JOHOR BAHRU: Air kolam yang dicemari bakteria Escheriachia coli (E. coli) dikenal pasti menjadi punca 19 peserta Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin, Johor Bahru, pada 25 Julai lalu, mengalami gejala tidak sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata perkara itu disahkan selepas pihaknya menerima keputusan contoh air yang dihantar ke Jabatan Kimia pada 28 Julai.
“Jabatan Kimia sudah menjalankan analisis terhadap sembilan sampel air yang dikumpul termasuk kolam renang utama, kolam terjun, tandas dan tangki takungan.
“Berdasarkan laporan Jabatan Kimia, kesemua sembilan sampel tercemar oleh bakteria E.coli.
“E-coli adalah spesies bakteria yang hidup di dalam usus manusia dan haiwan yang boleh menyebabkan jangkitan melalui makanan, air, atau sentuhan yang tercemar dengan najis membawa bakteria,” katanya, lapor Sinar Harian.
Pada 25 Julai, 19 pelajar daripada keseluruhan 900 peserta yang menyertai kejohanan MSSJ terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala seperti, muntah-muntah, demam dan kulit gatal dipercayai terkesan dengan air dalam kolam renang dan kolam terjun di pusat akuatik berkenaan.
Encik Mohd Hairi melahirkan kekesalan dengan pihak pengurusan kolam tersebut yang tidak membuat persiapan sewajarnya, sehingga menyebabkan 19 peserta mengalami gejala tidak sihat.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya telah meminta Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) membuat siasatan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, pihak MSNJ perlu membuat persiapan rapi daripada segala segi sebelum sesuatu kejohanan berlangsung sama ada di peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), MSSJ atau negeri itu sendiri.
“MSNJ hendaklah menitikberatkan dari segi suasana, penempatan, makanan dan segala aspek kebajikan. Saya sebagai Exco Sukan tidak mahu perkara ini berulang.
“Aset itu kepunyaan swasta tetapi apabila membabitkan sukan pelajar, itu adalah tanggungjawab kita bersama. Setiap aspek penganjuran dikenal pasti,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg