Topik diikuti
Pergi ke BHkuPAS tamatkan kerjasama politik dengan Bersatu
PAS tamatkan kerjasama politik dengan Bersatu
PAS tamatkan kerjasama politik dengan Bersatu
Parti Islam SeMalaysia (PAS) secara rasmi menamatkan kerjasama politik dengan rakan pakatan dalam gabungan pembangkang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menerusi satu kenyataan selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung pada malam 8 Jun.
Tan Sri Abdul Hadi berkata keputusan itu dibuat selepas partinya memperakukan ketetapan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS atas prinsip penyatuan ummah.
“Mesyuarat meneliti kedudukan serta hala tuju kerjasama politik PAS - Bersatu berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
“Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah membuat ketetapan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu,” katanya dalam kenyataan pada malam 8 Jun.
Tan Sri Abdul Hadi berkata, dengan keputusan itu, PAS akan meneroka satu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya atau (electoral pact) demi agenda penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“PAS menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktiviti masyarakat untuk menyertai PAS,” katanya.
Keputusan PAS itu sudah dijangka berasaskan ketegangan yang berlarutan dengan Bersatu dan kenyataan keras parti itu kebelakangan ini yang membayangkan keretakan hubungan dua parti itu.
Pengumuman PAS itu hadir selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 7 Jun, mengeluarkan kenyataan partinya bertekad mahu terus memelihara hubungan baik dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).
Tekad itu dinyatakan Tan Sri Muhyiddin dalam maklum balas partinya terhadap PAS selepas menerima surat daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada 6 Jun, tentang hubungan PAS dan Bersatu.
Kemelut hubungan PAS - Bersatu yang juga dua komponen utama yang membentuk gabungan PN pada 2020 tercetus sejak Disember 2025.
PAS mendakwa Bersatu khianat dalam polemik politik di Perlis, apabila berlakunya peralihan jawatan Menteri Besar dari PAS kepada Bersatu.
Ia sekali gus mencetuskan pertikaian dalaman yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN pada 1 Januari 2026, sebelum jawatan itu diambil alih Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ketegangan terus memuncak apabila Tan Sri Abdul Hadi pada 22 Mei mengumumkan akan menilai semula hubungan dan kerjasama parti itu dengan Bersatu, atas dakwaan beberapa tindakan Bersatu yang menguji kesabaran PAS dan melanggar semangat setiakawan dalam PN.
Antara lain Tan Sri Abdul Hadi mendakwa Bersatu menolak usaha mengukuhkan PN apabila enggan menerima penyertaan parti politik baru termasuk gerakan yang diketuai mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
