KEMBARA

Haiwan di Taman

Pensyarah teroka sekitaran hidupan liar di Taman Negara Yellowstone, Grand Teton di AS

APABILA menyebut istilah safari, biasanya hutan rimba dan gurun di Afrika bermain di fikiran.

Namun, tahukah anda bahawa Amerika Syarikat juga mempunyai safari tersendiri?

Malah, ada yang menganggap kawasan Taman Negara Yellowstone dan Taman Negara Grand Teton sebagai 'Serengeti Amerika' kerana banyaknya haiwan berkeliaran di sana.

Pengalaman saya selama empat hari di dua taman itu Jun lalu amat memuaskan dan menyeronokkan kerana ada sahaja haiwan liar yang kelihatan sepanjang hari.

Disebabkan kami tidak mempunyai ilmu mendalam mengenai haiwan di sana, saya dan rakan memutuskan menyertai pakej pelancongan haiwan liar tawaran syarikat Brushbuck Wildlife Tours.

Perjalanan kami bermula 5 petang di kota koboi Jackson Hole di Wyoming.

Kami menemui pemandu pelancong Neil Moore lalu memulakan perjalanan dalam van safari bersama tujuh pelancong lain.

Gunung Grand Teton kelihatan begitu megah dengan ketinggian yang mencapai 4,199 meter.

Setelah hanya 15 minit perjalanan, Moore tiba-tiba berhenti di tepi jalan belakang van safari lain.

"Gunakan teropong dan cuba cari 'moose' yang sedang berehat di bawah pohon," bisiknya.

Sepanjang tiga jam perjalanan selepas itu, kami berpeluang menerokai kawasan lain Grand Teton, di mana kami ternampak seekor lagi 'moose', beberapa ekor rusa Pronghorn dan beruang hitam.

Moore, yang mempunyai ilmu luas dan mendalam mengenai haiwan liar, begitu mahir mengendalikan tugas secara tiga dalam satu - beliau boleh memandu van, memberi komentar dan mencari haiwan liar yang kadangkala sukar dikesan ekoran penyamaran.

Keesokan harinya, kami memulakan perjalanan pada 6 pagi ke Taman Negara Yellowstone.

Menurut Moore, haiwan liar lebih mudah dilihat pada siang hari dan sebelum matahari terbit.

"Pada waktu petang atau apabila cuaca terlalu panas, mereka akan berehat atau tidur dan sukar dikesan,'' katanya.

Begitulah pengalaman kami setiap hari. Apabila Moore ternampak bayangan binatang liar, beliau akan terus mencari tempat selamat untuk menghentikan van. Kami pula akan melompat keluar lalu meneropong untuk mengesan haiwan tersebut.

Ternyata, usaha kami berbaloi, terutamanya pada hari kedua.

Ketika mengunjungi Lembah Hayden, kami ternampak 13 ekor rusa besar (elk) yang 'bersemuka' dengan empat serigala.

Serigala itu pada mulanya berkeliaran dan kelihatan seperti mahu menerkam.

Namun, apabila semua rusa di kawasan itu berkumpul dan menghadap mereka, serigala itu tercegat dan tidak melakukan apa-apa.

"Sang rusa, berhati-hati ya… Jangan lari nanti dikejar serigala. Eh seram betullah! Macam menonton filem aksi secara langsung!" kata saya kepada Moore, sambil menggunakan teropongnya.

Setelah itu, Moore tiba-tiba berteriak "Anak beruang! Anak beruang!". Kami melompat keluar dari van sekali lagi lalu mencarinya.

Pada mulanya, anak beruang itu tidak kelihatan. Namun, tiba-tiba, saya ternampak haiwan itu bergerak di tebing tasik, tidak jauh dari mana kami berada.

Setiap kali haiwan itu bergerak, kami turut bergerak.

Beberapa minit kemudian, Moore berhenti. Beliau menyuruh kami pulang ke van kerana beliau bimbang beruang itu menuju ke arah kami.

"Ingat, kerana ia binatang buas, kita harus berjauhan sekurang-kurangnya 91 meter. Saya bimbang jika ia tiba-tiba meluru, kami tidak sempat masuk van. Ayuh kembali ke van," katanya.

Beliau pun memandu van ke arah kawasan yang ingin dituju anak beruang itu.

Tiba-tiba, anak beruang itu melompat dari tebing tasik ke tepi jalan raya di mana van kami berada. Moore menghentikan van di tepi jalan.

"Saya fikir kita berhenti di sini buat seketika dan lihat sahaja. Saya tidak mahu terus memandu dan mendekatinya kerana ia mungkin mahu menyeberang jalan dan akan rasa tertekan jika kami terlalu dekat," katanya.

Beliau turut menerangkan undang-undang taman negara yang harus dipatuhi pelawat serta peri pentingnya menjadi pelancong bertanggungjawab.

Kami juga dinasihati supaya tidak berada dalam jarak terlalu dekat apabila menyaksikan haiwan liar. Ini disebabkan haiwan boleh rasa tertekan dengan adanya pelancong di situ.

Pengembaraan kami pada hari-hari seterusnya di Yellowstone dan Grand Teton amat menyeronokkan.

Penginapan kami pun ada kalanya didatangi haiwan liar.

Misalnya, semasa keluar dari penginapan pada 6 pagi di Pahaska Tepee Lodge di Cody, Wyoming, salah seorang anggota rombongan Syndee Ramos ternampak kerbau bison yang besar di luar caletnya.

Semasa dalam perjalanan pula, kami menyaksikan dua serigala melolong di tepi sungai sambil makan daging rusa.

Kami juga ternampak ribuan bison Amerika yang berlarian dan menyeberang jalan, beberapa ekor koyote, kambing gurun, beruang Grizzly dan seekor rusa yang tiba-tiba melahirkan di tengah padang.

Selain mencari haiwan liar, kami mengunjungi bentukan semula jadi di kaldera Yellowstone.

Bentukan tersebut dikatakan tercipta akibat letupan gunung berapi yang berlaku sepanjang 2.1 juta tahun lalu.

Antaranya ialah pancutan mata air Old Faithful, yang memancutkan air setiap 90 minit selama beberapa saat.

Sepanjang perjalanan, kami terpaksa hidup tanpa sambungan WiFi dan rangkaian telefon bimbit.

Namun, pengalaman ini amat memuaskan dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

  • Penulis seorang pensyarah.

Kirim pengalaman melancong anda

ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi?

Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.

Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negara dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara GAH menerusi e-mel

bhgah@sph.com.sg.

Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dan 600 perkataan.

Gambar pula mesti dalam format .jpg dengan resolusi sekurang-kurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.