Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Tarikan eko memukau pelancong ke Brunei

Feb 12, 2018 | 05:30 AM



KEINDAHAN Brunei Darussalam bukan hanya sekadar terletak pada kekayaan yang terdapat di sekitar bandarnya seperti masjid berkubah emas, malah kekayaan tersebut turut meliputi alam semula jadinya.



Panorama indah dan nyaman lagi memukau kawasan taman negara yang terdapat di Brunei mampu menarik pelancong yang ingin mencari kelainan dan meneroka jauh daripada hiruk-pikuk kota.



Dalam siri khas 'Brunei Darussalam', Berita Harian ingin membawa anda menjelajah pelbagai pelosok negara utara pulau Borneo itu yang terkenal dengan tamadun Islam dan keindahan taman negaranya yang mungkin kurang dikenali pelancong.



Percutian ini sebahagian daripada pengembaran siri travelog terbaru Berita Harian yang dihos artis Singapura Rosalina Musa, dengan tajaan Royal Brunei Airlines (RBA).



LIHAT BRUNEI DARIPADA SUDUT BERBEZA



Apabila ke Brunei, Bandar Seri Begawan menjadi pilihan ramai pengunjung.



Bandar tersebut menempatkan beberapa tarikan yang mesra keluarga.



Antara tarikan tersebut termasuk Kampong Ayer, Tamu Gadong, Taman Hiburan Jerudong dan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, atau lebih dikenali sebagai Jambatan Sungai Kebun, yang baru dibuka Oktober tahun lalu.



Namun, masih ada sesetengah pelancong yang berpendapat bahawa tidak banyak yang dapat dilakukan di kawasan bandar raya itu.



Mungkin mereka masih belum mengetahui tentang rahsia yang terdapat pada kawasan pedalaman Brunei.



Taman Negara Ulu Temburong merupakan antara kawasan taman negara dan hutan yang boleh dikunjungi.



Dengan keluasan 500 kilometer persegi, Temburong menjadi destinasi utama pelancong yang gemar keindahan alam semula jadi.



Bagi mereka yang berminat, pengembaraan mereka ke Temburong boleh bermula dengan kunjungan ke Sumbiling Eco Village yang dibina bagi memenuhi keperluan 'ecotourism' atau konsep pelancongannya yang mengajak pelancong kembali kepada alam semula jadi.



Pengunjung dapat bukan sahaja mengikuti pakej pengembaraan malah bermalam di tempat penginapan yang pasti meninggalkan kenangan unik.



Walau bagaimanapun, jika mereka ingin mendapatkan penginapan yang lengkap dengan kemudahan asas, Resort Ulu Ulu menawarkan tempat tinggal selesa, dikelilingi kehijaun dan sungai yang mampu menenangkan fikiran.



Untuk menuju ke Resort Ulu Ulu, pengunjung perlu menaiki bot 'temuai' melintasi Sungai Temburong dan Belalong.



Selain menikmati alam semula jadi di kawasan sekitar resort itu, pengunjung juga dapat melakukan kegiatan lasak seperti meredah hutan bagi melihat air terjun, 'kayaking' dan melungsuri tiub air (water tubing) di Sungai Temburong.



Pengembaraan ke Taman Negara Ulu Temburong tidak lengkap tanpa mendaki sekitar 1,100 anak tangga di bukit setinggi 240 meter daripada permukaan laut (sekitar tinggi bangunan 80 tingkat).



Setibanya di puncak, sebuah struktur besi bertangga setinggi 42 meter, yang lebih dikenali sebagai Canopy Walk, menanti pengunjung.



Pemandangan dari atas struktur itu sungguh menakjubkan dengan panorama yang amat menenangkan, dikelilingi kehijauan alam semesta dan awan.



Pengunjung juga dapat melihat keindahan matahari terbit pada waktu pagi di atas Canopy Walk itu.



Hutan tebal yang menyelimuti Brunei Darussalam seperti menyembunyikan seribu khazanah yang tidak ternilai harganya.



PENUH DENGAN WARISAN ISLAM



Daripada hutan belukar, tumpuan percutian pelancong yang ke Brunei harus beralih kepada kunjungan kepada daya tarikan Islam yang terdapat di negara yang diperintah dengan falsafah 'Melayu Islam Beraja' oleh Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan Brunei yang ke-29.



Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah, yang menjadi ikon negara Islam itu juga merupakan salah sebuah masjid terbesar di dunia.



Pemandangan di persekitaran kawasan itu amat gah, seperti istana raja dengan 29 kubah emas dan perhiasan yang diperbuat daripada batu marmar menghiasi masjid tersebut.



Selepas itu, pengunjung tidak harus melepaskan peluang meninjau koleksi warisan Islam seperti Al-Quran terkecil di dunia, replika artifak seperti pedang dan bekas tapak kaki Nabi Muhammad saw, pedang para sahabat dan tongkat Nabi Musa as di Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah - terletak di Pejabat Mufti Negara di Bangunan Darul Ifta.



Memang sesiapa yang anggap Brunei destinasi pelancongan membosankan perlu melihatnya daripada sudut dan perspektif berbeza.



Mungkin ia tidak sepopular destinasi pelancongan seperti di Eropah, walau bagaimanapun, Brunei boleh dianggap sebagai 'lombong emas' yang perlu diteroka pelancong terutama mereka yang menetap di pelosok Asia Tenggara.



  • Lawatan ini ditaja Royal Brunei Airlines.


"Saya tidak sangka Brunei menawarkan pelbagai tarikan yang menarik - daripada bangunan seperti masjid yang berdiri megah, kawasan Kampong Ayer yang masih dikekalkan serta taman alam semula jadi yang nyaman dan bersih. Namun, pengalaman mendaki anak tangga menuju ke Canopy Walk, walaupun penat, ia tetap seronok dan merupakan pengalaman yang berbeza."
- Rosalina Musa, penyanyi Singapura dan hos 'Travelogue Brunei Berita Harian'.




SEKILAS TARIKAN BRUNEI



1. Tamu Gadong dan Tamu Kianggeh: Pasar beraneka menjual pelbagai barangan seperti makanan dan kraf tangan yang terdapat di Brunei.



2. Taman Hiburan Jerudong: Kawasan taman ini diubah pulih pada 2014 dan kini menempatkan pelbagai permainan seperti karusel dan roller coaster untuk kanak-kanak, taman air serta padang golf mini.



3. Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah; Masjid Omar 'Ali Saifuddien dan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah: Pengalaman kembara sejarah dan warisan Islam di Brunei.



4. Kampong Ayer: Naik bot teroka sekitar Kampong Ayer. Pengunjung juga boleh menempah bilik untuk menginap di salah sebuah rumah di Kampong Ayer.



5. Taman Negara Ulu Temburong: Pakej jelajah Temburong yang disediakan agen pelancongan di sana dan pengunjung dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang terbentang luas di Brunei sambil beriadah.




PAKEJ PENGALAMAN BRUNEI 3 HARI 2 MALAM



Harga: $445 seorang (minimum dua orang)



Tempoh penjualan: Hingga 31 Mac 2018



Tempoh wisata: Hingga 31 Mei 2018



Pakej mengandungi:



- Tiket kapal terbang (pergi dan balik) Royal Brunei Airlines, termasuk semua cukai yang dikenakan



- Penginapan dua malam berserta sarapan pagi



- Lawatan keliling bandar setengah hari dan Water Village



- Pemindahan dari lapangan terbang ke hotel, dan dari hotel ke lapangan terbang (airport transfer)



- Pemandu pelancong yang mampu berbahasa Inggeris




Kirimkan pengalaman melancong anda



ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi?



Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.



Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negara dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara GAH menerusi e-mel bhgah@sph.com.sg.



Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dengan 600 perkataan. Gambar pula mesti dalam format .jpg dengan resolusi sekurang-kurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >