Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Nikmatnya dibelai Pulo Cinta

Perjalanan lebih 10 jam berbaloi dek kesan pukauan yang mendalam, terpahat dalam ingatan
Apr 22, 2019 | 05:30 AM



MESEJ automatik 'out of office' sudah dibuat namun e-mel dari pejabat tetap dibuka walaupun sedang bercuti.



Saya rasa bukan saya seorang sahaja yang lakukan demikian.



Namun buat kali pertama, saya tidak buka e-mel kerja langsung semasa saya bercuti di Pulo Cinta Eco Resort di Gorontalo, Indonesia.



Apakan tidak, saya terlalu 'sibuk' menikmati keindahan tempat ini sehingga tidak sempat pun nak berfikir tentang kerja.



Cuti kali ini, baru dapat betul-betul merehatkan minda.



DIMANJAKAN



Dikelilingi kilauan laut biru kehijau-hijauan dengan dibuai angin laut sepanjang hari, tetamu di Pulo Cinta dimanjakan oleh kakitangannya yang sentiasa bersedia memenuhi segala permintaan.



Misalnya, semasa saya menginap di sana selama empat hari tiga malam, saya boleh memilih makan di restoran atau meminta pekerja resort menghantarkan makanan ke vila saya.



Makanan pula dihidangkan sekurang-kurangnya empat kali sehari - sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.



Namun, kalau tetamu ingin makan cemil-cemilan seperti pisang goreng atau minum jus sebelum waktu makan, mereka boleh memesannya di restoran atau menerusi telefon dan menikmatinya di vila sendiri.



Bahkan, tetamu juga boleh meminta pekerja resort membelikan udang karang daripada nelayan di kawasan itu kemudian dimasak oleh pekerja restoran buat makan malam.



Kalau tetamu ingin makan malam romantis dengan si dia yang tersayang di tepi pantai pun boleh juga. Beritahu sahaja pekerja restoran dan semuanya beres!



PEMANDANGAN MEMUKAU



Namun, bukan perut sahaja yang boleh dimanjakan di Pulo Cinta, seluruh jiwa tetamu akan dimanjakan dengan suasananya yang amat santai.



Terletak di tengah-tengah laut, pulau ini juga jauh daripada hiruk-pikuk kota.



Dengan setiap vila air menghadap laut tanpa adangan, tetamu boleh menghabiskan masa menikmatinya sepanjang hari dari beranda vila mereka.



Bahkan kalau tak mahu bergerak dari katil pun boleh kerana pintu gelangsar depan katil boleh dibuka sepenuhnya supaya tetamu boleh menikmati pemandangan laut itu.



Walaupun tetamu boleh menikmati pemandangan indah itu tanpa keluar vila, rasanya sayang kalau tak keluar kerana mereka juga boleh mencuba pelbagai kegiatan seperti stand up paddle, atau berdiri sambil mendayung papan luncur air.



Kalau nak snorkel, tetamu boleh pinjam alatnya daripada pejabat resort. Tidak perlu pergi jauh kerana dari vila pun mereka dapat melihat batu karang dan kehidupan laut yang berwarna-warni kerana air lautnya amat jernih.



Tapi jaga-jaga, jangan sampai terpijak landak laut, yang juga dikenali sebagai bulu babi oleh penduduk tempatan. Pasti sakit dan ini boleh menyebabkan jangkitan!



Sekiranya hendak menyelam, tetamu juga boleh memberitahu pekerja resort dan mereka akan mengaturkannya.



Kalau langit dan laut ibarat bersatu bagi mempamerkan sebuah pemandangan biru yang cukup menarik, suasana malam di Pulo Cinta pula tidak kurang memukau.



Tatkala matahari mula tenggelam, langit yang biru bertukar menjadi jingga.



Langit gelap pada waktu malam pula ibarat kanvas hitam yang dipenuhi bintang berkerlipan.



JAUH TAPI BERBALOI



Walaupun bukan mudah ke tempat ini dari Singapura, saya rasa cukup berbaloi saat saya menjejakkan kaki di Pulo Cinta.



Selepas dua penerbangan - Singapura ke Jakarta dan kemudian Jakarta ke Gorontalo (sekitar lapan jam termasuk transit) - saya menaiki kereta yang disediakan resort dari Bandara Djalaluddin ke jeti dan ini mengambil masa sekitar dua jam.



Selepas itu, saya menaiki bot untuk ke Pulo Cinta dan ini mengambil masa sekitar 15 minit.



Rasanya, saya boleh pergi ke pelbagai negara lain yang lebih jauh dengan waktu perjalanan selama lebih 10 jam itu.



Namun, saya tidak pasti adakah tempat lain mampu meninggalkan kesan yang mendalam pada diri saya dan memberi saya pengalaman yang tidak dapat dilupakan seperti Pulo Cinta.



Oleh itu, jika anda merancang mahu berkunjung ke tempat ini satu hari nanti, pastikan anda buat dahulu mesej automatik 'out of office'.



Pasti anda terlalu 'sibuk' berendam dengan ikan Nemo dan teman-temannya atau bersantai depan laut sambil menikmati jus buah untuk membaca dan balas e-mel kerja yang anda terima nanti.




Kirimkan pengalaman melancong anda



ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi?



Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.



Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negara dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara GAH menerusi e-mel bhgah@sph.com.sg. Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dan 600 perkataan.



Gambar pula mesti dalam format .jpg dengan resolusi sekurang-kurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >