KEMBARA

WARNA-WARNI daya tarikan di bumi MESIR

SETELAH mengembara ke negara-negara Arab di Afrika Utara (Maghribi) dan daerah Timur Tengah (Arab Saudi, Turkey, Jordan dan Syria), rasanya tidak lengkap jika tidak ke Mesir.

Meskipun di lubuk hati ini ingin bertukar angin bagi menghirup udara Eropah dan Semenanjung Balkan, satu-satunya keajai- ban dunia yang masih berdiri megah, Piramid Giza, seakan-akan memanggil saya sekeluarga ke sana pada cuti sekolah Disember lalu.

Kami mengikuti rombongan Azza Travel & Tours yang membawa kami menikmati pemandangan menakjubkan di Great Sphinx of Giza, Kuil Karnak, Kuil Horus, Kuil Kom Ombo, Kuil Abu Simbel dan tebing barat Nile, Valley of the Kings.

Melihat lukisan kontemporari dipalit pada kertas papirus, menghidu bau bermacam rempah-ratus di Bazar Khan El Khalili serta meninjau khasiat minyak pati dan haruman di kilang minyak wangi merupakan antara tarikan lawatan tersebut.

Haruman yang dibuat sendiri daripada bahan asli yang begitu kaya dengan khasiat, mempunyai bau persis minyak jenama mewah di gedung beli-belah.

Menurut pemilik kedai wangian Al-Amir Perfumes Palace, jauh sebelum jenama minyak wangi seperti Chanel, Calvin Klein, Yves Saint Laurent dan Dolce & Gabana tercipta, sudah wujud tradisi menghasilkan minyak wangi bermutu di Mesir.

Malahan, orang Mesir mempercayai wujudnya 'Tuhan' Minyak Wangi bernama Nefertem yang membantu menaikkan matahari ke langit.

Seiringan dengan terbitnya matahari itu, kuntuman seroja mengembang sambil mengeluarkan bau yang harum, bagaikan mewujudkan hubungan rapat manusia dengan alam.

Mesir memang kaya dengan budaya zaman-berzaman yang masih lagi diamalkan hingga ke hari ini.

Bayangkan pokok papirus yang tumbuh di kawasan paya berhampiran Sungai Nil begitu berharga kerana masih lagi digunakan bagi menghasilkan kertas tebal untuk menulis dan melukis di zaman moden ini.

Di sebalik debu kota Kahirah dan kesesakan jalan raya serta lautan manusia yang melintasi lorong-lorong sempitnya, warna-warni Mesir memang sentiasa menjadi nadi yang menghidupkan keinginan pelancong serata dunia agar mengunjunginya.

Kapal peleseran Moon Dance menjadi 'rumah' kami selama empat malam. Setiap hari, kami diberi kejutan manis apabila selimut dan bantal kami diubah si pengemas kamar secara kreatif menjadi ular, buaya atau teratai.

Sedang kapal ini belayar di air biru dengan pemandangan yang begitu indah ketika mentari terbit atau terbenam, ada ketikanya gelora air sungai itu dapat dirasakan pada waktu malam menggugat seketika mimpi-mimpi indah.

Berbanding Kahirah yang masih lagi menangani pencemaran udara dan sampah, kota Luxor di tebing timur Sungai Nil sekitar bahagian selatan Mesir pula lebih bersih, lengang dan mendamaikan.

BOLEH NAIK KELDAI

Jika anda kepingin menaiki pelbagai bentuk pengangkutan, daripada kereta kuda, keldai, unta, kapal layar atau bot, Mesir adalah tempatnya.

Anda akan terasa seperti dalam set penggambaran filem Timur Tengah, Hollywood atau Bollywood. Keldai dan bot malahan adalah pengangkutan terawal di negara ini dan bukan unta seperti yang disangka sesetengah orang.

Tongkang kayu besar digunakan bagi membawa batu-batan dan bijian. Sampan yang diperbuat daripada bahan papirus pula menyusuri sungai sambil membawa penduduk desa yang bergegas bagi tugas harian.

Sebagai siswa yang mengambil kursus antropologi di Universiti Nasional Singapura (NUS), saya lebih tertarik mengamati budaya di sesebuah tempat.

Dalam kunjungan ke Perkampungan Nubian (kelompok penduduk Mesir berkulit hitam yang dipercayai mempunyai keturunan Sudan dari Afrika) di kota Aswan sekitar Sungai Nil, saya dikejutkan dengan ke- hadiran dua remaja lelaki yang tiba-tiba berpaut pada bot kami.

Tanpa diduga, mereka yang berenang dari rumah mereka di tepian sungai, muncul tiba-tiba sedang kami menikmati angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup kencang di sebalik panahan terik mentari.

Mereka menyanyikan bermacam lagu popular yang menular serata dunia - daripada Guantanamera, Macarena hinggalah Despacito.

Sambil menghiburkan kami, mereka mengharapkan ihsan. Sangka saya peminta sedekah hanya ada di lorong-lorong sempit dan masjid. Rupa-rupanya inilah satu lagi cara anak desa yang dihimpit kesusahan menagih simpati.

Teringat peristiwa saya dan dua teman wartawan dikejar peminta sedekah di kawasan gunung berapi pendam Dieng Plateau di Jogjakarta. Yang ingin dibantu seorang. Tahu-tahu ada seorang lagi anak bersembunyi di balik kain batik yang disangka kami beg 'haversack'!

Sewaktu arus sungai yang kuat memisahkan bot kami daripada pautan tangan kanak-kanak tadi, kami melihat mereka melambai-lambaikan tangan dengan wajah penuh kehampaan.

Namun, kecekalan mereka membawa mereka sekali lagi bergayut pada bot kami. Mereka berenang pantas kalahkan sang wira Aquaman untuk sekali lagi berada di sisi kami sambil menguntum senyum.

Di Perkampungan Nubian yang popular sebagai tempat persinggahan pelancong, bermacam aktiviti berjualan dikendalikan.

Si gadis Nubian yang bersedia dengan fail yang sarat dengan corak lukisan inai sedia menanti pelanggan bagi dihiasi tangan dan jari-jemarinya.

Pemandu pelancong kami, Encik Islam Abdelati, menjelaskan, Perkampungan Nubian itu adalah rumah sebenar tiga beradik wanita. Ia terhasil daripada idea inovatif mereka sendiri yang ingin membantu penduduk lain meraih rezeki tambahan apabila desa tersebut menarik kunjungan pelancong.

AKSESORI DARIPADA TULANG UNTA

Ada yang menjual rantai dan aksesori diperbuat daripada tulang unta. Seorang pemandu pelancong Mesir yang fasih bertutur bahasa Mandarin begitu kecoh membantu pelancong China yang dibawa menawar harga barangan di situ.

Anak buaya dipelihara sebagai satu tradisi kerana masyarakat Nubian turut terkenal dengan gelaran 'crocodile whisperer' (dipercayai mereka boleh berbual dengan sang buaya). Saya mengusap dan mengangkat seekor anak buaya yang kasar kulitnya. Ia meronta dalam genggaman.

Perkampungan Nubian ini juga pernah menjadi set penggambaran filem aksi Mesir pada 2002, Mafia. Antara karyawan keturunan Nubian yang berjaya termasuk penyair dan wartawan, Abbas Al Akkad dan mantan Presiden Anwar Sadat.

Penyanyi Mohamed Mounir juga membina hotel di kawasan berdekatan dan menamakannya HadoutaMasreya (Kisah Hikayat Mesir) persis nama salah sebuah lagunya.

Apakah buah tangan berharga dari Mesir yang saya bawa pulang?

Teh bunga raya dan teh jintan manis yang menjadi penawar sekelip mata. Apa tidaknya? Kedua-duanya membantu penghadaman dan meredakan perut yang masuk angin. Sekurang-kurangnya sewaktu darurat dan tersalah makan pada hari keempat kembara, saya tidak terbiar macam ayam berak kapur!


Kirimkan pengalaman melancong anda

ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi? Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.

Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negara dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara GAH menerusi e-mel bhgah@sph.com.sg. Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dan 600 perkataan. Gambar pula mesti dalam format .jpg dengan resolusi sekurangkurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.

Galeri Foto