KUALA LUMPUR: Kadar harga penginapan hotel di Malaysia dijangka meningkat jika kerajaan menetapkan dasar menginap sekurang-kurangnya 23 jam sehari, kata presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datin Christina Toh.
Menurutnya, pelaksanaan dasar itu akan membawa kepada kos operasi lebih tinggi dan berkemungkinan menyebabkan kenaikan harga bilik.
“Operasi hotel mengalami kenaikan kos dengan gaji minimum baru yang ditetapkan berkuat kuasa pada Februari 2025.
“Tekanan kewangan tambahan akan meningkatkan beban industri, dan pengusaha hotel sedang bergelut dengan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Kenyataan itu dibuat MAH menyusuli gesaan baru-baru ini oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac), Datuk Seri Tiong King Sing, agar pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.
Menurut Datuk Tiong, penginapan 23 jam sehari adalah perkara biasa di luar negara dan tidak menjejas kebersihan atau mutu penginapan.
Datin Toh berkata cadangan itu dilihat tidak praktikal dan akan mewujudkan pelbagai cabaran untuk pengusaha hotel dan tetamu.
“Pertambahan tempoh penginapan akan mendorong kepada kesukaran mengekalkan kebersihan, keselamatan dan mutu bilik kerana sektor ini bergelut dengan kekurangan tenaga kerja, terutama di bahagian pengemasan dan pembersihan bilik.
“Masa daftar masuk yang lazim di seluruh dunia ialah antara 2 dengan 3 petang, manakala daftar keluar ditetapkan antara 11 pagi dengan 12 tengah hari.
“Waktu itu penting untuk memberi masa mencukupi kepada pihak hotel untuk mengekalkan standard terbabit,” katanya.
Beliau berkata kerja membersihkan bilik dalam tempoh sejam dua, terutama pada musim sibuk atau kadar penghunian tinggi, akan menjejas tahap kebersihan, keselamatan dan mutu hotel.
“Walaupun Motac menawarkan bantuan untuk memudahkan perbincangan dengan kementerian lain, MAH menegaskan pelaksanaan standard penginapan 23 jam di seluruh negara memerlukan lebih daripada jaminan.
“Kita perlu memastikan masalah kekurangan tenaga kerja diselesaikan sepenuhnya sebelum melaksanakan apa juga dasar baru yang boleh memburukkan operasi,” katanya.
Isu waktu daftar masuk dan keluar penginapan di hotel menjadi antara perbincangan hangat dalam kalangan pelancong tempatan, berikutan banyak hotel menetapkan waktu daftar masuk pada 4 petang dan waktu daftar keluar pada 12 tengah hari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg