PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatat prestasi operasi membanggakan apabila merekodkan 1,095 pertuduhan dengan 563 sabitan, hasil daripada 2,633 kertas siasatan dari 2024 hingga kini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, menjelaskan daripada jumlah itu, 583 kertas siasatan melibatkan kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam, sekali gus membuktikan komitmen SPRM bertindak tegas tanpa mengira pangkat serta kedudukan.

Datuk Abd Halim menambah, tumpuan SPRM ketika ini bukan sekadar mengheret pelaku ke mahkamah, malah memberi penekanan kepada usaha melumpuhkan ekosistem jenayah melalui tindakan pemulihan aset yang agresif.

“Berdasarkan Rekod Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, sehingga April 2026, sebanyak 115 permohonan pelucutan harta di mahkamah telah dibuat berbanding 179 permohonan bagi keseluruhan tahun lepas (2025).

“Hasilnya sehingga tempoh itu, SPRM berjaya membuat sitaan sebanyak RM16.5 juta ($5.21 juta), pembekuan aset RM425,464 dan jumlah pelucutan harta RM3,423,131.

“Manakala denda kompaun berjumlah RM10.47 juta telah dikutip,” katanya ketika menyampaikan amanat sulung pada Majlis Perhimpunan Bulanan SPRM 2026 di Putrajaya, mengikut laporan di laman web, Astro Awani.

Datuk Abd Halim menegaskan beliau tidak akan membiarkan hak rakyat terus dikikis dan dilarikan sewenang-wenangnya oleh mereka yang “bernafsu serakah”.

Dalam pada itu, beliau berkata SPRM sedang memperkasa keupayaan pegawainya bagi mendepani jenayah kewangan moden yang kian sulit dan canggih.

Selain itu, katanya, SPRM turut menumpukan modus operandi jenayah rasuah yang kini melibatkan penggunaan teknologi terkini, urus niaga rentas sempadan serta penggunaan mata wang kripto.

“Kita tidak boleh lagi bekerja mengikut cara lama. Penggunaan teknologi terkini, pemerkasaan risikan strategik, analisis data serta kerjasama dengan agensi antarabangsa menjadi keperluan mendesak untuk memastikan kita sentiasa selangkah di hadapan penjenayah,” katanya.

Datuk Abd Halim, yang hampir sebulan menerajui SPRM, turut memperkenalkan lima prinsip utama kepimpinannya, iaitu kewibawaan tanpa tolak ansur, penguatkuasaan adil, pencegahan lebih baik daripada hukuman, teknologi dan ketelusan serta membina kepercayaan rakyat.

“Prinsip peribadi saya mudah, iaitu berani buat, berani tanggung. Jangan ada sesiapa dalam pertubuhan ini menjadi kerbau membawa lumpur yang boleh mencalarkan imej SPRM yang kini pada tahap terbaik,” katanya.