Terpikat dengan kesopanan masyarakat Jepun

"ARIGATO gozaimas."

Ungkapan yang bermakna terima kasih dalam bahasa Jepun itu sering menghiasi bibir orang Jepun.

Kesopanan inilah antara ciri-ciri yang mencerminkan perwatakan dan identiti sebuah masyarakat yang beradab.

Ia juga antara sebab yang membuat saya tertawan dengan masyarakat Jepun dan mengapa negara matahari terbit itu antara negara yang paling saya suka lawati.

Sudah beberapa kali saya ke sana atas urusan kerja dan percutian keluarga.

Walaupun makanan halal terhad, itu tidak menjadi halangan besar kerana masih boleh didapati di tempat tertentu.

Lagipun, di samping menikmati alam semula jadi dan ciptaan manusia, antara tabiat saya apabila berada di luar negara ialah suka memerhati perangai, tingkah laku dan adat resam orang.

Baru-baru ini, rindu saya terubat apabila saya ke Osaka semasa meraikan ulang tahun pernikahan ke-27 saya dengan isteri.

Selain Osaka, kami juga sempat melawat Nara dan Kyoto.

Ketiga-tiga kota bersejarah ini terletak di wilayah Kansai di barat Jepun yang penduduknya dikenali sebagai lebih peramah, santai dan sopan daripada penduduk di Tokyo.

Destinasi ini juga menjadi pilihan kami kerana dipenuhi taman menghijau dan bangunan purba yang menawan. Macam romantis gitu...

Keselesaan dirasa sebaik sahaja kami melangkah ke dewan ketibaan lapangan terbang antarabangsa Kansai.

Pegawai bertugas mengalu-alukan kedatangan kami dengan senyuman terukir di bibir sambil menundukkan kepala sebagai tanda hormat.

Pegawai lain pula gigih menunjukkan arah ke kaunter imigresen. Proses pemeriksaan imigresen juga teratur dan lancar.

Pegawai imigresen dan kastam bukan sahaja menghormati pelawat tetapi sempat memberi ucapan arigato gozaimas sebaik selesai pemeriksaan.

Jarang saya mendapat layanan sopan seumpama itu daripada pegawai imigresen dan kastam di luar negara. Kena marah pernahlah...

Malah, ungkapan arigato gozaimas tidak lekang daripada bibir orang ramai yang kami temui.

Sehinggakan, pegawai ambulans pun sempat melaungkan rakaman suara arigato gozaimas kepada pemandu yang memberi laluan kepadanya di jalan raya.

Alahai... dalam kecemasan pun sempat bersopan santun!

Di Osaka, kami juga tidak perlu banyak bergantung kepada peta elektronik GPS semasa bersiar-siar.

Kalau hendak ke mana-mana, tanya sahaja penduduk setempat.

Arah jalan akan diberi dengan sopan dan bersungguh-sungguh.

Malah, ada seorang penduduk yang sanggup membawa kami ke destinasi yang hendak dituju dengan menunjukkan arah separuh jalan.

Di samping itu, setiap kali kami memasuki kedai atau restoran, ucapan ira shai ma se atau selamat datang akan menyambut ketibaan kami.

Dari segi sikap dan mutu kerja mereka, orang Jepun juga sukar ditandingi, tidak kira apa jua jawatan atau pangkat.

Daripada pengurus hotel hinggalah kepada pekerja pembersihan dan pengangkut sampah, semua melakukan tugas dengan cekap dan berdedikasi.

Sebagai contoh, pekerja pembersihan tandas, yang lengkap beruniform dan bersarung tangan, bekerja dengan penuh tertib dan nampak bangga dengan hasil mutu kerja mereka.

Pemandu bas, yang kemas beruniform, turut memainkan peranan sebagai pemandu pelancong dengan memberi nama destinasi dan maklumat lain kepada penumpang.

Walaupun penat, ucapan terima kasih tidak putus-putus diberi kepada setiap penumpang yang turun dari bas.

Di samping budi bahasa, budaya Jepun turut mengutamakan kebersihan.

Malah, amalan tidak membuang sampah sebarangan sudah membudaya dalam kalangan masyarakat.

Manakan tidak.

Pelajar diajar membersihkan kawasan sekolah. Amalan membawa pulang sampah untuk dibuang di rumah pula lumrah.

Jadi, walaupun tong sampah tidak disediakan, sampah tidak kelihatan di jalan raya.

Bagaimanapun, ini meninggalkan kesan yang tidak dijangkakan kerana ada sesetengah pengunjung luar yang meninggalkan sampah seperti bekas minuman di tepi-tepi bangunan.

Begitupun, sampah akan segera dibersihkan oleh pekerja pembersihan dengan gigih.

Amalan dan adat seperti inilah yang membuat saya berasa selesa dan senang hati apabila berada di negara ini.

Tidak sabar rasanya untuk kembali lagi dan menikmati bukan sahaja keindahan alam tetapi juga ketulusan budi pekerti rakyatnya.

  • Penulis adalah Timbalan Editor Berita Harian

INFOGRAFIK: TARIKAN RANTAU KANSAI, JEPUN


Kirimkan pengalaman melancong anda

ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi? Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.

Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negarda dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara GAH menerusi e-mel bhgah@sph.com.sg. Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dan 600 perkataan. Gambar pula mesti dalam format .jpg dengan resolusi sekurang-kurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.

Galeri Foto