KELIHATAN seekor tupai sedang berlari-lari di sepanjang kabel telefon di hadapan sebuah rumah kampung berwarna hijau terang. Ada juga dua tiga ekor ayam yang sibuk menguis-kais di sekeliling tapak surau yang berdekatan.
Penghuni-penghuni rumah yang selainnya langsung tidak kelihatan. Pintu-pintu papan mereka tertutup rapat, biarpun sinar mentari sudah galak mengasak yang menandakan waktu tengah hari sudah menjengah rupa.





