Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nelayan penat ‘hadap’ pencemaran berulang

Nov 12, 2025 | 2:07 PM
Nelayan di perkampungan Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi, Johor, terpaksa menganggur sejak lebih seminggu akibat pencemaran sungai.
Nelayan di perkampungan Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi, Johor, terpaksa menganggur sejak lebih seminggu akibat pencemaran sungai. - Foto HARIAN METRO

KOTA TINGGI (Johor): “Kami semakin buntu memikirkan masa depan kumpulan nelayan di perkampungan Orang Asli Sayong Pinang di sini yang terpaksa menganggur sejak lebih seminggu akibat pencemaran,” kata nelayan sungai, Encik Azizan Mohsin, 32 tahun.

Encik Azizan berkata lebih satu tan pelbagai jenis ikan mati di sepanjang hilir Sungai Johor dipercayai selepas kolam sebuah tapak perlombongan berhampiran pecah.

Menurutnya, ia berikutan terdapat kira-kira empat kawasan perlombongan pasir beroperasi di sekitar Sungai Johor dan kejadian pada akhir 31 Oktober membabitkan hanya sebuah kawasan.

Katanya, pada masa sama, terdapat beberapa kilang sawit selain sebuah kilang baja di kawasan sepanjang pinggir Sungai Johor.

“Kebiasaannya kawasan ini menjadi habitat ikan baung, patin, lampam, tapah, kelabau, ketutu, jelawat, udang galah dan beberapa jenis ikan lagi namun kini semuanya mati termasuk anak ikan selain habitatnya.

“Kini harapan kami hanya sungai bersebelahan iaitu Sungai Linggiu namun hasilnya tidak memberangsangkan kerana turut terkesan akibat pencemaran sebelum ini.

“Manakala Sungai Sibol yang turut terletak di kawasan ini pula dalam keadaan lebih buruk.

“Ke mana hala tuju kami selepas ini menjadi tanda tanya, memang segelintir menjalankan aktiviti menoreh getah dan mencari hasil hutan secara separuh masa namun hasilnya amat sedikit serta tidak mungkin dapat menampung kos hidup,” katanya.

Sementara itu, seorang nelayan, Encik Mazuri Mat, 39 tahun, berkata Sungai Sayong menjadi umpama ‘sungai zombie’ apabila ikan yang mati timbul di permukaan sungai selain mengakibatkan pencemaran bau busuk.

“Seminggu sebelum kejadian, sungai ini dalam keadaan baik namun kini segala-galanya berubah apabila air sungai masih cetek. Sehingga kini pihak syarikat terbabit tidak bertemu dengan kumpulan nelayan.

“Kami tidak pasti pampasan mahupun bantuan bakal ditawarkan namun proses pemulihan sungai ini mungkin memakan tempoh bertahun.

“Kami juga bimbang kejadian berulang kerana masih terdapat operasi perlombongan pasir syarikat lain di kawasan ini, sekiranya insiden ini berulang kami mungkin terpaksa gulung tikar,” katanya lapor Harian Metro.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Encik Majid Jantan, 63 tahun, berkata sebelum 1980-an iaitu ketika masih tiada laluan darat, Orang Asli suku Jakun di perkampungan itu bergantung kepada sungai termasuk bagi membeli barangan keperluan di Kota Tinggi.

Menurutnya, secara keseluruhannya terdapat tiga perkampungan Orang Asli di sekitar kawasan itu termasuk Kampung Pasir Intan, Kampung Kempas Menang dan Sayong Pinang (dikenali sebagai Sungai Sayong Pinang sebelum ini).

Katanya, rata-rata nelayan di situ adalah nelayan darat yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan.

Sementara itu, Kerajaan Johor dalam proses membuat penilaian kos implikasi kerugian ditanggung akibat pencemaran Sungai Johor yang berlaku pada 31 Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata berkaitan soal tempoh masa siasatan pencemaran itu pula, pihaknya serahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg