Kekayaan budaya dan warisan Brunei

BUDAYA dan warisan menjadi lambang dan identiti sesebuah negara kerana ia memberikan gambaran tentang penduduk di situ.

Menerusi budaya, seseorang juga dapat mengenali negara tersebut dengan lebih mendalam sambil mempelajari sesuatu yang baru. Ia mungkin akan merubah persepsi mereka tentang negara tersebut.

Negara yang kaya dengan budaya turut mencerminkan perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum yang terdapat di sana.

Itulah antara keistimewaan yang terdapat di Brunei.

Dalam siri khas terakhir jelajah Brunei, Berita Harian mempelajari dan mendalami lagi budaya dan warisan yang terdapat di negara yang terletak di kepulauan Borneo itu.

Percutian ini sebahagian daripada pengembaraan siri travelog terbaru Berita Harian yang dihos artis Singapura Rosalina Musa, dengan tajaan Royal Brunei Airlines (RBA).

BUDAYA KAUM ETNIK BRUNEI TERSERLAH

Brunei bukan sahaja dikenali sebagai negara yang kaya dengan sumber alam semula jadi, malah kaya dengan tradisi dan budaya walaupun bilangan penduduknya hanya seramai lebih dari 400,000 orang.

Walaupun Islam merupakan agama utama di Brunei, ia juga merupakan sebuah negara yang dapat berbangga dengan kepelbagaian rakyatnya.

Antara mereka merupakan kaum etnik yang terdiri daripada orang asli Borneo seperti kaum Iban, Kedayan dan Dusun.

Bagi mereka yang berminat untuk mengunjungi dan bertemu dengan kaum etnik ini, terdapat beberapa tempat di Brunei yang boleh dilawati, antaranya, mereka boleh memilih untuk berkunjung ke Rumah Warisan Etnik Tutong yang terletak di daerah Tutong.

Tutong merupakan antara kawasan di mana terletaknya ramai penduduk kaum etnik Brunei dan ia merupakan tempat tinggal lima masyarakat etnik di sana termasuk Dusun, Iban, Kedayan, Tiong Hua dan Tutong.

Kawasan yang terletak sekitar 45 minit jika memandu dari bandar utama, Tutong memainkan peranan penting dalam melestarikan landskap berbilang kaum di Brunei.

Di Rumah Warisan Etnik Tutong yang terletak di Taman Rekreasi Sungai Basong, pengunjung dapat pelajari serta mengenali lebih lanjut tentang budaya dan warisan kaum etnik tersebut.

Dalam pada itu, mereka juga berpeluang memasuki rumah kaum etnik tersebut seperti rumah panjang masyarakat Iban serta berinteraksi bersama mereka.

Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan budaya yang melibatkan pelbagai jenis tarian.

Bagaimanapun pengalaman yang mungkin akan menarik minat ramai adalah apabila diberi peluang mencuba aksi meniup sumpit yang merupakan senjata pemburuan zaman dahulu.

Ternyata pengalaman di Tutong pasti akan membuka mata pengunjung tentang kepelbagaian kaum dan budaya yang menarik yang terdapat di Brunei.

BANDAR VENICE TIMUR

Di samping budaya kaum etnik di Tutong, Kampung Ayer yang terletak di Bandar Sri Bengawan juga tersimpan beberapa warisan budaya yang menarik penduduk Brunei.

Kampung Ayer menempatkan sekitar 42 rumah kampung yang dibina di atas Sungai Brunei dan seramai 30,000 masih menetap di rumah-rumah tersebut.

Sepanjang abad yang lalu, separuh daripada penduduk Brunei tinggal di sana, dan sehingga hari ini ramai rakyat Brunei masih memilih cara hidup kampung di atas perairan berbanding di kawasan tanah besar.

Penduduk di sana masih boleh menikmati beberapa kemudahan seperti sekolah, masjid, balai polis serta bomba.

Menerusi kunjungan ke Kampung Ayer, pengunjung akan diperkenalkan dengan cara kehidupan dan budaya rakyat Brunei suatu ketika dahulu.

KEGIATAN RIADAH UNTUK SEISI KELUARGA

Seperti di Singapura, masyarakat berbilang kaum dan bangsa di Brunei begitu inklusif.

Selain meraikan pelbagai perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Krismas bersama, mereka turut mempunyai beberapa acara dan kegiatan seronok untuk seisi keluarga.

Di antaranya termasuk acara Bandarku Ceria di Bandar Sri Begawan. Ia merupakan acara hari keluarga yang dianjurkan khusus pada setiap Ahad dari 6 hingga 10 pagi.

Ketika acara itu, banyak kegiatan yang boleh dilakukan seperti berlari-lari anak, berbasikal, program membaca untuk si cilik serta bazar-bazar dan gerai yang dibuka sepanjang jalan.

Pengembaraan ke Brunei cukup menarik dan menyeronokkan dan pengunjung harus mengetepikan sedikit masa untuk mengunjungi tempat-tempat menarik yang akan membawa mereka meneroka pelbagai budaya Brunei.

Mungkin terdapat kejutan yang menanti di akhir lawatan mereka ke sana dan bak kata pepatah, "tak kenal maka tak cinta" - siapa tahu anda akan jatuh hati pada keindahan Brunei selepas mengunjunginya.

  • Lawatan ini ditaja Royal Brunei Airlines

SEKILAS TARIKAN BUDAYA DI BRUNEI

1) Rumah Warisan Etnik Tutong

Menempatkan pameran rumah lima masyarakat etnik yang menetap di daerah Tutong. Tarikan itu juga menawarkan kegiatan riadah yang seronok untuk seisi keluarga selain menimba pengetahuan tentang warisan, kesenian dan kebudayaan lima etnik masyarakat di daerah Tutong.

2) Penyalaan Lampu Perayaan NBT

Sekitar perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya serta Krismas, kawasan daerah Gadong dihiasi dengan cahaya lampu berwarna-warni dan berlatar belakang hiasan cantik untuk menyemarakkan lagi suasana perayaan pelbagai kaum dan agama di Brunei.

3) Rumah Terbuka Istana

Jika anda berada di Brunei sewaktu perayaan Hari Raya, anda tidak mampu melepaskan peluang untuk mengunjung ke Istana Nurul Iman sewaktu Rumah Terbuka Istana. Selain menikmati pelbagai juadah yang disajikan, pengunjung juga diberi kesempatan untuk bertemu Sultan bersama ahli keluarganya.


PAKEJ PESTA HARI RAYA TIGA HARI DUA MALAM ROYAL BRUNEI AIRLINES

Harga: $525* seorang

Tempoh penjualan: Hingga 31 Mac 2018

Tempoh wisata: Hingga 31 Mei 2018

Pakej mengandungi:

- Tiket kapal terbang (pergi dan balik) Royal Brunei Airlines, termasuk semua cukai yang dikenakan

- Penginapan dua malam berserta sarapan pagi

- Pemindahan dari lapangan terbang ke hotel, dan dari hotel ke lapangan terbang (airport transfer)

- Pemandu pelancong yang mampu berbahasa Inggeris

- Wisata Bandar Brunei setengah hari

- Kunjungan ke Istana Nurul Iman untuk bertemu bersama Sultan dan anggota keluarga Diraja.

* Dapatkan hadiah misteri untuk pembelian pakej ini dari pejabat RBA Singapura dari 9 April hingga 30 Jun. Tertakluk pada terma dan syarat.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pejabat RBA di +65 6235 4672.


Kirimkan pengalaman melancong anda

ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi?

Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negara dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara GAH menerusi e-mel bhgah@sph.com.sg.

Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dan 600 perkataan. Gambar pula mesti dalam format .jpg dengan resolusi sekurang-kurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.

Waktu Solat

Subuh
5:44
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.