Topik diikuti
Pergi ke BHkuPendaftaran dalam talian buah hasil: Umno tarik 3,716 ahli baru dalam 24 jam
Pendaftaran dalam talian buah hasil: Umno tarik 3,716 ahli baru dalam 24 jam
Usaha Umno meminda Peraturan Keahlian dengan membolehkan pendaftaran ahli baharu secara dalam talian membuahkan hasil, apabila merekodkan seramai 3,716 ahli baru dalam tempoh kurang 24 jam sejak ia dilancarkan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata golongan pemuda menguasai pendaftaran dengan 2,413 orang atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Ia diikuti kategori ahli biasa seramai 818 orang (22 peratus); Wanita seramai 248 orang (tujuh peratus) dan Puteri seramai 237 orang (enam peratus).
Datuk Asyraf Wajdi berkata beliau sendiri meneliti dan meluluskan setiap permohonan baharu yang diterima, sebaik saja sistem itu mula digunakan pada 20 April.
“Balik dari masjid pagi ini (21 April), saya semak sistem keahlian Umno dan ambil masa untuk perhalusi serta meluluskan setiap permohonan.
“Letih juga tapi menyeronokkan dan mengujakan kerana tak sampai 24 jam sistem baru pendaftaran dalam talian dimuat naik, sudah 3,716 ahli baru yang kebanyakannya adalah dalam kalangan anak muda mendaftar,” katanya di Facebook pada 21 April.
Pada 17 April, Datuk Asyraf Wajdi memaklumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian Umno.
Pindaan itu membolehkan pendaftaran kemasukan ahli baharu dibuat secara dalam talian bagi mempermudah kemasukan ahli, terutama dalam kalangan anak-anak muda.
Katanya pindaan itu dibuat selepas tinjauan oleh Pemuda dan Puteri Umno dalam tempoh dua minggu lalu di media sosial mendapati kira-kira 2,800 golongan muda berminat menyertai parti itu.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum itu, turut menyeru orang ramai khususnya anak-anak muda untuk bersama Umno bagi meneruskan legasi bangsa dan membina semula kekuatan parti.
“Pendaftaran keahlian Umno secara dalam talian kini dibuka! Insya-Allah, prosesnya kini lebih mudah dan pantas.
“Saya mengajak lebih ramai, khususnya anak muda, untuk bersama Umno bagi meneruskan legasi bangsa dan membina semula kekuatan parti ini menuju kegemilangan.
“We want you (Kami mahukan anda). Kami mahukan anda kerana Umno adalah milik kita semua. Marilah bersama-sama ke Rumah Bangsa. Dulu, Kini dan Selamanya,” katanya.
Umno dilihat kian agresif dalam menarik keahlian termasuk penyertaan semula ahli-ahli parti itu yang dipecat, digantung atau meninggalkan parti untuk kembali kepada Umno, menerusi gagasan Rumah Bangsa.
Pada 17 April lalu, usai Mesyuarat MKT Umno, Datuk Asyraf Wajdi berkata Umno telah menerima hampir 6,300 permohonan kemasukan semula ahli, termasuk beberapa tokoh utama parti.
Nama-nama itu termasuk mantan Menteri Kesihatan dan mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Sembrong (Johor) yang juga mantan menteri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan mantan menteri, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar.
Datuk Asyraf Wajdi turut merakamkan penghargaan kepada semua yang memilih untuk menyertai Umno, sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda positif terhadap minat generasi muda dalam politik dan perjuangan parti.
“Terima kasih kepada semua kerana sudi bersama dalam perjuangan ini,” katanya.