Terapi hormon didapati tingkatkan risiko barah buah dada

PARIS - Terapi hormon untuk melegakan gejala menopause didapati meningkatkan risiko barah buah dada, menurut satu kajian yang diterbitkan pada Jumaat (30 Ogos), di The Lancet.

Kajian lain turut menunjukkan hasil yang serupa, tetapi kajian ini adalah yang pertama yang menunjukkan bahawa risiko ini kekal tinggi walau setelah sepuluh tahun seseorang wanita menjalani rawatan terapi hormon menopause (MHT).

Kajian ini turut mengukur tahap risiko yang berkaitkan dengan MHT, buat julung-julung kalinya.

Misalnya, kemungkinan bagi wanita berusia antara 50 hingga 69 tahun, dan yang belum pernah menjalani rawatan MHT,  menghadapi penyakit barah buah dada, adalah sekitar 6.3 dalam 100.

Sebaliknya, kemungkinan bagi wanita dalam lingkungan umur yang sama, yang mengambil pil estrogen dan progestagen selama lima tahun, menghadapi penyakit sama adalah 7.7 dalam 100.

Sekiranya pil progestagen diambil setiap hari, risiko menghadapi barah buah dada bagi wanita dalam peringkat usia yang sama meningkat 8.3 dalam 100.

Ramai wanita cenderung memulakan rawatan MHT apabila mereka baru mencecah usia menopaus, iaitu apabila fungsi ovari berhenti, justeru menyebabkan tahap hormon estrogen dan progesteron menurun secara mendadak.

Menopaus boleh menyebabkan wanita berasa panas atau mengalami ‘hot flushes’ pada masa yang tidak menentu.

Masalah ‘hot flushes’ ini boleh dirawat dengan memakan pil hormon untuk menggantikan hormon yang telah tiada.

Badan-badan kawal selia di Eropah dan Amerika Syarikat mengesyorkan agar rawatan MHT diambil buat jangka masa yang paling singkat, namun penggunaannya lazimnya memakan masa sekitar lima tahun.

Menurut pengarang bersama kajian ini, Profesor Valerie Beral, dari Universiti Oxford, "penemuan dari kajian baru (ini) menunjukkan bahawa risiko (wanita menghadapi barah buah dada) tetap ada walaupun selepas berhenti menjalani rawatan MHT."

Dalam kajian terbaru beliau, Profesor Valeria dan rakan sekerjanya telah memeriksa data daripada 58 kajian terdahulu dari 1992 hingga 2018, yang mencatat kegunaan rawatan MHT. 

Didapati 108,647 wanita dalam catatan mereka kemudian menghadapi barah buah dada, sekitar 65 tahun.

Menggunakan data yang sedia ada, para penyelidik berjaya meneliti hubungan antara kadar menghadapi barah, jenis barah yang dihadapi, serta tempoh rawatan MHT yang dijalani seorang wanita.