Seronok tuai buah di kebun rakan di Muar

KEMBARA kami kali ini tidaklah jauh sangat, hanya sekadar ke seberang Tambak.

Ini dilakukan atas permintaan sahabat kami, Cik Rosnah, yang mempelawa kami ke kampung halamannya di Muar, Johor, Malaysia.

Kebetulan pada masa itu musim buah-buahan di kebun arwah datuknya.

Pelawaan itu mendapat sambutan daripada kawan-kawan yang lain.

Kebetulan masa itu hari cuti umum yang panjang.

Kami seramai 15 orang berangkat secara konvoi dengan menaiki enam kereta.

Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang tiga jam lebih.

Kami hanya berhenti sekali di perhentian rehat dan rawat (R&R) Machap untuk bersarapan. Setelah berehat sekitar setengah jam kami melanjutkan perjalanan.

Rombongan kami sampai di Kampong Jorak, Bukit Pasir, Muar, sekitar 2.15 petang.

Kami disambut oleh sepupu Cik Rosnah.

Belum pun sempat berehat, ada antara kawan yang sudah begitu gairah, tidak sabar langsung mahu memetik rambutan yang berada di sekeliling rumah.

Pokoknya amat rendang.

Memang menyeronokkan dan gembira dapat memetik rambutan yang masak ranum.

Satu jam kemudian setelah makan tengah hari, kami mula masuk ke kawasan kebun yang terletak di belakang rumah.

Kami dapat melihat beraneka buah dan tanaman yang ada di kawasan kebun itu.

Kami berasa seronok apabila menjejakkan kaki di kawasan kebun dengan deretan pokok rambutan, dengan buah-buahan semuanya sudah masak.

Begitu juga merimbun buah langsat, cempedak dan durian.

Memang terasa teruja tidak terhingga.

Meriah sungguh apabila kami dapat berkumpul sebegini.

Ada antara kami ditugaskan memetik rambutan dan ada yang mengutip buah durian.

Apa yang pasti kami semua merasa seronok, gembira dan menghargai masa bermutu bersama teman-teman.

Pada malam harinya, kami menjamu selera makanan laut.

Semua sahabat begitu seronok makan sambil bersembang bercerita kisah semasa zaman persekolahan kami.

Persahabatan kami sudah terjalin semenjak daripada bangku sekolah di kelas Prauniversiti Sang Nila Utama pada 1976 dan 1977.

Sampai kini persahabatan kami masih erat dan teguh.

Selesai makan malam kami pun memutuskan menghabiskan sisa malam dengan beristirahat agar lebih bersedia menghadapi hari esok.

Keesokan harinya, kami memutuskan berjalan ke kebun buah-buahan dan sebelum berangkat, kami disediakan kopi hitam khas berserta nasi lemak khas Muar sebagai menu sarapan pagi itu.

Setelah hampir dua jam merentasi kebun, banyak hasil buah-buahan yang dapat kami kumpulkan seperti rambutan, langsat, cempedak dan durian.

Tibalah masa kami berangkat pulang.

Dek begitu terasa keseronokan melawat kebun buah-buahan sehingga tidak terasa penat malah semakin seronok bercampur keriangan bersama teman-teman.

Masing-masing mendapat bahagian sama rata, membawa pulang buah-buahan yang telah kami tuai di kebun.

Kami berjanji akan datang ke kampung itu lagi sebagai salah satu destinasi percutian kami setiap tahun terutamanya pada masa musim buah-buahan.

Sejuta terima kasih kami ucapkan kepada tuan rumah yang sudi menerima kedatangan kami.

  • Penulis pesara polis.

Kirimkan pengalaman melancong anda

ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi?

Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.

Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negara dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara Gaya Hidup menerusi e-mel bhgah@sph.com.sg.

Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dengan 600 perkataan.

Gambar pula mesti dalam format .jpg dengan resolusi sekurang-kurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.