali dengan lebih dekat lagi isu-isu yang mereka hadapi bagi tujuan liputan semata-mata.



Ia juga mahu kami jadikan wadah bagi peserta dialog mendapatkan idea untuk mengatasi isu-isu tersebut, selain meluaskan rangkaian hubungan dalam sektor yang mereka ceburi.



Antaranya BH telah bekerjasama dengan Wisma Geylang Serai (WGS) dan Our Tampines Hub (OTH) untuk mengadakan kegiatan yang bertujuan menjadikan masyarakat Melayu lebih celik mengenai pelaburan hartanah.



Satu lagi badan yang sering menjadi rakan kerjasama BH ialah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) sejajar dengan usaha akhbar ini menyumbang kepada inisiatif memperkasa masyarakat peniaga kita.



Selain dialog dan seminar, kerjasama BH dengan pihak-pihak berkepentingan juga meliputi wadah-wadah berbilang media yang kami miliki.



Ini termasuk kolaborasi dengan agensi pemerintah seperti Tenaga Kerja Singapura (WSG) menerusi siri podcast mengenai pekerjaan yang bertujuan meluaskan perspektif pekerja Melayu/Islam kepada peluang-peluang kerjaya dalam ekonomi baru.



Penularan pandemik juga tidak melemahkan semangat akhbar ini meneruskan usaha kolaborasi kami - meskipun ia beralih dari kegiatan dan program fizikal kepada alam maya. Sebagai contoh, menerusi kerjasama dengan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), akhbar ini mengadakan siri perbincangan secara langsung di Facebook mengenai isu-isu yang dekat dengan hati dan menjejas masyarakat.



Antara isu-isu yang kami bentangkan termasuk usaha memperkasa wanita, menjaga kesihatan mental dan memperkukuh institusi keluarga - kesemuanya isu yang menjadi keprihatinan masyarakat.



Sempena Bulan Raikan Ilmu juga, akhbar ini bekerjasama dengan Yayasan Mendaki untuk menerapkan peri penting budaya belajar sepanjang hayat menerusi artikel dan rencana di akhbar cetak dan digital, serta podcast dan video.



Selain isu-isu pekerjaan, perniagaan, kehidupan beragama dalam masyarakat majmuk dan lain-lain isu masyarakat, BH juga menjadikannya misi kami menyumbang kepada perbincangan dan usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan.



Rakan kolaborasi utama kami dalam hal ini ialah Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), yang sering kami libatkan dalam perbincangan berkaitan kesihatan merentas wadah berbilang media kami.



Selain MHPA, kami juga mempunyai kolaborasi dengan Yayasan Barah Buah Dada (BCF) dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF).



Semangat untuk bekerjasama ini bukan dimiliki BH sahaja, bahkan kami mendapat inspirasi daripada pelbagai kisah-kisah kolaborasi yang kami laporkan, yang manfaatnya menjurus kepada kebaikan, kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat Melayu/Islam setempat, dalam usaha kita maju bersama dengan masyarakat lain di Singapura.



Dengan kami kini melangkah ke tahun baru, meskipun masih-masih di tengah-tengah pandemik yang terus mencengkam meskipun setelah dua tahun lamanya, semangat kolaborasi itu masih lagi utuh dan kami menjemput mana-mana pihak yang sealiran matlamat untuk menyertai kami.




Matlamat utama akhbar ini ialah untuk meluaskan jangkauan kepada audiens kami dalam bentuk akhbar cetak, digital dan menerusi produk-produk lain seperti video, podcast serta inisitiaf bercorak media sosial. Namun, kami turut menyedari bahawa pembaca, pendengar dan penonton yang kami capai juga boleh dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat. Langkah berkolaborasi ini telah pun dirintis BH sejak tempoh prapandemik lagi, menerusi antara lain dialog, seminar dan sesi perbincangan yang kami adakan dengan pihak-pihak berkepentingan daripada asatizah, pekerja penghantaran makanan, pemilik perniagaan kecil dan sederhana (SME) serta golongan pelajar.
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >