Selepas 17 tahun memperkenalkan cita rasa Sweden kepada masyarakat setempat, restoran halal Sweden pertama di Singapura, Fika Swedish Cafe & Bistro, akan menamatkan operasinya di Arab Street pada 14 Ogos ini.

Pengumuman itu dibuat menerusi Instagram rasmi restoran berkenaan sempena ulang tahunnya yang ke-17.

Dalam hantaran tersebut, pihak Fika mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang telah menyokong mereka sejak dibuka pada 2009, serta menjemput orang ramai menikmati hidangan buat kali terakhir sebelum restoran itu menutup tirainya.

Pemilik Fika, Cik Tasneem Noor, berkata keputusan itu bukan sesuatu yang mudah kerana restoran tersebut amat bermakna buat dirinya sepanjang 17 tahun beroperasi.

Namun, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk meneroka cabaran baharu sebagai usahawan kulinari.

Sepanjang beroperasi, Fika pernah mengembangkan perniagaannya dengan membuka cawangan di Millenia Walk dan OneKM Mall sebelum kembali memberi tumpuan kepada cawangan utamanya di Arab Street.

Fika terkenal dengan hidangan Sweden ikonik, Swedish Meatballs yang dihidangkan bersama sos perang dan jem lingonberry.
Fika terkenal dengan hidangan Sweden ikonik, Swedish Meatballs yang dihidangkan bersama sos perang dan jem lingonberry. - Foto INSTAGRAM FIKACAFESG

Fika diasaskan oleh Cik Tasneem yang menawarkan hidangan Sweden halal.

Sejak dibuka, Fika menjadi antara destinasi popular bagi penggemar makanan Scandinavia dengan menyajikan pelbagai hidangan autentik yang diolah mengikut keperluan halal.

Antara menu yang paling mendapat sambutan ialah bebola daging, Swedish Meatballs, yang dihidangkan bersama sos perang dan jem lingonberry.

Selain itu, Fika turut menyajikan Pyttipanna, hidangan kentang dan daging cencang ala Sweden; Toast Skagen berasaskan udang; Gravlax Sandwich serta pelbagai pastri dan pencuci mulut Scandinavia.

Sepanjang perjalanannya, Fika bukan sahaja memperkenalkan budaya makanan Sweden kepada pelanggan Muslim, malah menjadi antara perintis yang membuktikan hidangan Eropah boleh disediakan dalam versi halal tanpa mengorbankan keaslian rasa.

Walaupun Fika bakal mengakhiri operasinya, pemiliknya berkata mereka kini mahu menumpukan perhatian kepada perkembangan jenama kedai roti dan pastri artisanal mereka, Konditori, yang terletak di 33 Bussorah Street.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, minat saya semakin cenderung kepada dunia pembuatan roti, pembangunan produk dan menghasilkan pengalaman baharu menerusi pastri.

“Konditori memberi saya ruang untuk bereksperimen dan terus mengembangkan kreativiti,” kata Cik Tasneem kepada Berita Harian.

Nama Konditori diambil daripada gabungan istilah dalam bahasa Sweden dan Jerman yang merujuk kepada sebuah kedai roti atau kedai pastri.

Jenama itu diperkenalkan kepada umum sekitar 2016, menawarkan pelbagai pastri dan pencuci mulut Scandinavia, dengan antara jualan paling popular ialah Jumbo Wiener Roll, Lemon Meringue Tart serta Strawberry Cream and Cheese Croissant.

Baru-baru ini, Konditori turut menyertai acara The Great Food Assembly dari 3 hingga 5 Julai lalu, yang merupakan acara pop-up pertamanya dan bakal melibatkan diri dalam acara pop-up pada masa akan datang.
Baru-baru ini, Konditori turut menyertai acara The Great Food Assembly dari 3 hingga 5 Julai lalu, yang merupakan acara pop-up pertamanya dan bakal melibatkan diri dalam acara pop-up pada masa akan datang. - Foto KONDITORISG

Baru-baru ini, Konditori turut menyertai acara The Great Food Assembly dari 3 hingga 5 Julai lalu, yang merupakan acara pop-up pertamanya.

Menurut pemiliknya, penyertaan itu membuka peluang untuk mereka mendekati lebih ramai pelanggan, dan mereka berharap dapat menyertai lebih banyak acara ‘pop-up’ dan akan menyertainya pada September akan datang.

Beliau bagaimanapun menegaskan penutupan restoran itu bukan bermakna jenama Fika akan lenyap sepenuhnya.

“Ini bukan ucapan selamat tinggal kepada Fika.

“Saya melihatnya sebagai sementara bagi kami memberi tumpuan kepada Konditori.

“Saya berharap pelanggan akan terus mengikuti perjalanan kami dan mungkin suatu hari nanti Fika akan kembali menerusi acara ‘pop-up’, kolaborasi istimewa atau pengalaman baharu apabila tiba masanya,” katanya.

Konditori bakal buka cawangan keduanya di Joo Chiat pada bulan Oktober.

Fika Swedish Cafe & Bistro
Alamat: 257 Beach Road, Singapura 199539
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Khamis dan Ahad, 11 pagi hingga 9 malam dan Jumaat dan Sabtu 11 pagi hingga 10 malam

Get therelocation-icon